Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 62

Sebuah Kerajaan yang bagaikan Pokok yang Besar

Sebuah Kerajaan yang bagaikan Pokok yang Besar

Pada suatu malam, Raja Nebukadnezar mendapat mimpi buruk. Dia memanggil semua orang yang bijaksana untuk memberitahunya maksud mimpi itu. Tetapi, tiada seorang pun yang dapat menjelaskannya. Akhirnya, raja meminta bantuan Daniel.

Nebukadnezar memberitahu Daniel, “Dalam mimpi beta, ada pokok yang tinggi sehingga mencapai langit. Setiap orang di bumi dapat melihatnya. Pokok itu ada banyak buah, dan daunnya sangat cantik. Binatang-binatang berteduh di bawahnya, dan burung membuat sarang di dahannya. Kemudian, satu malaikat turun dari langit dan berkata, ‘Tebang pokok itu dan potonglah dahannya. Tetapi tinggalkan tunggul pokok dengan akarnya di tanah. Pasangkanlah gelang besi dan tembaga pada tunggul itu. Biarlah hati manusia yang dimilikinya berubah menjadi seperti hati binatang selama tujuh waktu. Barulah semua orang akan tahu bahawa Tuhan ialah Pemerintah yang agung. Dia memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa saja.’”

Yehuwa memberitahu Daniel maksud mimpi itu. Selepas itu, Daniel menjadi sangat takut. Dia berkata, “Saya berharap mimpi ini tentang musuh tuanku. Tetapi sebenarnya, pokok yang ditebang itu ialah tuanku. Tuanku akan hilang kuasa atas kerajaan tuanku dan akan makan rumput seperti binatang liar. Tetapi, malaikat memberikan perintah untuk membiarkan tunggul dengan akarnya. Maksudnya, tuanku akan menjadi raja lagi.”

Setahun kemudian, semasa Nebukadnezar berada di bumbung istananya, dia melihat kota Babilon lalu berkata, “Lihatlah betapa indahnya kota beta! Beta memang raja yang agung!” Pada saat itu juga, suatu suara dari syurga berkata, “Nebukadnezar! Kamu akan kehilangan kuasa atas kerajaanmu.”

Nebukadnezar terus menjadi gila dan berkelakuan seperti seekor binatang. Dia dihalau dari istana dan terpaksa tinggal bersama binatang lain di padang. Rambutnya bertumbuh panjang seperti bulu burung helang, dan kukunya menjadi seperti cakar burung.

Tujuh tahun kemudian, Nebukadnezar menjadi waras semula. Yehuwa menjadikannya sebagai raja Babilon. Nebukadnezar berkata, “Beta memuji Yehuwa, Raja di syurga. Dialah Pemerintah yang agung. Dia merendahkan orang yang sombong dan memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa saja.”

“Kesombongan mengakibatkan kemusnahan, dan keangkuhan membawa kehancuran.”​—Amsal 16:18