Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 61

Mereka Enggan Bersujud

Mereka Enggan Bersujud

Tidak lama selepas Raja Nebukadnezar bermimpi tentang patung yang besar itu, dia mendirikan sebuah patung emas di Dataran Dura. Semua orang yang berpangkat, termasuk Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, disuruh untuk berdiri di hadapan patung itu. Kemudian, raja berkata, “Apabila kamu mendengar bunyi trompet, kecapi, dan begpaip, kamu harus menyembah patung emas itu. Jika tidak, kamu akan dilemparkan ke dalam relau api!” Adakah ketiga-tiga pemuda Ibrani itu bersujud kepada patung itu, atau adakah mereka akan setia kepada Yehuwa?

Kemudian, raja memerintahkan agar muzik dimainkan. Semua orang bersujud kepada patung itu, kecuali Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Beberapa orang yang melihat hal itu memberitahu raja, “Ketiga-tiga pemuda Ibrani enggan menyembah patung tuanku!” Nebukadnezar memanggil tiga pemuda itu dan berkata, “Beta akan beri kamu satu lagi peluang. Jika kamu masih enggan menyembah patung itu, beta akan buang kamu ke dalam relau api. Tiada tuhan yang dapat selamatkan kamu.” Mereka menjawab, “Tuanku tidak perlu berbuat demikian. Tuhan kami akan selamatkan kami. Tapi jika Dia tidak berbuat demikian, kami masih tidak akan sembah patung itu.”

Raja menjadi sangat marah. Dia memberitahu askarnya, “Pastikan api relau dipanaskan tujuh kali ganda daripada yang biasanya. Ikat mereka dan buang mereka ke dalam relau itu!” Relau itu panas sekali sehingga askar-askar yang mendekatinya mati dengan serta-merta. Ketiga-tiga pemuda Ibrani dibuang ke dalam relau api. Tetapi, tiba-tiba Nebukadnezar melihat empat lelaki berjalan di tengah-tengah api itu. Dia sangat takut dan bertanya kepada pegawainya, “Bukankah kita melemparkan tiga lelaki ke dalam relau api? Tapi sekarang, beta melihat empat orang di situ. Salah seorangnya kelihatan seperti malaikat!”

Nebukadnezar menghampiri relau itu dan berseru, “Keluarlah, hamba-hamba Tuhan Yang Maha Tinggi!” Semua orang terkejut apabila melihat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Mereka langsung tidak cedera! Kulit, rambut, dan pakaian mereka, tidak terbakar, bahkan bau asap pun tidak ada pada badan mereka.

Nebukadnezar berkata, “Tuhan Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, sangat hebat! Dia mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan mereka. Tiada tuhan yang dapat menandingi-Nya.”

Seperti ketiga-tiga pemuda Ibrani itu, adakah adik juga bertekad untuk tetap setia kepada Yehuwa, tidak kira apa yang berlaku?

“Kamu mesti menyembah Yehuwa, Tuhanmu, dan kamu mesti memberikan khidmat suci kepada Dia sahaja.”​—Matius 4:10