Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 39

Raja yang Pertama di Israel

Raja yang Pertama di Israel

Yehuwa telah melantik banyak hakim untuk memimpin orang Israel. Namun, mereka masih mahukan seorang raja. Mereka berkata, “Semua bangsa lain ada raja sendiri. Kami pun mahu seorang raja.” Samuel tidak senang hati, jadi dia berdoa kepada Yehuwa tentang hal ini. Yehuwa berkata kepadanya, “Orang Israel bukannya menolak kamu, tetapi mereka menolak Aku. Beritahulah mereka bahawa mereka boleh mendapat seorang raja. Tetapi, raja itu akan minta banyak perkara daripada rakyat.” Orang Israel menjawab, “Kami tidak peduli. Kami mahu seorang raja!”

Jadi, Yehuwa berkata bahawa Saul akan menjadi raja yang pertama. Apabila Saul melawat Samuel di Rama, Samuel menuangkan minyak ke atas kepala Saul dan melantiknya sebagai raja.

Selepas itu, Samuel mengumpulkan orang Israel untuk menunjukkan Raja Saul kepada mereka. Tetapi, Saul telah hilang! Di manakah dia? Dia telah bersembunyi di antara barang-barang. Setelah menjumpainya, mereka membawanya untuk menghadap orang ramai. Saul lebih tinggi daripada semua orang, dan dia sangat kacak. “Dialah yang dipilih oleh Yehuwa,” kata Samuel. Mereka pun menjawab, “Daulat tuanku!”

Pada mulanya, Raja Saul mendengar cakap Samuel dan mentaati Yehuwa. Lama-kelamaan, dia mula berubah. Contohnya, Saul tidak patut mempersembahkan korban. Dia harus menunggu sehingga Nabi Samuel tiba. Tetapi, apabila Samuel tidak muncul-muncul, Saul terus mempersembahkan korban. Apakah reaksi Samuel? Dia berkata, “Kamu tidak patut melawan cakap Yehuwa.” Adakah Saul akan belajar daripada kesilapannya?

Pada kemudian hari, Saul berperang dengan orang Amalek. Samuel sudah memberitahunya untuk memusnahkan seluruh bangsa itu. Tetapi, Saul membiarkan Raja Agag hidup. Yehuwa berkata kepada Samuel, “Saul telah meninggalkan Aku. Dia tidak lagi mentaati-Ku.” Samuel sangat sedih, lalu memberitahu Saul, “Kamu tidak lagi mendengar cakap Yehuwa. Jadi Dia akan memilih seorang raja yang baharu.” Apabila Samuel beredar, Saul menarik hujung baju Samuel, lalu baju itu terkoyak. Samuel pun berkata, “Seperti baju yang koyak ini, Yehuwa sudah mengoyakkan kerajaan Israel daripada kamu.” Maksudnya, Yehuwa akan memberikan kerajaan Israel kepada orang yang mengasihi dan mentaati-Nya.

“Mentaati Yehuwa lebih baik daripada mempersembahkan korban.”​—1 Samuel 15:22