Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 38

Yehuwa Menjadikan Simson Kuat

Yehuwa Menjadikan Simson Kuat

Seraya masa berlalu, orang Israel menyembah berhala lagi. Jadi, Yehuwa membiarkan orang Filistin menawan mereka. Tetapi, masih terdapat orang Israel yang mengasihi Yehuwa. Salah seorangnya ialah Manoah. Dia dan isterinya tidak mempunyai anak. Pada suatu hari, Yehuwa menghantar malaikat-Nya untuk memberitahu isteri Manoah, “Kamu akan mempunyai seorang anak lelaki. Dia akan menyelamatkan orang Israel daripada orang Filistin. Dia akan menjadi orang Nazir.” Adakah adik tahu siapa orang Nazir? Mereka ialah hamba Yehuwa yang istimewa. Orang Nazir tidak dibenarkan memotong rambut.

Tidak lama kemudian, anak Manoah dilahirkan. Dia dinamakan Simson. Simson terus membesar, dan Yehuwa menjadikannya sangat kuat. Dia dapat membunuh seekor singa dengan menggunakan tangannya. Pernah sekali, dia membunuh 30 orang Filistin. Maka, orang Filistin membencinya dan ingin membunuhnya. Pada suatu malam, semasa Simson berada di Gaza, orang Filistin menunggu di pintu kota itu supaya dapat membunuhnya. Tetapi, pada tengah malam, Simson bangun dan pergi ke pintu kota. Dia memegang pintu itu dengan kuat lalu mencabutnya. Kemudian, dia memikul pintu itu dan membawanya ke puncak gunung yang berdekatan dengan Hebron!

Beberapa waktu kemudian, orang Filistin pergi mencari Delila, iaitu teman wanita Simson. Mereka berkata, “Kami akan memberi kamu 5,500 keping wang perak jika Simson memberitahu kamu apa rahsia kekuatannya. Kami mahu tangkap dia dan penjarakannya.” Delila sangat tamak, jadi dia pun bersetuju untuk melakukannya. Pada mulanya, Simson tidak mahu memberitahu Delila apa-apa. Tetapi, Delila asyik memujuk Simson sehingga dia pun mendedahkan rahsianya. Dia berkata, “Rambut saya tidak pernah dipotong kerana saya ialah orang Nazir. Jika rambut saya dipotong, kuasa saya akan hilang.” Malangnya, tindakan Simson telah mendatangkan masalah kepadanya!

Delila segera memberitahu orang Filistin, “Saya sudah tahu rahsianya!” Semasa Simson sedang tidur, Delila menyuruh seseorang untuk memotong rambutnya. Kemudian Delila menjerit, “Simson, orang Filistin sudah datang!” Apabila Simson bangun, kuasanya sudah hilang. Orang Filistin terus menangkap Simson, membutakan matanya, dan memenjarakannya.

Pada suatu hari, ribuan orang Filistin berkumpul di kuil Dewa Dagon. Mereka berteriak, “Dewa kita telah memberi kita Simson! Bawalah dia keluar supaya dia boleh menghiburkan kita.” Mereka menyuruh Simson berdiri di antara dua batang tiang dan mengejek-ejeknya. Simson pun merayu, “Yehuwa, jadikanlah saya kuat semula.” Pada masa itu, rambut Simson sudah panjang. Dengan sekuat tenaganya, dia menolak tiang-tiang kuil itu. Bangunan itu terus roboh dan membunuh semua orang yang ada di situ, termasuk Simson.

“Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.”​—Filipi 4:13