Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 72

Yesus yang Masih Muda

Yesus yang Masih Muda

Yusuf dan Maria tinggal di Nasaret bersama Yesus dan anak mereka yang lain. Yusuf bekerja sebagai seorang tukang kayu. Dia juga mengajar keluarganya tentang Yehuwa dan Hukum-Nya. Mereka sekeluarga selalu pergi ke rumah ibadat untuk menyembah Tuhan. Mereka juga menyambut Perayaan Paska di Yerusalem setiap tahun.

Semasa Yesus berumur 12 tahun, keluarganya pergi ke Yerusalem. Kota itu riuh-rendah kerana banyak orang datang untuk Perayaan Paska. Selepas perayaan itu, mereka pun pulang. Yusuf dan Maria menyangka bahawa Yesus ada bersama mereka. Tetapi, apabila mereka mencari Yesus, mereka tidak dapat menjumpainya.

Mereka sangat risau. Maka, mereka berpatah balik ke Yerusalem. Mereka mencari Yesus selama tiga hari. Akhirnya, mereka pergi ke Rumah Tuhan. Di sana, Yesus sedang duduk bersama guru-guru agama sambil mendengar dan mengajukan soalan kepada mereka. Para guru agama juga menanyakan soalan kepada Yesus. Setelah mendengar jawapan Yesus, mereka berasa sangat kagum kerana dia dapat memahami Hukum Yehuwa.

Apabila mereka menjumpai Yesus, Maria berkata, “Ke mana kamu pergi? Sudah puas kami mencari kamu!” Yesus berkata, “Tidakkah emak dan ayah tahu bahawa saya pasti berada di rumah Bapa saya?”

Selepas itu, Yesus kembali ke Nasaret bersama ibu bapanya. Yusuf mengajar Yesus tentang kerja seorang tukang kayu. Pada pendapat adik, apakah sifat-sifat yang dimiliki Yesus semasa dia masih muda? Seraya dia membesar, dia menjadi semakin bijak, dan dia disukai oleh Tuhan dan manusia.

“Ya Tuhanku, aku suka melakukan kehendak-Mu, dan aku menyimpan hukum-Mu dalam lubuk hatiku.”​—Mazmur 40:8