Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 20

Enam Tulah yang Seterusnya

Enam Tulah yang Seterusnya

Musa dan Harun menyampaikan pesanan Tuhan kepada Firaun, “Jika kamu tidak lepaskan umat-Ku, Aku akan hantar banyak lalat yang besar ke Mesir.” Lalat-lalat itu menyerang orang Mesir, tidak kira yang kaya atau miskin. Tetapi, tiada lalat datang ke tempat tinggal orang Israel di Gosyen. Sejak tulah ini, hanya orang Mesir yang menderita akibat tulah-tulah daripada Yehuwa. Firaun merayu, “Mohonlah supaya Yehuwa menghentikan tulah ini. Kamu semua boleh pergi dari sini.” Tetapi, apabila Yehuwa memenuhi permintaannya, Firaun mengubah fikirannya untuk melepaskan orang Israel. Sampai bilakah Firaun akan berdegil?

Jadi Yehuwa berkata, “Jika Firaun enggan melepaskan umat-Ku, binatang-binatang orang Mesir akan sakit dan mati.” Pada hari seterusnya, binatang-binatang mereka mati. Tetapi binatang orang Israel masih hidup. Namun, Firaun tetap keras kepala.

Kemudian, Yehuwa menyuruh Musa untuk berjumpa dengan Firaun dan menghamburkan abu ke udara. Abu itu menjadi debu lalu bisul mula tumbuh pada semua orang Mesir dan binatang mereka. Meskipun begitu, Firaun tetap tidak mahu membebaskan orang Israel.

Sekali lagi, Yehuwa menyuruh Musa untuk berkata kepada Firaun, “Adakah kamu masih enggan membebaskan umat-Ku? Esok kamu akan ditimpa ribut hujan batu.” Keesokan harinya, Yehuwa menyebabkan hujan batu, guruh, dan api, melanda Mesir. Itulah ribut petir yang paling dahsyat di Mesir. Semua pokok dan tanaman musnah, kecuali pokok dan tanaman di Gosyen. Firaun berkata, “Tolonglah minta Yehuwa untuk menghentikan tulah ini! Kemudian, barulah kamu boleh pergi.” Tetapi, sebaik sahaja ribut hujan batu berhenti, Firaun mengubah fikirannya.

Kemudian, Musa berkata, “Belalang akan makan semua tumbuhan yang belum dimusnahkan hujan batu.” Berjuta-juta belalang pun memakan tanaman yang tidak dimusnahkan. Firaun merayu lagi, “Mohonlah kepada Yehuwa supaya membawa belalang-belalang ini pergi dari sini.” Tetapi selepas Yehuwa menghentikan serangan belalang itu, Firaun masih enggan mengikut perintah-Nya.

Yehuwa memberitahu Musa, “Angkatlah tanganmu ke langit.” Dengan segera, langit menjadi gelap. Orang Mesir tidak dapat melihat apa-apa selama tiga hari. Hanya tempat tinggal orang Israel yang tetap terang.

Firaun berkata kepada Musa, “Bawalah bangsa kamu pergi dari sini, tetapi tinggalkan binatang-binatang kamu.” Musa menjawab, “Kami mesti bawa binatang kami supaya kami dapat persembahkannya kepada Tuhan kami.” Firaun menjadi sangat marah lalu berteriak, “Pergilah dari sini! Jika beta nampak kamu lagi, beta akan bunuh kamu.”

“Mereka akan melihat lagi perbezaan antara orang baik dengan orang jahat, serta antara orang yang menyembah Aku dengan yang tidak.”​—Maleakhi 3:18