Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 69

Gabriel Melawat Maria

Gabriel Melawat Maria

Ahli keluarga Elisabet, iaitu Maria, tinggal di kota Nasaret di Galilea. Maria sudah bertunang dengan seorang tukang kayu yang bernama Yusuf. Semasa Elisabet mengandung enam bulan, malaikat Gabriel melawat Maria. Dia berkata, “Salam sejahtera, Maria. Tuhan sangat senang hati denganmu.” Maria tidak memahami maksud kata-katanya. Malaikat itu berkata lagi, “Kamu akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Kamu harus namakannya Yesus. Dia akan jadi Raja, dan Kerajaannya akan kekal selama-lamanya.”

Maria berkata, “Saya masih dara. Jadi, bagaimana hal ini boleh berlaku?” Gabriel menjawab, “Tiada yang mustahil bagi Yehuwa. Kuasa suci Tuhan akan datang ke atasmu dan kamu akan melahirkan seorang anak. Saudarimu Elisabet yang sudah tua pun dapat mengandung.” Maria pun berkata, “Saya hamba perempuan Yehuwa! Semoga semuanya berlaku seperti yang tuan katakan.”

Selepas itu, Maria pergi melawat Elisabet. Selepas Maria mengucapkan salam kepada Elisabet, anak dalam rahim Elisabet melonjak. Elisabet dipenuhi dengan kuasa suci Tuhan. Dia berkata, “Maria, Yehuwa telah memberkatimu. Saya gembira kerana ibu Mesias telah datang untuk melawatku.” Maria berkata, “Saya memuji Yehuwa dengan sepenuh hati.” Maria tinggal bersama Elisabet selama tiga bulan. Selepas itu, dia pulang ke rumahnya di Nasaret.

Setelah Yusuf mengetahui bahawa Maria mengandung, dia tidak ingin berkahwin dengannya. Tetapi malaikat Tuhan muncul kepadanya dalam mimpi dan berkata, “Janganlah takut untuk mengahwini Maria. Dia tidak melakukan apa-apa yang salah.” Jadi, Yusuf pun berkahwin dengan Maria.

“Yehuwa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya, di langit dan di bumi.”​—Mazmur 135:6