Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 94

Para Rasul Menerima Kuasa Suci Tuhan

Para Rasul Menerima Kuasa Suci Tuhan

Sepuluh hari sudah berlalu selepas Yesus kembali ke syurga. Sekarang tibalah masa untuk Perayaan Pentakosta pada tahun 33 M. Ramai orang dari pelbagai tempat pergi ke Yerusalem untuk menyambut perayaan ini. Ketika itu, sebanyak 120 orang pengikut Yesus berkumpul di bilik atas sebuah rumah. Tiba-tiba, mereka melihat sesuatu yang seperti api di atas kepala setiap orang. Mereka telah menerima kuasa suci Tuhan dan mula bercakap dalam pelbagai bahasa. Kemudian, kedengaran tiupan seperti angin yang kencang memenuhi seluruh rumah itu.

Orang ramai mendengar bunyi itu lalu pergi untuk melihat apa yang berlaku. Mereka terkejut apabila pengikut Yesus bercakap dalam bahasa mereka. Orang ramai berkata, “Bukankah mereka dari Galilea? Mengapa mereka dapat bercakap dalam bahasa kita?”

Selepas itu, Petrus dan rasul-rasul lain berdiri di hadapan orang ramai. Petrus mula menjelaskan bagaimana Yesus dibunuh dan bahawa Yehuwa telah membangkitkan Yesus. Dia berkata, “Sekarang Yesus sudah naik ke syurga dan dia berada di sebelah kanan Tuhan. Kuasa suci Tuhan yang dijanjikan itu sudah dicurahkan. Itulah sebabnya kamu dapat melihat mukjizat ini.”

Semua orang berasa terharu lalu bertanya, “Apakah yang harus kami lakukan?” Petrus berkata, “Bertaubatlah daripada dosa kamu. Kamu juga harus dibaptis dalam nama Yesus. Kemudian, kamu akan menerima kurniaan Tuhan, iaitu kuasa suci-Nya.” Pada hari itu, sebanyak 3,000 orang dibaptiskan. Hari demi hari, pengikut Yesus di Yerusalem semakin bertambah. Dengan bantuan kuasa suci Tuhan, banyak sidang ditubuhkan. Maka, para rasul dapat mengajarkan perkara yang telah diperintahkan Yesus.

“Jika kamu mengisytiharkan dengan mulut kamu bahawa Yesus ialah Tuan, dan jika kamu beriman dalam hati kamu bahawa Tuhan sudah membangkitkannya daripada kematian, kamu akan diselamatkan.”​—Roma 10:9