Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 10

Ingatlah Isteri Lot

Ingatlah Isteri Lot

Lot dan pak ciknya, Abraham, tinggal di tanah Kanaan. Ternakan Abraham dan Lot semakin bertambah sehingga tempat itu tidak cukup besar untuk mereka. Abraham berkata kepada Lot, “Lebih baik kita berpisah. Pilihlah ke mana kamu mahu pergi, dan saya akan pergi ke tempat lain.” Hal ini menunjukkan bahawa Abraham tidak mementingkan diri.

Lot nampak satu tempat yang indah berdekatan kota Sodom. Rumput tumbuh dengan subur dan terdapat banyak air di sana. Jadi, dia pun memilih tempat itu dan tinggal di kota Sodom.

Kota Sodom tidak jauh dari kota Gomora. Penduduk di kedua-dua kota itu sangat jahat. Oleh itu, Yehuwa ingin memusnahkan kota-kota tersebut. Namun, Tuhan ingin menyelamatkan Lot dan keluarganya. Jadi, Dia mengutus dua malaikat untuk memberikan amaran kepada mereka, “Cepat! Keluarlah dari kota ini! Yehuwa akan memusnahkan tempat ini.”

Namun, Lot tidak keluar dengan segera. Jadi, malaikat-malaikat Tuhan memegang tangan Lot, isterinya, dan kedua-dua anak perempuannya, lalu membawa mereka ke luar kota. Salah satu malaikat berkata, “Cepat lari! Selamatkan diri kamu, dan jangan menoleh ke belakang supaya kamu tidak mati.”

Apabila mereka tiba di kota Zoar, Yehuwa menurunkan hujan belerang dan api ke atas kota Sodom dan Gomora. Kedua-dua kota itu terus musnah. Sedihnya, isteri Lot tidak taat kepada Yehuwa. Dia menoleh ke belakang lalu berubah menjadi tiang garam! Sudah tentu kejadian ini menyedihkan Lot dan anak-anak perempuannya. Tetapi, mereka pasti lega kerana telah mendengar arahan Yehuwa dan diselamatkan.

“Ingatlah akan isteri Lot.”​—Lukas 17:32