Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 92

Yesus Menampakkan Diri kepada Para Nelayan

Yesus Menampakkan Diri kepada Para Nelayan

Selepas Yesus muncul di hadapan para rasul, Petrus pergi ke Tasik Galilea untuk menangkap ikan. Tomas, Yakobus, Yohanes, dan beberapa pengikut Yesus yang lain juga pergi bersamanya. Mereka berusaha sepanjang malam tetapi mereka tidak dapat menangkap apa-apa.

Pada keesokan pagi, mereka melihat seorang lelaki di tepi tasik. Lelaki itu bertanya, “Ada dapat ikan?” Mereka menjawab, “Tiada!” Lelaki itu pun menyuruh mereka untuk menebarkan jala ke sebelah kanan perahu. Apabila mereka berbuat begitu, jala mereka dipenuhi dengan ikan sehingga mereka tidak dapat menariknya ke dalam perahu. Tiba-tiba, Yohanes sedar bahawa lelaki itu ialah Yesus lalu berkata, “Dia Tuan Yesus!” Petrus segera terjun ke dalam air dan mula berenang. Yang lain pula mendayung perahu ke tepi tasik.

Setibanya di sana, mereka melihat ada roti dan ikan yang sedang dimasak. Yesus meminta mereka untuk membawa beberapa ekor ikan yang baru ditangkap. Kemudian dia berkata, “Marilah bersarapan.”

Selepas makan, Yesus menanya Petrus, “Adakah kamu mengasihi saya lebih daripada kerja menangkap ikan?” Petrus menjawab, “Ya, Tuan tahu saya sangat mengasihi Tuan.” Yesus berkata, “Jagalah anak bebiriku.” Kemudian, Yesus bertanya lagi, “Petrus, adakah kamu mengasihi saya?” Petrus berkata, “Ya, Tuan.” Sekali lagi, Yesus berkata, “Jagalah anak bebiriku.” Untuk kali ketiga, Yesus menanyakan soalan yang sama. Petrus berasa sangat sedih lalu menjawab, “Tuan tahu segala-galanya dan tahu saya memang mengasihimu.” Yesus berkata lagi, “Peliharalah anak bebiriku.” Dia menyambung, “Teruslah mengikut saya.”

“[Yesus] berkata kepada mereka, ‘Ikutlah aku, dan aku akan menjadikan kamu penjala manusia.’ Dengan serta-merta, mereka meninggalkan jala lalu mengikutnya.”​—Matius 4:19, 20