Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 17

Musa Memilih untuk Menyembah Yehuwa

Musa Memilih untuk Menyembah Yehuwa

Di Mesir, keluarga Yakub dikenali sebagai orang Israel. Selepas Yakub dan Yusuf meninggal, seorang Firaun yang baharu telah menjadi raja. Firaun ini takut bahawa orang Israel akan menjadi lebih kuat daripada orang Mesir. Oleh itu, dia memaksa orang Israel untuk menjadi hamba. Mereka disuruh untuk membuat batu bata dan bekerja di ladang. Hari demi hari, bilangan orang Israel semakin bertambah. Hal ini menyebabkan Firaun marah. Maka, dia memberikan arahan agar semua bayi lelaki orang Israel dibunuh. Bayangkan betapa takutnya orang Israel ketika itu!

Pada masa itu, seorang wanita Israel yang bernama Yokhebed telah melahirkan bayi lelaki yang comel. Untuk melindungi bayinya, dia meletakkannya ke dalam sebuah bakul. Kemudian, dia menyembunyikan bakul itu di antara rumput-rumput yang tinggi di Sungai Nil. Miryam, kakak kepada bayi itu, berdiri tidak jauh dari bakul itu untuk melihat apa yang akan berlaku.

Apabila puteri Firaun turun ke sungai untuk mandi, dia ternampak bakul itu, dan menjumpai seorang bayi di dalamnya. Dia berasa kasihan melihat bayi yang sedang menangis itu. Kemudian, Miryam pun bertanya, “Bolehkah saya panggil seorang wanita untuk jaga anak ini?” Puteri Firaun bersetuju lalu Miryam memanggil ibunya Yokhebed. “Jagalah bayi ini dan saya akan memberi kamu gaji,” kata puteri Firaun kepada Yokhebed.

Selepas bayi itu membesar, Yokhebed membawanya kepada puteri Firaun. Puteri Firaun menamakan anak itu Musa dan menjaganya seperti anak sendiri. Sebagai putera Mesir, Musa boleh mendapatkan apa-apa sahaja. Tetapi Musa tidak pernah melupakan Yehuwa. Dia tahu bahawa dia ialah orang Israel, bukannya orang Mesir. Jadi dia memilih untuk menyembah Yehuwa.

Semasa berumur 40 tahun, Musa ingin membantu orang Israel. Pada suatu hari, Musa ternampak seorang hamba Israel dipukul oleh seorang lelaki Mesir. Oleh itu, dia memukul lelaki Mesir itu sampai mati lalu menyembunyikan mayat itu di dalam pasir. Apabila hal itu diketahui oleh Firaun, dia ingin membunuh Musa. Jadi Musa melarikan diri ke Midian. Di situ, Yehuwa terus menjaganya.

“Kerana beriman, . . . [Musa] enggan dipanggil anak kepada puteri Firaun. Dia memilih untuk dianiaya bersama umat Tuhan.”​—Ibrani 11:24, 25