Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 58

Yerusalem Dimusnahkan

Yerusalem Dimusnahkan

Berulang kali, orang Yehuda meninggalkan Yehuwa dan menyembah tuhan-tuhan palsu. Selama bertahun-tahun, Yehuwa mencuba untuk membantu mereka. Tetapi mereka tidak mempedulikan amaran nabi-nabi Tuhan. Mereka bahkan mengejek nabi Tuhan. Jadi, bagaimanakah Yehuwa akan melenyapkan penyembahan palsu yang sedang berleluasa?

Raja Babilon, iaitu Nebukadnezar, telah berjaya menawan banyak kota. Setelah mengalahkan Yerusalem, dia membawa Raja Yehoyakhin, para pemimpin kota, pahlawan-pahlawan yang gagah, tukang seni, dan tukang besi, ke Babilon sebagai tawanan. Dia juga merampas semua harta di Rumah Yehuwa. Kemudian, dia melantik Zedekia sebagai raja Yehuda.

Pada mulanya, Zedekia mentaati Raja Nebukadnezar. Tetapi, bangsa-bangsa lain dan para nabi palsu menasihati Zedekia untuk memberontak. Maka, Yeremia pun memberitahu Zedekia, “Jika kamu memberontak, kebuluran, wabak penyakit, dan pembunuhan, akan menimpa penduduk Yehuda.”

Selepas memerintah selama lapan tahun, Zedekia ingin memberontak terhadap Nebukadnezar. Dia meminta bantuan daripada tentera Mesir. Jadi, Nebukadnezar pun menghantar tentera Babilon untuk menyerang Yerusalem. Yeremia memberitahu Zedekia, “Yehuwa berkata bahawa kamu dan kota ini akan terselamat jika kamu menyerah kepada Babilon. Jika tidak, tentera Babilon akan membakar kota Yerusalem dan mengambil kamu sebagai tawanan.” Zedekia berkata, “Saya takkan menyerah!”

Setahun setengah kemudian, tentera Babilon merobohkan tembok Yerusalem dan membakar kota itu, termasuk Rumah Tuhan. Mereka membunuh banyak orang dan menawan ribuan penduduk Yehuda.

Apabila Zedekia melarikan diri dari Yerusalem, tentera Babilon mengejarnya. Mereka berjaya menangkapnya di kawasan berdekatan Yerikho dan membawanya kepada Nebukadnezar. Raja Nebukadnezar membunuh anak-anak lelaki Zedekia di depan matanya. Setelah itu, dia membutakan mata Zedekia dan memenjarakannya. Akhirnya, Zedekia mati di dalam penjara. Namun, Yehuwa berjanji kepada orang Yehuda, “Selepas 70 tahun, Aku akan membawa kamu pulang ke Yerusalem.”

Apakah yang berlaku kepada orang muda yang telah dibawa ke Babilon? Adakah mereka akan tetap setia kepada Yehuwa?

“Ya Tuhan Yehuwa, Tuhan Yang Maha Kuasa, hukuman-Mu itu benar dan adil.”​—Wahyu 16:7