Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 81

Ceramah Di Atas Gunung

Ceramah Di Atas Gunung

Selepas memilih 12 orang rasulnya, Yesus pergi ke tempat orang sedang berkumpul. Mereka datang dari Galilea, Yudea, Tirus, Sidon, Siria, dan seberang Sungai Yordan. Mereka membawa orang yang sakit dan orang yang diganggu oleh roh jahat. Yesus menyembuhkan semua orang itu. Kemudian, dia mengajar tentang apa yang harus dilakukan untuk menjadi sahabat Tuhan. Kita harus sedar bahawa kita memerlukan Yehuwa dan belajar untuk mengasihi-Nya. Namun, kita tidak dapat mengasihi Tuhan jika kita tidak mengasihi orang lain. Kita harus melayan semua orang, termasuk musuh kita, dengan baik hati dan adil.

Yesus berkata, “Jika kamu hanya mengasihi kawan kamu, itu tidak cukup. Kamu juga mesti mengasihi musuh kamu dan memaafkan orang dengan ikhlas. Jika seseorang marah terhadap kamu, pergilah minta maaf dengan segera. Layanlah orang lain sebagaimana kamu mahu dilayan.”

Yesus juga memberikan nasihat tentang harta benda. Dia berkata, “Menjadi sahabat Yehuwa adalah lebih penting daripada mempunyai banyak duit. Seorang pencuri boleh mencuri duit kamu, tetapi tiada sesiapa dapat meragut persahabatan kamu dengan Yehuwa. Janganlah risau tentang makanan, minuman, atau pakaian. Lihatlah burung-burung. Tuhan sentiasa memberi burung makanan. Oleh itu, janganlah risau kerana hal itu tidak dapat memanjangkan umur kamu. Ingatlah, Yehuwa tahu apa yang kamu perlukan.”

Orang ramai sangat kagum dengan ajaran Yesus. Pemimpin agama, iaitu para jurutulis hukum dan orang Farisi, tidak pernah mengajar mereka hal-hal sedemikian. Mengapakah Yesus merupakan seorang guru yang hebat? Sebab semua ajarannya berasal daripada Yehuwa.

“Pikullah kuk aku dan belajarlah daripadaku, kerana aku lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan pulih segar.”​—Matius 11:29