Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 9

Seorang Anak Lelaki Dilahirkan!

Seorang Anak Lelaki Dilahirkan!

Abraham dan Sara sudah lama berkahwin. Mereka meninggalkan kehidupan yang selesa di kota Ur dan hidup di dalam khemah. Tetapi, Sara tidak pernah merungut. Sebaliknya, dia percaya kepada Yehuwa.

Sara ingin sekali mempunyai anak sehingga dia berkata kepada Abraham, “Jika hamba perempuan saya, Hagar, mendapat seorang anak, anaknya bagaikan anak saya juga.” Tidak lama kemudian, Hagar melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Ismael.

Beberapa tahun sudah berlalu. Pada suatu hari, tiga pelawat datang untuk mengunjungi Abraham dan Sara. Pada masa itu, Abraham berumur 99 tahun, dan Sara berumur 89 tahun. Abraham menjemput tiga pelawat itu untuk makan dan berehat di bawah pokok. Tahukah adik siapa mereka? Mereka ialah malaikat! Mereka memberitahu Abraham, “Tahun depan pada waktu yang sama, kamu dan Sara akan mendapat seorang anak lelaki.” Sara terdengar perbualan mereka lalu tertawa dalam hati dan berkata, “Dapatkah saya melahirkan anak sedangkan saya sudah tua?”

Seperti yang dijanjikan malaikat Yehuwa, Sara melahirkan seorang anak lelaki pada tahun berikutnya. Abraham menamakan anaknya Ishak, yang bermaksud “Gelak Ketawa.”

Semasa Ishak berumur kira-kira lima tahun, Sara melihat dia diejek oleh Ismael. Sara ingin melindungi Ishak. Jadi, dia berjumpa dengan Abraham dan menyuruhnya untuk mengusir Hagar dan Ismael. Pada mulanya, Abraham tidak mahu berbuat demikian. Tetapi, Yehuwa juga ingin melindungi Ishak. Maka, Dia berkata kepada Abraham, “Dengarlah cakap Sara kerana keturunanmu akan datang daripada Ishak. Aku akan menjaga Ismael.”

“Kerana beriman, Sara dapat mengandungkan anak . . . kerana Sara menganggap Dia yang telah berjanji itu dapat dipercayai.”​—Ibrani 11:11