Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 33

Rut dan Naomi

Rut dan Naomi

Semasa negeri Israel kekurangan makanan, seorang wanita Israel yang bernama Naomi berpindah ke Moab bersama suami dan dua anak lelakinya. Tetapi suami Naomi kemudiannya meninggal. Di sana, anak-anak lelaki Naomi telah berkahwin dengan dua orang wanita Moab, iaitu Rut dan Orpa. Malangnya, kedua-dua anak lelaki Naomi juga meninggal.

Apabila negeri Israel tidak lagi kekurangan makanan, Naomi bercadang untuk pulang ke sana. Rut dan Orpa juga mengikutnya. Dalam perjalanan, Naomi berkata, “Kamu ialah menantu yang baik dan isteri yang baik bagi anak-anak saya. Baliklah ke Moab supaya kamu dapat berkahwin lagi.” Tetapi mereka berkata, “Kami sayang mak! Kami tidak mahu meninggalkan mak.” Walaupun begitu, Naomi masih menyuruh mereka untuk pulang. Akhirnya Orpa pun pergi, tetapi Rut tetap mahu mengikut Naomi. Naomi memberitahu Rut, “Iparmu sudah pulang kepada bangsanya dan tuhannya. Ikutlah dia, dan pulanglah ke rumah ibumu.” Tetapi Rut berkata, “Tidak. Bangsa mak bangsa saya juga, dan Tuhan mak Tuhan saya juga.” Pada pendapat adik, apakah perasaan Naomi selepas mendengar kata-kata Rut?

Rut dan Naomi tiba di Israel pada permulaan musim menuai barli. Pada suatu hari, Rut pergi mengutip biji-bijian yang tertinggal di ladang Boaz, iaitu anak lelaki Rahab. Boaz mendengar bahawa Rut ialah wanita Moab yang setia kepada Naomi. Jadi dia memberitahu pekerjanya supaya meninggalkan sisa bijian di ladangnya untuk Rut.

Pada petang itu, Naomi bertanya kepada Rut, “Kamu kerja di mana hari ini?” Rut menjawab, “Di ladang seorang lelaki yang bernama Boaz.” Naomi berkata, “Boaz ialah saudara suami saya. Teruslah kerja bersama wanita yang lain di ladang itu. Tempat itu lebih selamat.”

Rut terus bekerja di ladang Boaz sehingga musim menuai berakhir. Boaz melihat bahawa Rut sangat baik dan rajin. Pada zaman dahulu, jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, saudaranya akan mengahwini isteri lelaki tersebut. Jadi Boaz pun mengahwini Rut. Rut kemudiannya melahirkan Obed, iaitu datuk kepada Raja Daud. Kawan-kawan Naomi sangat gembira lalu berkata, “Yehuwa telah memberi kamu Rut, seorang wanita yang baik sekali terhadapmu. Sekarang, Tuhan memberimu seorang cucu. Terpujilah Yehuwa!”

“Ada sahabat yang lebih karib daripada saudara kandung.”​—Amsal 18:24