Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 90

Yesus Meninggal di Golgota

Yesus Meninggal di Golgota

Ketua-ketua imam membawa Yesus ke kediaman gabenor. Kemudian, Pilatus bertanya, “Apakah kesalahan lelaki ini?” Mereka menjawab, “Dia mengatakan bahawa dia ialah seorang raja!” Pilatus menanya Yesus, “Adakah kamu Raja orang Yahudi?” Yesus berkata, “Kerajaan saya bukan sebahagian daripada dunia ini.”

Pilatus berasa bahawa Yesus tidak bersalah. Jadi dia menyuruh agar Yesus dibawa kepada pemerintah Galilea, iaitu Herodes. Herodes pun tidak dapat mencari kesalahan Yesus. Maka, Pilatus berkata, “Saya dan Herodes rasa lelaki ini tidak bersalah. Saya akan bebaskan dia.” Tetapi, orang ramai berteriak, “Bunuhlah dia! Bunuhlah dia!” Para askar memukul Yesus dan meludahinya. Mereka meletakkan mahkota yang berduri di atas kepala Yesus dan mentertawakannya sambil berkata, “Salam sejahtera, Raja orang Yahudi!” Pilatus berkata sekali lagi, “Saya rasa dia tidak bersalah.” Namun, orang ramai berteriak, “Pakukan dia pada tiang seksaan!” Akhirnya, Pilatus membiarkan Yesus dihukum bunuh.

Para askar membawa Yesus ke Golgota. Setelah memakukan Yesus pada sebatang tiang, mereka menegakkan tiang itu. Yesus berdoa, “Bapa, maafkan mereka kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan.” Orang ramai mengejek Yesus dan berkata, “Jika kamu Anak Tuhan, turunlah dari tiang itu! Selamatkan dirimu.”

Salah seorang penjenayah yang digantung di sebelah Yesus berkata, “Ingatlah saya apabila kamu masuk ke dalam Kerajaanmu.” Yesus berjanji kepadanya, “Kamu akan bersama-sama saya di Firdaus.” Pada tengah hari itu, bumi menjadi gelap selama tiga jam. Beberapa orang rasul Yesus berada di sana, termasuk ibu Yesus, iaitu Maria. Yesus memberitahu Yohanes untuk menjaga Maria seperti ibunya sendiri.

Selepas itu, Yesus berkata, “Sudah selesai!” Dia menundukkan kepala lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ketika itu, gempa bumi berlaku dan tirai Rumah Tuhan koyak menjadi dua dari atas sampai ke bawah. Seorang askar berkata, “Dia sememangnya Anak Tuhan.”

“Tidak kira berapa banyak janji Tuhan, semua janji itu telah menjadi ‘ya’ melalui Yesus.”​—2 Korintus 1:20