Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 91

Yesus Dibangkitkan

Yesus Dibangkitkan

Selepas Yesus meninggal, seorang lelaki kaya yang bernama Yusuf meminta izin daripada Pilatus untuk mengambil mayat Yesus. Yusuf membalut mayat Yesus dengan kain linen yang bermutu dan ramuan yang wangi. Mayat Yesus diletakkan di kubur yang baharu dan ditutup dengan batu yang besar. Tetapi, ketua-ketua imam memberitahu Pilatus, “Kami risau murid Yesus akan ambil mayatnya lalu berkata dia sudah hidup kembali.” Jadi, Pilatus berkata, “Pastikan kubur itu dikawal dan ditutup rapat.”

Tiga hari kemudian, beberapa wanita pergi ke kubur Yesus. Mereka melihat bahawa batu penutup kubur itu telah dialihkan. Kemudian, satu malaikat berkata kepada mereka, “Janganlah takut. Yesus sudah hidup semula. Suruhlah murid-muridnya bertemu dengannya di Galilea.”

Sementara itu, Maria Magdalena pergi memberitahu Petrus dan Yohanes, “Ada orang telah mengambil mayat Yesus!” Petrus dan Yohanes berlari ke kubur Yesus, tetapi kubur itu kosong. Jadi, mereka pulang ke rumah.

Maria kembali ke kubur Yesus dan melihat dua malaikat di sana. Dia berkata kepada mereka, “Saya tidak tahu ke mana mereka bawa Tuan saya.” Kemudian, dia melihat seorang lelaki dan berfikir bahawa lelaki itu ialah tukang kebun. Maria bertanya kepadanya, “Di mana tuan letak mayatnya?” Lelaki itu berkata, “Maria!” Apabila Maria sedar bahawa dia ialah Yesus, Maria berkata, “Guru!” lalu memeluknya. Yesus berkata, “Beritahulah saudara lain bahawa kamu sudah melihat saya.” Tanpa membuang masa, Maria melaporkan hal ini kepada murid-murid Yesus.

Pada hari yang sama, dua orang murid Yesus berjalan dari Yerusalem ke Emaus. Tiba-tiba, seorang lelaki bertanya tentang apa yang dibualkan oleh mereka. Mereka berkata, “Kamu tidak tahu? Tiga hari yang lalu, Yesus dihukum mati. Tapi, beberapa wanita berkata bahawa dia sudah hidup!” Lelaki itu bertanya, “Tidakkah kamu percaya kepada para nabi? Mereka berkata Kristus akan mati dan dihidupkan semula.” Lelaki itu menjelaskan ayat-ayat Bible kepada mereka. Setibanya di Emaus, mereka menjemputnya untuk tinggal bersama mereka. Semasa makan, lelaki itu mengambil roti lalu berdoa. Kemudian, barulah mereka sedar bahawa dia ialah Yesus. Selepas itu, dia hilang daripada pandangan mereka.

Mereka segera pulang ke Yerusalem dan memberitahu rasul yang lain segala yang telah berlaku. Pada masa itu juga, Yesus muncul di hadapan mereka. Mula-mula, para rasul tidak percaya bahawa orang itu ialah Yesus. Maka, Yesus berkata, “Lihatlah tangan saya dan peganglah saya. Ada tertulis bahawa Kristus akan dibangkitkan daripada kematian.”

“Akulah jalan dan kebenaran dan kehidupan. Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.”​—Yohanes 14:6