Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 95

Tiada Apa-Apa yang Dapat Menghalang Mereka

Tiada Apa-Apa yang Dapat Menghalang Mereka

Seorang lelaki yang lumpuh selalu mengemis di pintu Rumah Tuhan. Pada suatu petang, dia melihat Petrus dan Yohanes lalu berkata, “Berilah saya sesuatu.” Petrus berkata, “Saya ada sesuatu yang lebih bernilai daripada wang. Dengan nama Yesus, berjalanlah!” Petrus menolongnya untuk berdiri, lalu lelaki itu mula berjalan! Semua orang bersukacita. Mereka mula percaya dan menjadi pengikut Yesus.

Para imam dan orang Saduki naik marah lalu membawa rasul-rasul kepada Majlis Orang Yahudi, yang dianggotai para pemimpin agama. Mereka menanya para rasul, “Siapa yang beri kamu kuasa untuk sembuhkan lelaki ini?” Petrus berkata, “Kami dapat kuasa daripada Yesus Kristus, lelaki yang telah kamu bunuh.” Para pemimpin agama berteriak, “Jangan cakap tentang Yesus!” Tetapi, rasul-rasul berkata, “Kami tidak dapat berhenti bercakap tentang Yesus.”

Selepas Petrus dan Yohanes dilepaskan, mereka menceritakan apa yang berlaku kepada murid-murid lain. Kemudian, mereka berdoa, “Yehuwa, bantulah kami untuk melakukan kerja ini dengan berani.” Dengan bantuan kuasa suci Yehuwa, para rasul terus menginjil dan menyembuhkan orang. Hasilnya, lebih banyak orang percaya kepada Yesus. Orang Saduki yang iri hati menangkap para rasul dan memenjarakan mereka. Pada malam itu juga, Yehuwa menghantar malaikat-Nya untuk membuka pintu penjara. Malaikat itu berkata, “Pergilah ke Rumah Tuhan dan ajarlah orang di sana.”

Keesokan paginya, Majlis Orang Yahudi mendapat laporan ini: “Penjara masih terkunci, tapi lelaki-lelaki yang ditangkap itu terlepas. Sekarang, mereka mengajar orang di Rumah Tuhan!” Sekali lagi, rasul-rasul ditangkap dan dibawa kepada Majlis Orang Yahudi. Imam agung berkata, “Kami menyuruh kamu berhenti bercakap tentang Yesus!” Tetapi Petrus menjawab, “Kami mesti patuh kepada Tuhan dan bukan manusia.”

Para pemimpin agama sangat marah dan ingin membunuh para rasul. Namun, seorang Farisi yang bernama Gamaliel berkata, “Berhati-hatilah! Tuhan mungkin menyertai mereka. Adakah kamu ingin menentang Tuhan?” Mereka mengikut nasihatnya lalu melepaskan para rasul. Rasul-rasul telah dipukul dan dilarang untuk menginjil. Tetapi mereka terus menyebarkan berita baik dengan berani di Rumah Tuhan dan dari rumah ke rumah.

“Kami mesti patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.”​—Kisah 5:29