Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 99

Seorang Pengawal Penjara Menerima Kebenaran

Seorang Pengawal Penjara Menerima Kebenaran

Di Filipi, seorang hamba perempuan dapat meramalkan masa depan kerana kuasa roh jahat. Tuannya menggunakannya untuk mendapatkan banyak wang. Apabila Paulus dan Silas tiba di Filipi, gadis itu asyik mengikut mereka dan menjerit, “Mereka hamba Tuhan Yang Maha Tinggi.” Maka, Paulus berkata, “Atas nama Yesus, keluarlah dari gadis itu!” Dengan segera, roh jahat itu pun keluar.

Tuan gadis itu naik marah kerana mereka tidak dapat menggunakannya untuk memperoleh keuntungan lagi. Jadi, mereka mengheret Paulus dan Silas untuk menghadap para pemerintah kota. Mereka berkata, “Lelaki-lelaki ini melanggar undang-undang dan membuat kacau di kota kita!” Akhirnya, Paulus dan Silas dipukul dan dikurung di bilik penjara yang paling dalam. Kaki mereka dikenakan pasung supaya mereka tidak dapat melarikan diri.

Dalam penjara, Paulus dan Silas bernyanyi kepada Yehuwa. Banduan lain turut mendengar nyanyian mereka. Tiba-tiba, gempa bumi yang dahsyat berlaku pada tengah malam. Pintu penjara terbuka, dan pasung serta rantai-rantai yang dipasangkan pada banduan pun terbuka. Apabila pengawal penjara melihat semua ini, dia berfikir bahawa semua banduan sudah melarikan diri. Jadi dia ingin membunuh diri dengan pedang.

Paulus terus berseru, “Jangan bunuh diri! Kami masih di sini.” Pengawal penjara itu segera berlutut di hadapan Paulus dan Silas lalu berkata, “Apa yang harus saya buat supaya diselamatkan?” Mereka berkata, “Kamu dan keluarga kamu mesti percaya kepada Yesus.” Paulus dan Silas mengajar lelaki itu dan keluarganya tentang firman Yehuwa. Selepas itu, mereka sekeluarga dibaptiskan.

“Orang akan menangkap dan menganiaya kamu. Kamu akan diserahkan untuk diadili di rumah ibadat lalu dipenjarakan. Kamu akan dihadapkan kepada raja-raja dan gabenor kerana namaku. Pada masa itu, kamu akan berpeluang untuk memberikan kesaksian.”​—Lukas 21:12, 13