Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 59

Empat Pemuda yang Mentaati Yehuwa

Empat Pemuda yang Mentaati Yehuwa

Raja Nebukadnezar membawa para pemimpin Yehuda yang telah ditawannya ke Babilon. Kemudian, dia melantik Aspenas untuk mengawasi mereka. Aspenas harus memilih para pemuda yang paling sihat dan bijak untuk menjalani latihan yang istimewa. Latihan ini mempersiapkan mereka untuk menjadi pegawai tinggi di Babilon. Selama tiga tahun, mereka belajar untuk membaca, menulis, dan bertutur dalam bahasa Akkadia, iaitu bahasa yang digunakan di Babilon. Mereka juga diberikan makanan yang dihidangkan kepada raja. Antara pemuda yang dipilih ialah Daniel, Hanania, Misael, dan Azarya. Kemudian, Aspenas memberi mereka nama dalam bahasa Babilon, iaitu Beltesazar, Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Adakah semua ini menyebabkan mereka berhenti menyembah Yehuwa?

Empat pemuda ini bertekad untuk mematuhi Yehuwa. Mereka sedar bahawa sesetengah makanan raja dianggap tidak suci dalam Hukum Yehuwa. Jadi, mereka tahu bahawa mereka tidak patut memakannya. Maka, mereka berkata, “Janganlah paksa kami untuk makan makanan itu.” Tetapi, Aspenas berkata, “Jika kamu tidak makan makanan itu, kamu akan jadi lemah. Apabila raja melihat kamu begitu, saya pasti dihukum mati!”

Tetapi Daniel ada suatu cadangan. Dia berkata kepada penjaga yang bertugas, “Berilah kami sayur-sayuran dan air selama 10 hari. Selepas itu, tuan boleh bandingkan rupa kami dengan rupa pemuda lain yang makan makanan raja.” Penjaga itu pun bersetuju.

Selepas 10 hari, Daniel dan tiga orang sahabatnya kelihatan lebih sihat berbanding pemuda lain. Yehuwa sangat gembira kerana mereka mentaati-Nya. Dia memberi Daniel kebijaksanaan untuk memahami penglihatan dan mimpi.

Selepas latihan tamat, Aspenas membawa pemuda-pemuda itu kepada raja. Raja mendapati bahawa Daniel, Hanania, Misael, dan Azarya, jauh lebih bijak dan berpengertian berbanding pemuda yang lain. Maka, mereka dipilih untuk bekerja di istana. Semasa menguruskan hal-hal yang penting, raja akan meminta nasihat mereka. Yehuwa menjadikan empat pemuda itu lebih bijak daripada semua tukang sihir dan penasihat raja.

Walaupun Daniel, Hanania, Misael, dan Azarya, berada di tempat yang asing, mereka tidak lupa bahawa mereka ialah umat Yehuwa. Adakah adik juga ingat akan Yehuwa, walaupun semasa ibu bapa tidak bersama adik?

“Jangan biarkan sesiapa pun memandang rendah terhadap kamu kerana kamu muda. Sebaliknya, hendaklah percakapanmu, tingkah lakumu, kasihmu, imanmu, dan kemurnianmu, menjadi contoh kepada orang yang setia.”​—1 Timotius 4:12