Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 49

Seorang Permaisuri Jahat Dihukum

Seorang Permaisuri Jahat Dihukum

Dari tingkap istana di Yizreel, Raja Ahab nampak sebuah ladang anggur milik Nabot. Dia menginginkan ladang itu dan mencuba untuk membelinya daripada Nabot. Tetapi Nabot menolak tawarannya kerana dia tidak mahu melanggar Hukum Yehuwa dengan menjual tanah warisannya. Adakah Ahab menghormati Nabot kerana dia melakukan hal yang benar? Tidak. Ahab sangat marah. Dia tidak mahu keluar dari biliknya dan enggan makan.

Isteri Ahab, iaitu Permaisuri Izebel yang jahat itu, berkata, “Tuanku ialah raja Israel. Tuanku boleh dapatkan apa-apa saja. Saya akan dapatkan tanah itu untuk tuanku.” Maka, Izebel menulis sepucuk surat kepada para pemimpin kota. Dia menyuruh mereka untuk menuduh bahawa Nabot telah mengutuk Tuhan. Kemudian, mereka harus merejamnya sampai mati. Para pemimpin itu mengikut arahan Izebel. Selepas itu, Izebel berkata kepada Ahab, “Nabot sudah mati. Ladangnya ialah milik tuanku.”

Selain Nabot, Izebel telah membunuh ramai orang, termasuk umat Yehuwa. Dia juga menyembah patung berhala dan melakukan perkara yang jahat. Yehuwa dapat melihat semua perbuatan Izebel. Apakah yang akan dilakukan-Nya?

Selepas Ahab meninggal, anaknya Yehoram menjadi raja. Pada masa itu, Yehuwa menghantar Yehu untuk menghukum Izebel dan keluarganya.

Yehu pun bertolak ke tempat tinggal Izebel di Yizreel. Semasa Yehoram melihat Yehu, dia bertanya, “Yehu, adakah kamu datang dengan niat baik?” Yehu menjawab, “Mana mungkin saya datang dengan niat baik! Ibumu Izebel asyik melakukan perkara jahat.” Yehoram segera membelokkan kereta kudanya dan melarikan diri. Tetapi, Yehu mengambil busurnya lalu memanah Yehoram. Akhirnya, Yehoram pun mati.

Selepas itu, Yehu pergi ke istana Izebel. Apabila Izebel mendengar bahawa Yehu akan datang, dia bersolek dan menghias rambutnya, lalu duduk di tepi tingkap. Tetapi semasa Yehu tiba, Izebel bercakap kepadanya dengan kasar. Kemudian, Yehu berkata kepada hamba-hamba di sebelah Izebel, “Tolaklah dia ke bawah!” Mereka segera menolak Izebel, dan dia jatuh lalu mati.

Yehu juga membunuh 70 orang anak Raja Ahab dan melenyapkan penyembahan Baal di Israel. Hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa mengetahui segala-galanya. Dia akan menghukum orang yang jahat pada masa yang sesuai.

“Meskipun orang yang tamak menjadi kaya, pada akhirnya, kekayaan itu tidak akan membawa berkat kepadanya.”​—Amsal 20:21