Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 28

Keldai Bileam Bercakap

Keldai Bileam Bercakap

Orang Israel sudah tinggal di padang belantara selama 40 tahun. Mereka berjaya menawan banyak kota yang kuat. Sekarang, mereka berkhemah di Dataran Moab, di timur Sungai Yordan. Tidak lama lagi, mereka bakal memasuki Tanah yang Dijanjikan. Raja Moab, iaitu Balak, berasa takut dan tidak mahu negerinya ditawan oleh orang Israel. Jadi, dia menjemput seorang lelaki bernama Bileam ke Moab untuk mengutuk orang Israel.

Tetapi Yehuwa memberitahu Bileam, “Kamu tidak boleh mengutuk orang Israel.” Maka Bileam pun tidak pergi ke Moab. Raja Balak menjemput Bileam sekali lagi dan berjanji untuk memberikan apa sahaja yang diinginkannya. Namun, Bileam masih enggan pergi. Kemudian, Yehuwa berkata kepada Bileam, “Kamu boleh pergi, tetapi kamu hanya boleh ucapkan segala yang Aku katakan.”

Maka, Bileam menunggang keldainya untuk pergi ke Moab. Dia merancang untuk mengutuk orang Israel meskipun Yehuwa sudah melarangnya. Malaikat Yehuwa muncul sebanyak tiga kali sepanjang perjalanannya. Tetapi, hanya keldai Bileam yang dapat melihat malaikat itu. Mula-mula, keldainya menyimpang ke ladang. Kemudian, keldainya menghimpitkan diri ke tembok sehingga kaki Bileam tersepit. Akhirnya, keldai itu merebahkan badannya dan enggan bergerak. Sebanyak tiga kali, Bileam memukul keldainya dengan kayu.

Selepas itu, Yehuwa membolehkan keldai itu bercakap. Keldai itu bertanya, “Mengapa tuan pukul saya?” Bileam menjawab, “Sebab kamu mempermainkan saya. Jika saya ada pedang, saya akan bunuh kamu.” Keldai itu berkata, “Sudah bertahun-tahun tuan tunggang saya. Pernahkah saya buat begini terhadap tuan?”

Kemudian, Yehuwa membolehkan Bileam melihat malaikat-Nya. Malaikat itu berkata, “Yehuwa sudah melarang kamu daripada mengutuk orang Israel.” Bileam menjawab, “Saya bersalah. Saya akan pulang sekarang.” Malaikat itu berkata, “Kamu boleh pergi ke Moab, tapi kamu hanya boleh ucapkan segala yang dikatakan Yehuwa.”

Adakah Bileam mengikut cakap Tuhan? Tidak. Sebanyak tiga kali dia cuba mengutuk orang Israel. Tetapi, setiap kali Bileam berbuat demikian, Yehuwa menyebabkannya memberkati orang Israel. Akhirnya, orang Israel menyerang Moab, dan Bileam dibunuh. Bukankah lebih baik jika Bileam mendengarkan nasihat Yehuwa?

“Hindarilah semua bentuk ketamakan. Biarpun seseorang mempunyai banyak harta, harta miliknya tidak memberinya kehidupan.”​—Lukas 12:15