Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 16

Siapakah Ayub?

Siapakah Ayub?

Ayub ialah seorang penyembah Yehuwa yang tinggal di Uz. Dia sangat kaya dan mempunyai keluarga yang besar. Dia baik hati dan suka membantu orang yang miskin, wanita yang sudah tiada suami, dan anak-anak yatim. Ayub selalu berbuat baik. Adakah ini bermaksud bahawa dia tidak akan menghadapi apa-apa masalah?

Ayub tidak sedar bahawa Syaitan Si Iblis sedang memperhatikannya. Yehuwa berkata kepada Syaitan, “Adakah kamu memperhatikan hamba-Ku Ayub? Tiada seorang pun yang sepertinya di bumi. Dia mengikut cakap-Ku dan buat apa yang betul.” Syaitan menjawab, “Sudah tentu Ayub ikut cakap-Mu. Engkau menjaga dan memberkatinya. Engkau memberinya tanah dan binatang. Ambillah semua itu daripadanya dan dia akan berhenti menyembah-Mu.” Yehuwa berkata, “Kamu boleh uji Ayub, tapi kamu tidak boleh bunuh dia.” Mengapakah Yehuwa membiarkan Ayub diuji? Sebab Yehuwa yakin Ayub akan berjaya mengharungi ujian itu.

Syaitan pun mula menguji Ayub. Pertama, dia menghantar orang Syeba untuk mencuri lembu dan keldai Ayub. Selepas itu, bebiri Ayub dimusnahkan oleh api. Kemudian, sekumpulan orang Kasdim mencuri unta-untanya. Para hamba yang menjaga ternakannya juga terbunuh. Yang paling teruk, semasa semua anak Ayub sedang mengadakan jamuan di sebuah rumah, rumah itu tiba-tiba roboh dan mereka semua terbunuh. Ayub sangat sedih, tetapi dia masih menyembah Yehuwa.

Syaitan mahu hidup Ayub menjadi lebih teruk lagi. Jadi dia menyebabkan banyak bisul tumbuh pada badan Ayub. Ayub berasa sangat sakit. Dia tidak tahu mengapa semua ini berlaku. Tetapi, dia tidak berhenti menyembah Yehuwa. Yehuwa nampak semua ini dan berasa bangga dengan Ayub.

Kemudian Syaitan menghantar tiga orang untuk menguji Ayub. Mereka berkata, “Kamu pasti sudah buat salah dan cuba sembunyikannya. Sebab itu Tuhan hukum kamu.” Ayub menjawab, “Saya tidak buat salah.” Dia juga berkata bahawa Tuhan tidak adil kerana dia berfikir bahawa masalahnya datang daripada Yehuwa.

Seorang pemuda yang bernama Elihu mendengar perbualan mereka. Dia berkata, “Apa yang kamu katakan itu tidak benar. Yehuwa ialah Tuhan Yang Maha Tinggi. Tidak mungkin Dia berbuat jahat. Dia nampak semuanya, dan Dia tolong orang yang susah.”

Selepas itu, Yehuwa menanya Ayub, “Di manakah kamu semasa Aku menciptakan langit dan bumi? Mengapa kamu kata Aku tidak adil? Kamu pandai bercakap, tetapi sebenarnya kamu tidak tahu apa yang menyebabkan segala sesuatu berlaku.” Setelah itu, Ayub mengakui kesalahannya dan berkata, “Dulu saya hanya dengar tentang Engkau, tapi sekarang saya benar-benar kenal Engkau. Tiada yang mustahil bagi Engkau. Maafkanlah saya.”

Apabila ujian tersebut berakhir, Yehuwa menyembuhkan Ayub dan memberkatinya. Ayub mendapat banyak harta. Dia juga hidup lama dan gembira. Ayub menikmati semua ini kerana dia mendengar cakap Yehuwa walaupun susah. Adakah adik ingin menjadi seperti Ayub dan terus menyembah Yehuwa walaupun susah?

“Kamu sudah mendengar tentang ketabahan Ayub dan bagaimana Yehuwa memberkatinya pada akhirnya.”​—Yakobus 5:11