Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 14

Hamba yang Mendengar Cakap Tuhan

Hamba yang Mendengar Cakap Tuhan

Yusuf ialah anak kesayangan ayahnya, Yakub. Apakah perasaan abang-abang Yusuf terhadapnya? Mereka cemburu dan membenci Yusuf. Pernah sekali, Yusuf mendapat suatu mimpi. Setelah memberitahu abang-abangnya tentang mimpi itu, mereka semakin membencinya. Mengapa? Sebab mimpi itu bermaksud bahawa mereka akan bersujud kepada Yusuf pada masa depan.

Pada suatu hari, Yakub menyuruh Yusuf untuk mencari abang-abangnya yang menjaga bebiri di kawasan berdekatan kota Sikhem. Apabila mereka nampak dia datang, mereka berkata, “Si tukang mimpi sudah datang. Mari kita bunuh dia dan buangnya ke dalam lubang!” Tetapi Yehuda berkata, “Jangan bunuh dia! Lebih baik kita jual dia sebagai hamba.” Pada masa itu, ada orang Midian yang sedang pergi ke Mesir. Jadi abang-abangnya pun menjual Yusuf kepada mereka dengan harga 20 keping wang perak.

Kemudian, mereka mencelup baju Yusuf ke dalam darah kambing dan membawanya kepada Yakub. Mereka berkata, “Bukankah ini baju anak ayah?” Setelah melihat baju itu, Yakub berfikir bahawa Yusuf telah dibunuh binatang liar. Dia amat sedih, dan tiada orang dapat melegakan hatinya.

Di Mesir, Yusuf dijual kepada Potifar, seorang pegawai Firaun. Sepanjang masa itu, Yehuwa tidak pernah meninggalkan Yusuf. Oleh sebab Yusuf rajin dan dapat dipercayai, Potifar menyuruh Yusuf untuk menguruskan hartanya.

Yusuf juga kacak dan kuat. Jadi isteri Potifar tertarik kepadanya. Setiap hari, dia memujuk Yusuf untuk tidur dengannya. Apakah yang dilakukan Yusuf? Dia segera berkata, “Tidak! Puan ialah isteri Tuan Potifar. Tuan mempercayai saya. Kalau saya tidur dengan puan, saya berdosa terhadap Tuhan!”

Pada suatu hari, isteri Potifar mencuba untuk memaksa Yusuf tidur dengannya. Dia menarik baju Yusuf, tetapi Yusuf terus lari dari situ. Apabila suaminya Potifar pulang, dia berkata bahawa Yusuf telah mengganggunya. Potifar naik marah lalu memasukkan Yusuf ke dalam penjara. Walaupun begitu, Yehuwa tidak lupa akan Yusuf.

“Rendahkanlah diri kamu di bawah tangan Tuhan yang perkasa, agar Dia dapat meninggikan kamu pada masa yang ditetapkan.”​—1 Petrus 5:6