Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 1

“Kamu Mesti Menyembah Yehuwa, Tuhanmu”

“Kamu Mesti Menyembah Yehuwa, Tuhanmu”

MATIUS 4:10

ISI UTAMA: Mengapa ibadat sejati perlu dipulihkan

1, 2. Setelah dibaptis dan diurapi oleh Yehuwa, apakah yang berlaku kepada Yesus? (Lihat gambar pada permulaan bab.)

MASANYA sekitar hujung Oktober atau awal November tahun 29 M. Yesus berada di padang belantara Yudea, yang terletak di utara Laut Mati. Setelah dibaptis dan diurapi oleh Yehuwa, dia dibimbing ke tempat itu oleh kuasa suci Tuhan. Di sana, dia dikelilingi lembah-lembah curam dan tanah tandus yang berbatu. Selama 40 hari, Yesus telah berpuasa, berdoa, dan membuat perenungan. Barangkali pada masa itu, Yehuwa telah berkomunikasi dengan Anak-Nya dan mempersiapkannya untuk tugas yang bakal dilakukannya.

2 Setelah berpuasa untuk masa yang lama, Yesus berasa lemah dan lapar. Pada waktu itu, Syaitan pun menghampirinya. Apa yang berlaku seterusnya menyingkapkan isu penting yang melibatkan semua orang yang mengasihi ibadat sejati, termasuk anda.

“Jika Kamu Anak Tuhan . . .”

3, 4. (a) Dua godaan Syaitan yang pertama bermula dengan kata-kata apa? Syaitan ingin Yesus meragui apa? (b) Apakah muslihat sama yang digunakan Syaitan pada hari ini?

3 Baca Matius 4:1-7. Dua godaan Syaitan yang pertama bermula dengan kata-kata licik ini: “Jika kamu anak Tuhan.” Adakah Syaitan meragui bahawa Yesus ialah Anak Tuhan? Pasti tidak. Si Pemberontak itu tahu bahawa Yesus ialah Anak sulung Tuhan. (Kol. 1:15) Syaitan juga pasti tahu bahawa semasa Yesus dibaptis, Yehuwa berfirman dari syurga, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.” (Mat. 3:17) Syaitan mungkin ingin Yesus meragui sama ada Bapanya dapat dipercayai dan benar-benar prihatin terhadapnya atau tidak. Bagi godaan Syaitan yang pertama, iaitu untuk menukar batu menjadi roti, Syaitan sebenarnya sedang berkata, “Bukankah kamu Anak Tuhan? Jadi mengapa Bapamu tidak memberimu makanan di padang belantara ini?” Bagi godaan kedua, iaitu untuk terjun dari puncak tembok Rumah Tuhan, Syaitan sebenarnya bermaksud, “Bukankah kamu Anak Tuhan? Kamu betul-betul percayakah Bapamu akan melindungimu?”

4 Hari ini, Syaitan menggunakan muslihat yang sama. (2 Kor. 2:11) Syaitan menunggu masanya penyembah sejati berasa lemah atau tawar hati lalu menyerang mereka dalam cara yang licik. (2 Kor. 11:14) Syaitan berusaha untuk membuat kita ragu-ragu sama ada Yehuwa mengasihi kita dan berkenan kepada kita atau tidak. Dia juga mahu kita berfikir bahawa Yehuwa tidak dapat dipercayai dan tidak akan menepati janji-janji dalam Firman-Nya. Tetapi semua itu dusta belaka. (Yoh. 8:44) Bagaimanakah kita dapat menolak dusta-dusta itu?

5. Bagaimanakah Yesus menjawab dua godaan Syaitan yang pertama?

5 Semasa Yesus digoda, dia tetap yakin akan kasih Bapanya dan benar-benar percaya kepada Bapanya. Tanpa ragu-ragu, Yesus segera menolak godaan Syaitan dengan memetik Firman Tuhan. Ayat-ayat yang digunakan oleh Yesus juga mengandungi nama Tuhan, iaitu Yehuwa. (Ul. 6:16; 8:3) Nama Yehuwa ialah jaminan bahawa Dia akan menunaikan semua janji-Nya. Maka dengan menggunakan nama Bapanya, Yesus membuktikan bahawa dia mempercayai Bapanya. *

6, 7. Bagaimanakah kita dapat melawan serangan Syaitan?

6 Kita juga dapat melawan serangan Syaitan dengan merenungkan Firman Yehuwa dan maksud nama-Nya. Bible menunjukkan bahawa Yehuwa prihatin dan mengasihi penyembah-Nya, biarpun semasa mereka tawar hati. Semasa membaca ayat-ayat sebegini, yakinlah bahawa kata-kata itu ditujukan kepada kita juga. Dengan itu, kita dapat menolak dusta Syaitan bahawa Yehuwa tidak mungkin mengasihi atau menerima kita. (Mzm. 34:18; 1 Ptr. 5:8) Selain itu, ingatlah bahawa Yehuwa sentiasa bertindak selaras dengan maksud nama-Nya dan sentiasa menunaikan janji-Nya. Maka, kita dapat menaruh keyakinan yang sepenuhnya kepada Yehuwa.​—Ams. 3:5, 6.

7 Namun, apakah sebenarnya matlamat utama Syaitan? Apakah yang diinginkannya daripada kita? Jawapannya jelas dalam godaannya yang ketiga.

“Sujud dan Menyembah Aku”

8. Bagaimanakah godaan Syaitan yang ketiga menunjukkan keinginannya yang sebenar?

8 Baca Matius 4:8-11. Dalam godaan ketiga, niat Syaitan akhirnya terbongkar. Dia menunjukkan kepada Yesus (mungkin melalui penglihatan) “semua kerajaan dunia serta kegemilangannya,” tetapi dia menyembunyikan kejahatan yang berleluasa. Kemudian dia berkata, “Semua ini akan aku berikan kepadamu jika kamu sujud dan menyembah aku.” * Penyembahan​—itulah yang diinginkan Syaitan! Syaitan ingin Yesus meninggalkan Yehuwa dan menyembahnya. Tawaran Syaitan itu nampaknya jalan pintas bagi Yesus untuk mendapat kuasa dan kekayaan dunia ini, tanpa perlu menderita, memakai mahkota duri, dicambuk, dan dipakukan pada tiang seksaan. Tawaran itu bukanlah janji kosong, kerana Yesus tidak mempersoalkan kuasa Syaitan atas kerajaan di dunia. (Yoh. 12:31; 1 Yoh. 5:19) Syaitan sanggup melakukan apa sahaja untuk membuat Yesus berpaling daripada ibadat sejati.

9. (a) Apakah yang diinginkan Syaitan daripada penyembah sejati? Bagaimanakah dia menggoda kita? (b) Ibadat kita merangkumi apa? (Lihat kotak “Apakah Maksud Perkataan ‘Ibadat’?”)

9 Hari ini, Syaitan juga ingin kita menyembahnya atau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak Yehuwa. Tanpa disedari, penganut agama palsu sedang menyembah Syaitan kerana dialah “tuhan sistem dunia ini.” (2 Kor. 4:4) Walaupun terdapat berjuta-juta penganut agama palsu, Syaitan masih tidak puas hati. Dia ingin menggoda penyembah ibadat sejati untuk meninggalkan haluan Tuhan dan mengejar kekayaan dan kuasa. Dia tidak mahu kita mengikut haluan Tuhan atau sanggup “menderita kerana melakukan apa yang benar.” (1 Ptr. 3:14) Jika kita menyerah kepada godaan Syaitan dan menjadi sebahagian daripada dunia ini, kita sebenarnya meninggalkan ibadat sejati dan seolah-olah sujud menyembahnya. Bagaimanakah kita dapat melawan godaan itu?

10. Bagaimanakah Yesus menjawab godaan Syaitan yang ketiga, dan mengapa?

10 Bagaimanakah Yesus menjawab godaan Syaitan yang ketiga? Dengan serta-merta dia menjawab, “Pergilah Syaitan!” Kata-kata ini menunjukkan kesetiaannya yang tidak berbelah bahagi kepada Yehuwa. Seperti yang dilakukannya sebelum itu, Yesus memetik ayat daripada buku Ulangan yang mengandungi nama Tuhan. Dia berkata, “Ada tertulis, ‘Kamu mesti menyembah Yehuwa, Tuhanmu, dan kamu mesti memberikan khidmat suci kepada Dia sahaja.’” (Mat. 4:10; Ul. 6:13) Yesus menolak kemasyhuran yang bersifat sementara dan peluang untuk hidup bersenang-lenang tanpa penderitaan. Dia sedar bahawa Bapanya sahaja yang layak disembah. Sekiranya dia sujud menyembah Syaitan biarpun hanya sekali, dia sudah tunduk kepada Syaitan. Yesus langsung tidak mahu menjadikan Si Iblis sebagai tuhannya. Akhirnya, “Iblis pun meninggalkan dia.” *

“PERGILAH SYAITAN!” (Lihat perenggan 10)

11. Bagaimanakah kita dapat melawan Syaitan dan godaannya?

11 Seperti Yesus, kita juga dapat memilih untuk melawan godaan Syaitan dan dunianya. Yehuwa telah mengurniai kita kebebasan untuk memilih. Jadi, tiada sesiapa pun dapat memaksa kita untuk meninggalkan ibadat sejati, termasuk Syaitan, makhluk roh yang berkuasa itu. Apabila kita “menentang dia dengan iman yang teguh,” kita seolah-olah sedang berkata, “Pergilah Syaitan!” (1 Ptr. 5:9) Ingatlah bahawa Syaitan meninggalkan Yesus selepas Yesus menolaknya dengan tegas. Bible juga meyakinkan kita, “Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu.”​—Yak. 4:7.

Kita dapat memilih untuk melawan godaan Syaitan (Lihat perenggan 11, 19)

Musuh Ibadat Sejati

12. Di Taman Eden, bagaimanakah Syaitan menunjukkan bahawa dialah musuh ibadat sejati?

12 Godaan yang ketiga itu mengesahkan bahawa Syaitanlah musuh pertama ibadat sejati. Ribuan tahun sebelum itu, Syaitan telah menunjukkan kebencian terhadap ibadat Yehuwa. Di Taman Eden, dia menggoda Hawa yang kemudiannya memujuk Adam untuk mengingkari Yehuwa. Pada masa itu, Syaitan telah menjadi penguasa mereka. (Baca Kejadian 3:1-5; 2 Kor. 11:3; Why. 12:9) Tanpa menyedari identiti Si Penggoda itu, mereka telah menjadi penyembahnya dan dia menjadi tuhan mereka. Semasa mengetuai pemberontakan di Taman Eden, Syaitan bukan hanya mencabar kedaulatan Yehuwa, iaitu hak-Nya untuk memerintah, tetapi dia juga menyerang ibadat sejati. Mengapakah kita dapat berkata demikian?

13. Mengapakah isu kedaulatan Yehuwa berkait rapat dengan ibadat sejati?

13 Memandangkan Yehuwa telah “menciptakan segala sesuatu,” Dialah Pemerintah Yang Berdaulat. Oleh itu, hanya Dia yang layak disembah. (Why. 4:11) Semasa Yehuwa menciptakan Adam dan Hawa dan menempatkan mereka di Taman Eden, Dia ingin seluruh bumi dipenuhi dengan manusia sempurna yang menjalankan ibadat sejati dan menyembah-Nya sahaja. (Kej. 1:28) Maka, semasa Syaitan mencabar kedaulatan Yehuwa, dia juga menyerang ibadat sejati kerana dia menginginkan penyembahan yang hanya patut diberikan kepada Pemerintah Yang Berdaulat. Sememangnya, isu kedaulatan Yehuwa berkait rapat dengan ibadat sejati.​—Yak. 1:14, 15.

14. Adakah Syaitan berjaya menumpaskan ibadat sejati? Jelaskan.

14 Adakah Syaitan berjaya menumpaskan ibadat sejati? Dia telah membuat Adam dan Hawa meninggalkan Tuhan. Sejak itu, dia telah melancarkan serangan atas ibadat sejati dan berusaha membuat sebanyak mungkin orang untuk berpaling daripada Tuhan Yehuwa. Sebelum Yesus datang ke bumi, Syaitan terus berusaha untuk menggoda penyembah Yehuwa. Pada abad pertama Masihi, Syaitan menggunakan orang murtad untuk mencemari sidang Kristian. Akibatnya, ibadat sejati seolah-olah ditumpaskan. (Mat. 13:24-30, 36-43; Kis. 20:29, 30) Bermula pada abad kedua Masihi, Babilon Besar, iaitu empayar agama palsu sedunia, telah menawan penyembah ibadat sejati secara rohani untuk masa yang lama. Namun, Syaitan tidak berjaya menggagalkan tujuan Tuhan bagi ibadat sejati. Tiada apa-apa pun yang dapat menghalang kehendak Tuhan daripada terlaksana. (Yes. 46:10; 55:8-11) Ingatlah bahawa nama Yehuwa turut terlibat, dan Dia sentiasa bertindak selaras dengan maksud nama-Nya dan memenuhi semua janji-Nya!

Pejuang Ibadat Sejati

15. Bagaimanakah Yehuwa menangani pemberontakan di Taman Eden dan memastikan agar kehendak-Nya terlaksana?

15 Yehuwa segera bertindak untuk menangani pemberontakan di Taman Eden dan memastikan agar kehendak-Nya terlaksana. (Baca Kejadian 3:14-19.) Yehuwa menjatuhkan hukuman atas tiga pemberontak itu. Mula-mulanya Dia menghukum Syaitan, iaitu dalang di sebalik pemberontakan itu, kemudian Hawa, dan akhirnya Adam. Semasa berfirman kepada Syaitan, Yehuwa menubuatkan bahawa terdapat ‘keturunan’ yang akan melenyapkan kesan buruk akibat pemberontakan itu. ‘Keturunan’ itu akan memainkan peranan penting untuk memperjuangkan ibadat sejati.

16. Bagaimanakah Yehuwa terus memastikan kehendak-Nya tercapai setelah pemberontakan di Taman Eden?

16 Setelah pemberontakan di Taman Eden, Yehuwa terus memastikan kehendak-Nya tercapai. Bab seterusnya akan membincangkan aturan Yehuwa agar manusia yang tidak sempurna dapat menyembah-Nya dalam cara yang betul. (Ibr. 11:4–12:1) Dia telah mengilhami penulis Bible, seperti Yesaya, Yeremia, dan Yehezkiel, untuk mencatatkan nubuat mengenai pemulihan ibadat sejati. Pemulihan ini ialah tema yang penting dalam Bible, dan semua nubuat pemulihan ini akan menjadi kenyataan melalui ‘keturunan’ yang dijanjikan Tuhan. Bahagian utama ‘keturunan’ ini ialah Yesus Kristus. (Gal. 3:16) Dialah Pejuang ibadat sejati seperti yang terbukti dalam cara dia menangani godaan Syaitan yang ketiga. Yehuwa telah melantik Yesus untuk memainkan peranan utama agar nubuat pemulihan ibadat sejati menjadi kenyataan. (2 Kor. 1:20; Why. 19:10) Ya, Yesus akan membebaskan umat Tuhan yang ditawan secara rohani dan memulihkan ibadat sejati!

Apakah yang Akan Anda Lakukan?

17. Mengapakah kita menghargai nubuat tentang pemulihan ibadat sejati?

17 Iman kita dikuatkan apabila kita mengkaji nubuat Bible tentang pemulihan ibadat sejati. Kita menantikan masanya apabila semua ciptaan di syurga dan di bumi akan menyembah Yehuwa dan menjunjung ibadat sejati. Melalui nubuat-nubuat itu, kita dilegakan dan harapan kita diteguhkan. Sudah pasti kita tidak sabar melihat masanya janji Yehuwa tentang pembangkitan, bumi firdaus, kesihatan yang sempurna, dan kehidupan abadi menjadi kenyataan.​—Yes. 33:24; 35:5, 6; Why. 20:12, 13; 21:3, 4.

18. Apakah yang akan kita kaji dalam buku ini?

18 Dalam buku ini, kita akan mengkaji nubuat-nubuat menarik dalam buku Yehezkiel. Kebanyakan nubuat itu bertumpu kepada pemulihan ibadat sejati. Kita akan melihat kaitan antara nubuat Yehezkiel dengan nubuat-nubuat lain dalam Bible, bagaimana semua nubuat itu akan menjadi kenyataan melalui Kristus, dan kaitan nubuat-nubuat itu dengan kita.​—Lihat kotak “Ringkasan Buku Yehezkiel.”

19. Apakah tekad anda, dan mengapa?

19 Semasa di padang belantara Yudea pada 29 M, Syaitan gagal menggoda Yesus untuk menolak ibadat sejati. Bagaimana pula dengan kita? Sekarang, Syaitan semakin bertekad untuk menjauhkan kita daripada ibadat sejati. (Why. 12:12, 17) Semoga buku ini akan menguatkan tekad kita untuk melawan Si Penggoda itu. Kita juga bertekad untuk menunjukkan melalui pertuturan dan perbuatan kita bahawa kita bersetuju dengan kata-kata ini: “Kamu mesti menyembah Yehuwa, Tuhanmu.” Dengan itu, kita akan berpeluang untuk melihat tujuan Yehuwa menjadi kenyataan. Pada masa itu, semua di syurga dan di bumi akan bersatu padu untuk menyembah Yehuwa dengan hati yang murni!

^ per. 5 Nama Yehuwa boleh membawa maksud “Dia Menyebabkan Menjadi.” Nama itu sangat sesuai kerana Yehuwa ialah Pencipta dan Dia selalu melaksanakan tujuan-Nya.

^ per. 8 Sebuah rujukan Bible menyatakan, ‘Seperti godaan pertama sewaktu Adam dan Hawa berdosa, pilihannya adalah antara mengikut kehendak Syaitan atau kehendak Tuhan, untuk menyembah Syaitan atau menyembah Tuhan. Sebenarnya Syaitan sangat sombong dan mahu merampas kedudukan Tuhan.’

^ per. 10 Buku Lukas mencatatkan godaan Syaitan dalam urutan yang berbeza daripada buku Matius. Nampaknya, Matius mencatatkan kisah itu mengikut urutan peristiwa. Mengapakah kita membuat kesimpulan itu? (1) Sebelum menyebut tentang godaan yang kedua, Matius menggunakan perkataan Yunani toʹte yang boleh bermaksud “kemudian.” Hal ini menunjukkan bahawa terdapat godaan lain yang telah berlaku sebelumnya. (2) Memang masuk akal jika Syaitan mula-mula menggoda Yesus dengan kata-kata, “Jika kamu anak Tuhan.” Ungkapan ini tidak menunjukkan niat sebenar Syaitan. Tetapi dalam godaannya yang ketiga, Syaitan menggoda Yesus secara terang-terangan untuk melanggar perintah pertama dalam Hukum Musa. (Kel. 20:2, 3) (3) Adalah lebih logik jika kata-kata Yesus, “Pergilah Syaitan!” diucapkan selepas godaan yang terakhir.​—Mat. 4:5, 10, 11.