Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 84

Yesus Berjalan Di Atas Air

Yesus Berjalan Di Atas Air

Yesus bukan hanya dapat menyembuhkan orang sakit dan membangkitkan orang mati, tetapi dia juga dapat mengawal angin dan hujan. Selepas berdoa di atas sebuah gunung, Yesus memandang ke arah Tasik Galilea. Dia melihat para rasulnya yang berusaha untuk mendayung perahu kerana angin sedang bertiup dengan kencang. Jadi, Yesus turun dari gunung dan berjalan di atas air ke arah perahu mereka. Apabila para rasul melihat seseorang sedang berjalan di atas air, mereka menjadi sangat takut. Tetapi Yesus memberitahu mereka, “Ini saya. Janganlah takut.”

Petrus berkata, “Jika kamu benar-benar Tuan, suruhlah saya berjalan di atas air.” Yesus memberitahu Petrus, “Marilah.” Maka, Petrus pun keluar dari perahu dan mula berjalan di atas air menuju ke arah Yesus. Tetapi, apabila Petrus melihat ke arah ribut, dia berasa takut. Dia mula tenggelam lalu menjerit, “Tuan, selamatkanlah saya!” Yesus memegang tangannya dan berkata, “Mengapa kamu ragu-ragu? Di manakah iman kamu?”

Kemudian, Yesus dan Petrus naik ke dalam perahu. Tiba-tiba, ribut pun berhenti. Dapatkah adik bayangkan perasaan para rasul? Mereka berkata, “Sememangnya Guru ialah Anak Tuhan.”

Sebenarnya, Yesus juga pernah melakukan mukjizat sebegini. Ketika itu, Yesus dan para rasulnya sedang menaiki perahu untuk menyeberangi tasik. Semasa Yesus sedang tidur di belakang perahu, angin yang kencang melanda. Perahu mereka dipukul ombak sehingga hampir penuh dengan air. Maka, para rasul segera membangunkan Yesus dan menjerit, “Guru! Guru! Kami hampir mati!” Yesus bangun dan berkata kepada tasik, “Diam! Tenanglah!” Dengan serta-merta, angin dan tasik pun menjadi tenang sekali. Yesus bertanya kepada para rasulnya, “Di manakah iman kamu?” Mereka berkata kepada satu sama lain, “Angin dan ombak pun mematuhinya.” Para rasul belajar bahawa mereka tidak perlu takut akan apa-apa pun jika mereka percaya sepenuhnya kepada Yesus.

“Jika aku tidak beriman bahawa aku akan merasai kebaikan Yehuwa dalam hidupku ini, apakah yang akan berlaku kepadaku?”​—Mazmur 27:13