Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 100

Paulus dan Timotius

Paulus dan Timotius

Timotius ialah seorang saudara muda di Listra. Bapanya orang Yunani dan ibunya orang Yahudi. Ibu Timotius, iaitu Euniki, dan neneknya Lois mengajarnya tentang Yehuwa sejak dia bayi lagi.

Dalam perjalanan Paulus yang kedua, dia pergi ke Listra. Paulus melihat bahawa Timotius mengasihi saudara saudari dan ingin membantu mereka. Jadi, dia menjemput Timotius untuk mengikutnya. Dia juga melatih Timotius untuk menjadi penginjil dan guru yang mahir.

Paulus dan Timotius terus dibimbing oleh kuasa suci Tuhan. Pada suatu malam, Paulus mendapat suatu penglihatan. Dalam penglihatan itu, seorang lelaki memintanya untuk datang ke Makedonia. Jadi, Paulus, Timotius, Silas, dan Lukas, pergi ke Makedonia untuk menginjil dan menubuhkan sidang-sidang baharu.

Kota Tesalonika terletak di Makedonia. Di sana, ramai lelaki dan wanita menjadi orang Kristian. Namun, beberapa orang Yahudi cemburu terhadap Paulus dan rakannya. Jadi, mereka dan sekumpulan orang mengheret Paulus dan rakan-rakannya untuk berjumpa dengan pemerintah kota. Mereka berkata, “Lelaki-lelaki ini ialah musuh kerajaan Roma!” Oleh sebab keadaan terlalu bahaya, Paulus dan Timotius melarikan diri ke Berea pada malam itu.

Orang Yunani dan orang Yahudi di Berea suka belajar tentang berita baik. Hasilnya, mereka menjadi pengikut Yesus. Tetapi, beberapa orang Yahudi dari Tesalonika membuat kacau di sana. Maka, Paulus berangkat ke Atena. Timotius dan Silas pula terus tinggal di Berea untuk menguatkan rakan seiman di sana. Kemudian, Paulus menghantar Timotius ke Tesalonika kerana saudara saudari di sana dianiaya dengan teruk. Paulus juga menyuruh Timotius untuk melawat sidang-sidang lain dan menggalakkan mereka.

Paulus memberitahu Timotius, “Mereka yang mahu sembah Yehuwa akan dianiaya.” Timotius juga dianiaya dan dipenjarakan. Tetapi dia gembira kerana dapat membuktikan kesetiaannya kepada Yehuwa.

Paulus memberitahu sidang di Filipi, “Saya akan hantar Timotius ke sana. Dia akan ajar kamu cara untuk hidup sebagai penyembah Yehuwa dan melatih kamu untuk menginjil.” Paulus sangat mempercayai Timotius. Mereka ialah sahabat yang karib dan mereka berkhidmat kepada Yehuwa selama bertahun-tahun.

“Dia benar-benar mengambil berat tentang kamu semua, dan aku tidak mempunyai sesiapa lagi yang bersikap sepertinya. Semua orang lain mencari kepentingan sendiri dan bukannya kepentingan Yesus Kristus.”​—Filipi 2:20, 21