Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 21

Tulah yang Terakhir

Tulah yang Terakhir

Musa berjanji bahawa dia tidak akan berjumpa dengan Firaun lagi. Tetapi sebelum dia pergi, dia memberitahu Firaun, “Pada tengah malam, setiap anak lelaki yang sulung, tidak kira anakmu ataupun anak hamba-hamba di Mesir, akan mati.”

Yehuwa menyuruh orang Israel untuk mengadakan jamuan yang istimewa. Dia berkata, “Bunuhlah seekor biri-biri atau kambing yang berumur satu tahun. Kemudian, sapu sedikit darah binatang itu pada pintu kamu. Panggang dagingnya dan makan dengan roti yang tidak beragi. Bersedialah untuk keluar dari Mesir kerana malam ini Aku akan membebaskan kamu.” Bayangkanlah betapa gembiranya orang Israel!

Pada tengah malam, Yehuwa menghantar malaikat-Nya ke setiap rumah di Mesir. Malaikat itu membunuh anak lelaki yang sulung di rumah yang tidak ditandakan dengan darah. Maka setiap keluarga orang Mesir, tidak kira kaya atau miskin, telah kehilangan seorang anak. Tetapi anak orang Israel tidak diapa-apakan kerana pintu rumah mereka disapu dengan darah.

Anak lelaki Firaun juga dibunuh. Akhirnya, Firaun menyerah lalu berkata, “Pergi dari sini dan sembahlah Tuhan kamu. Bawa binatang kamu juga!”

Di bawah cahaya bulan purnama, orang Israel berangkat mengikut keluarga dan suku masing-masing. Kira-kira 600,000 lelaki Israel serta banyak wanita dan kanak-kanak telah meninggalkan Mesir. Selain itu, ada bangsa lain yang pergi bersama orang Israel supaya mereka juga dapat menyembah Yehuwa. Akhirnya, orang Israel sudah bebas!

Untuk mengingati cara Yehuwa menyelamatkan mereka, orang Israel perlu menyambut Perayaan Paska setiap tahun. Semasa perayaan itu, mereka akan mengadakan sebuah jamuan istimewa seperti yang dilakukan mereka sebelum meninggalkan Mesir.

“Aku membiarkan kamu terus hidup atas sebab ini: Untuk menunjukkan kuasa-Ku melalui kamu dan untuk mengisytiharkan nama-Ku di serata bumi.”​—Roma 9:17