Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 88

Yesus Ditangkap

Yesus Ditangkap

Hari sudah larut malam. Yesus dan para rasulnya berjalan melalui Lembah Kidron ke Gunung Zaitun. Apabila mereka sampai di Taman Getsemani, Yesus berkata kepada para rasul, “Berjaga-jagalah di sini.” Kemudian, Yesus pergi jauh sedikit daripada mereka lalu bersujud. Dia berdoa kepada Bapanya, “Biarlah kehendak-Mu terjadi.” Yehuwa mengutus malaikat untuk menguatkan Yesus. Sewaktu Yesus kembali kepada rasulnya, dia mendapati bahawa mereka tertidur. Dia berkata, “Bangun! Sekarang bukan masanya untuk tidur. Tidak lama lagi musuh akan menangkap saya.”

Kemudian, Yudas datang bersama sekumpulan orang yang bersenjata. Dia tahu di mana Yesus berada kerana mereka sering pergi ke taman itu. Yudas memberitahu para askar bahawa dia akan menunjukkan siapa Yesus. Kemudian, Yudas menghampiri Yesus dan berkata, “Salam sejahtera, Guru,” lalu menciumnya. Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah kamu mengkhianati saya dengan satu ciuman?”

Yesus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus, orang Nasaret itu.” Yesus berkata, “Sayalah Yesus.” Selepas mendengar hal itu, mereka berundur dan rebah ke tanah. Yesus bertanya lagi, “Siapakah yang kamu cari?” Sekali lagi mereka menjawab, “Yesus, orang Nasaret itu.” Yesus memberitahu mereka, “Saya sudah kata bahawa sayalah Yesus. Lepaskanlah yang lain.”

Tiba-tiba, Petrus mengambil pedang dan memotong telinga Malkhus, seorang hamba kepada imam agung. Tetapi, Yesus menyentuh telinga hamba itu dan menyembuhkannya. Dia berkata kepada Petrus, “Simpan pedang itu. Jika kamu menggunakan pedang, kamu akan dibunuh dengan pedang.” Para askar menangkap Yesus dan mengikat tangannya. Para rasulnya pula melarikan diri. Kemudian, Yesus dibawa untuk berjumpa dengan ketua imam yang bernama Hanas. Selepas disoal oleh Hanas, Yesus dihantar kepada Imam Agung Kayafas. Apakah yang terjadi kepada para rasulnya?

“Kamu akan menghadapi kesengsaraan di dunia ini, tetapi teguhkanlah hati kamu! Aku sudah menakluki dunia.”​—Yohanes 16:33