Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 68

Elisabet Melahirkan Seorang Anak Lelaki

Elisabet Melahirkan Seorang Anak Lelaki

Lebih daripada 400 tahun sudah berlalu selepas tembok Yerusalem dibina semula. Ketika itu, Imam Zakharia dan isterinya Elisabet tinggal berdekatan Yerusalem. Mereka sudah lama berkahwin tetapi mereka tiada anak. Pada suatu hari, malaikat Gabriel muncul semasa Zakharia bertugas di dalam Bilik Suci Rumah Yehuwa. Zakharia sangat terkejut. Tetapi malaikat itu berkata, “Jangan takut. Saya ada berita baik daripada Yehuwa. Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki yang akan dinamakan Yohanes. Yehuwa telah memilihnya untuk kerja yang istimewa.” Zakharia berkata, “Mana mungkin? Kami terlalu tua untuk mendapatkan seorang anak.” “Tuhan suruh saya sampaikan berita ini. Tapi kamu tidak mempercayai kata-kata itu. Jadi kamu tidak dapat berkata-kata sehingga bayi itu lahir,” kata Gabriel.

Selepas beberapa ketika, Zakharia keluar dari Rumah Tuhan. Orang ramai ingin mengetahui apa yang telah berlaku kepadanya. Tetapi, Zakharia tidak dapat bercakap. Dia hanya dapat memberikan isyarat dengan tangannya. Mereka pun sedar bahawa Zakharia telah menerima mesej daripada Tuhan.

Tidak lama kemudian, Elisabet melahirkan seorang anak, seperti yang dikatakan malaikat itu. Kawan-kawan dan saudara-maranya datang untuk melihat bayi itu. Mereka tumpang gembira. Elisabet berkata, “Nama bayi ini ialah Yohanes.” Mereka berkata, “Kamu tiada ahli keluarga yang bernama Yohanes. Namakannya Zakharia, seperti bapanya.” Tetapi Zakharia menulis, “Yohanes namanya.” Tiba-tiba, Zakharia dapat bercakap semula! Berita tentang bayi itu tersebar ke seluruh Yudea. Orang ramai tertanya-tanya, “Apakah yang akan dilakukan oleh anak ini apabila dia besar nanti?”

Kemudian, Zakharia dipenuhi dengan kuasa suci Tuhan, lalu berkata, “Terpujilah Yehuwa. Dia berjanji kepada Abraham bahawa Dia akan mengutus Mesias untuk menyelamatkan kita. Yohanes akan menjadi nabi, dan dia akan menyediakan jalan bagi Mesias.”

Sesuatu yang luar biasa juga berlaku kepada ahli keluarga Elisabet, iaitu Maria. Bacalah kisahnya dalam bab yang seterusnya.

“Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi tidak ada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan.”​—Matius 19:26