Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 6

“Akhirmu Sudah Tiba”

“Akhirmu Sudah Tiba”

YEHEZKIEL 7:3

ISI UTAMA: Bagaimana nubuat penghakiman terhadap Yerusalem menjadi kenyataan

1, 2. (a) Apakah perbuatan pelik yang dilakukan oleh Yehezkiel? (Lihat gambar pada permulaan bab.) (b) Apakah erti perbuatannya itu?

KHABAR tentang perbuatan Nabi Yehezkiel yang pelik tersebar luas dalam kalangan orang Yahudi di Babilon. Selama seminggu, rakan sebangsa Yehezkiel melihatnya duduk terpegun tanpa bersuara. Tiba-tiba, dia mula berdiri lalu pulang dan mengurung dirinya di dalam rumah. Selepas itu, dia keluar dari rumahnya dan mengambil sebuah bata. Dia meletakkan bata itu di hadapannya lalu mengukir sesuatu di atasnya. Kemudian, dia membina sebuah tembok kecil di sekeliling bata itu.​—Yeh. 3:10, 11, 15, 24-26; 4:1, 2.

2 Sudah tentu semua orang yang melihat perbuatan Yehezkiel tertanya-tanya, “Mengapakah dia melakukan semua hal ini?” Pada kemudian hari, barulah para tawanan itu memahami erti perbuatan Yehezkiel. Sebenarnya, perbuatan tersebut menunjukkan peristiwa ngeri yang bakal menimpa orang Israel kerana Yehuwa murka terhadap mereka. Apakah peristiwa itu? Apakah kesan peristiwa itu terhadap bangsa Israel kuno? Apakah kaitannya dengan penyembah Yehuwa hari ini?

“Ambillah Sebuah Bata . . . Ambillah Gandum . . . Ambillah Sebilah Pedang yang Tajam”

3, 4. (a) Apakah tiga aspek penghakiman Tuhan yang dilakonkan oleh Yehezkiel? (b) Apakah yang dilakonkan oleh Yehezkiel untuk menunjukkan pengepungan Yerusalem?

3 Sekitar 613 SM, Yehezkiel disuruh untuk melakonkan tiga aspek penghakiman Tuhan terhadap Yerusalem: (1) Pengepungan kota itu, (2) penderitaan yang akan dialami, dan (3) kemusnahan kota itu dan penduduknya. * Mari kita kaji tiga aspek ini.

4 Pengepungan Yerusalem. Yehuwa berfirman kepada Yehezkiel, ‘Ambillah sebuah bata dan letakkannya di hadapanmu. Ukirlah kota Yerusalem di atas bata itu. Kemudian, kepunglah kota itu.’ (Baca Yehezkiel 4:1-3.) Bata itu melambangkan kota Yerusalem, manakala Yehezkiel melambangkan askar Babilon. Yehezkiel harus membina sebuah tembok kecil, membuat timbunan tanah, dan meletakkan kayu-kayu di sekeliling bata itu. Semua hal itu melambangkan bagaimana musuh orang Israel akan mengepung dan menyerang Yerusalem. Dia juga harus meletakkan “sekeping besi” sebagai tembok di antara dia dan kota itu untuk menunjukkan bahawa musuh mereka adalah kuat seperti besi. Akhirnya, dia harus ‘pandang ke arah kota itu.’ Yehezkiel melakonkan semua ini sebagai “tanda bagi bangsa Israel.” Ya, sesuatu yang tidak terduga akan berlaku. Yehuwa akan menggunakan musuh mereka untuk mengepung Yerusalem biarpun kota itu sangat penting dan Rumah Tuhan terletak di sana.

5. Apakah yang dilakukan oleh Yehezkiel untuk menunjukkan perkara yang bakal menimpa penduduk Yerusalem?

5 Penderitaan yang akan dialami penduduk Yerusalem. Yehuwa berfirman kepada Yehezkiel, “Ambillah gandum, barli, kacang parang, kacang lentil, sekoi, dan bijirin yang lain” lalu “buatlah roti.” “Roti yang akan engkau makan haruslah ditimbang, iaitu kira-kira 230 gram roti setiap hari.” Yehuwa menambah, “Aku akan menghentikan bekalan makanan di Yerusalem.” (Yeh. 4:9-16) Sekarang, Yehezkiel tidak lagi melambangkan askar Babilon. Sebaliknya, dia menggambarkan penduduk Yerusalem. Perbuatannya menunjukkan bahawa mereka akan kehabisan bekalan makanan semasa Yerusalem dikepung. Dalam keadaan yang terdesak itu, mereka harus makan apa sahaja yang dapat diperoleh. Mereka bahkan terpaksa membuat roti dengan menggunakan bahan yang jarang dicampurkan bersama. Yehezkiel menerangkan betapa teruknya keadaan pada masa itu dengan berkata, “Ibu bapa dalam kalanganmu akan makan anak-anak mereka, dan anak-anak akan makan ibu bapa mereka.” Penduduk di situ akan “beransur-ansur mati” akibat “anak panah kebuluran.”​—Yeh. 4:17; 5:10, 16.

6. (a) Siapakah dua watak yang harus dilakonkan oleh Yehezkiel? (b) Apakah yang dilambangkan dengan arahan Tuhan kepada Yehezkiel untuk ‘menimbang semua rambutnya dan membahagikannya’?

6 Kemusnahan kota Yerusalem dan penduduknya. Kali ini, Yehezkiel harus melakonkan dua watak pada masa yang sama. Pertama, dia melakonkan apa yang dilakukan oleh Yehuwa. Yehezkiel harus ‘mengambil sebilah pedang yang tajam’ lalu menggunakannya sebagai pisau cukur. (Baca Yehezkiel 5:1, 2.) Tangan Yehezkiel yang memegang pedang melambangkan tangan Yehuwa yang akan melaksanakan hukuman melalui askar Babilon. Kedua, Yehezkiel harus melakonkan penderitaan yang dialami penduduk kota itu. Yehuwa menyuruh Yehezkiel untuk ‘mencukur rambut dan janggutnya.’ Rambut Yehezkiel melambangkan penduduk Yerusalem. Maka, perbuatannya ini menggambarkan bagaimana mereka akan diserang dan dimusnahkan. Arahan untuk ‘menimbang semua rambutnya dan membahagikannya kepada tiga bahagian’ menunjukkan bahawa penghakiman Yehuwa akan berlaku secara teratur dan menyeluruh.

7. Mengapakah Yehuwa menyuruh Yehezkiel untuk membahagikan rambutnya kepada tiga bahagian dan melakukan tiga hal yang berbeza?

 7 Mengapakah Yehuwa menyuruh Yehezkiel untuk membahagikan rambutnya kepada tiga bahagian dan melakukan tiga hal yang berbeza? (Baca Yehezkiel 5:7-12.) Yehezkiel sebenarnya sedang menunjukkan bahawa penduduk Yerusalem akan mengalami kesudahan yang berbeza-beza. Mula-mula, Yehezkiel harus membakar satu pertiga daripada rambutnya “di dalam kota” untuk menunjukkan bahawa sesetengah penduduk Yerusalem akan mati di dalam kota itu. Kemudian, Yehezkiel harus menetak satu pertiga daripada rambutnya dengan pedang “sambil mengelilingi kota itu.” Perbuatan ini menunjukkan bahawa sesetengah penduduk Yerusalem akan dibunuh di luar kota. Akhir sekali, satu pertiga lagi akan dihamburkan ke udara untuk menandakan bahawa terdapat penduduk yang akan tercerai-berai ke tempat lain. Tetapi, Yehuwa akan menghunus sebilah pedang lalu “mengejar rambut-rambut itu.” Hal ini menunjukkan bahawa penduduk Yerusalem yang melarikan diri ke bangsa lain tidak akan hidup aman.

8. (a) Apakah harapan yang terkandung dalam nubuat Yehezkiel? (b) Bagaimanakah nubuat Yehezkiel itu menjadi kenyataan?

8 Namun, mesej Yehezkiel juga mengandungi harapan. Mengenai rambut yang telah dicukur itu, Yehuwa berkata, ‘Ambillah beberapa helai rambut dan bungkuskannya di dalam lipatan jubahmu.’ (Yeh. 5:3) Arahan itu menunjukkan bahawa beberapa orang Yahudi yang tercerai-berai ke bangsa lain akan terselamat. Dalam nubuat Yehezkiel, mereka digambarkan sebagai “beberapa helai rambut.” Sesetengah orang Yahudi daripada kumpulan ini akan kembali ke Yerusalem selepas pembuangan selama 70 tahun di Babilon. (Yeh. 6:8, 9; 11:17) Adakah nubuat ini menjadi kenyataan? Ya. Beberapa tahun selepas para tawanan dibebaskan dari Babilon, Nabi Hagai berkata bahawa sebilangan orang Yahudi yang tercerai-berai telah kembali ke Yerusalem. Mereka ialah “orang tua yang pernah melihat Rumah Tuhan” yang dibina Salomo. (Ezr. 3:12; Hag. 2:1-3) Seperti yang dijanjikan, Yehuwa memastikan bahawa ibadat sejati dipulihkan. Dalam Bab 9, kita akan membincangkan maklumat lanjut mengenai hal ini.​—Yeh. 11:17-20.

Apakah Kaitan Nubuat Yehezkiel dengan Zaman Kita?

9, 10. Apakah kaitan nubuat Yehezkiel dengan zaman kita?

9 Nubuat Yehezkiel mengingatkan kita tentang nubuat Bible mengenai zaman kita. Contohnya, seperti yang telah berlaku kepada Yerusalem, Yehuwa juga akan menggunakan kuasa politik untuk melakukan hal yang tidak diduga ini: Dia akan menyerang semua organisasi agama palsu di bumi. (Why. 17:16-18) Sepertimana pembinasaan Yerusalem ialah “bencana yang luar biasa,” “kesengsaraan besar” dan perang Armagedon juga merupakan peristiwa luar biasa yang “tidak pernah berlaku.”​—Yeh. 5:9; 7:5; Mat. 24:21.

10 Firman Tuhan menunjukkan bahawa semasa organisasi agama palsu dimusnahkan, kebanyakan penganutnya masih akan hidup. Mereka akan berasa takut lalu mencari tempat perlindungan bersama orang lain. (Za. 13:4-6; Why. 6:15-17) Kejadian ini mengingatkan kita tentang penduduk kota Yerusalem kuno yang melarikan diri semasa kota itu dibinasakan. Mereka seolah-olah dihamburkan “ke udara” dan tercerai-berai ke merata tempat. Seperti yang dinyatakan dalam  perenggan 7, mereka mungkin berjaya melarikan diri buat suatu jangka waktu, namun Yehuwa akan ‘menghunus pedang dan mengejar’ mereka. (Yeh. 5:2) Maka, penganut agama palsu yang cuba melarikan diri daripada hukuman Yehuwa tidak akan berjaya. Semasa Armagedon, mereka akan dibinasakan bersama semua orang yang bersifat kambing.​—Yeh. 7:4; Mat. 25:33, 41, 46; Why. 19:15, 18.

Kita menjadi “bisu,” atau tidak lagi menyebarkan berita baik

11, 12. (a) Bagaimanakah nubuat ini mempengaruhi sikap dan pandangan kita terhadap kerja penyebaran? (b) Apakah perubahan yang mungkin berlaku mengenai mesej yang akan kita sampaikan?

11 Bagaimanakah nubuat ini mempengaruhi sikap dan pandangan kita terhadap kerja penyebaran? Memandangkan masa yang tinggal hanya sedikit, kita harus mengutamakan perintah Yesus untuk ‘pergi kepada semua bangsa dan menjadikan mereka pengikutnya.’ (Mat. 28:19, 20; Yeh. 33:14-16) Semasa Yehuwa menggunakan “tongkat” (kuasa politik dunia ini) untuk menyerang agama palsu, kita akan berhenti menyebarkan berita penyelamatan. (Yeh. 7:10) Sepertimana Yehezkiel menjadi “bisu,” atau berhenti menyebarkan mesejnya buat suatu jangka waktu, kita juga menjadi “bisu,” atau tidak lagi menyebarkan berita baik. (Yeh. 3:26, 27; 33:21, 22) Setelah agama palsu dimusnahkan, orang akan mula “meminta penglihatan daripada nabi” agar dapat diselamatkan. (Yeh. 7:26) Tetapi mereka sudah terlambat kerana peluang untuk menjadi pengikut Yesus tidak lagi terbuka.

12 Tetapi kerja kita sebagai penginjil belum selesai lagi. Mengapa? Besar kemungkinan kita akan mengisytiharkan mesej penghakiman semasa kesengsaraan besar. Berita yang bagaikan tulah hujan batu yang dahsyat itu akan menjadi tanda kepada umat manusia bahawa akhir dunia yang jahat ini sudah di ambang pintu.​—Why. 16:21.

“Lihatlah, Hari Itu Akan Datang!”

13. Mengapakah Yehuwa menyuruh Yehezkiel untuk berbaring pada sebelah kiri dan pada sebelah kanan?

13 Selain menubuatkan bagaimana Yerusalem dibinasakan, Yehezkiel juga melakonkan bila hal itu akan berlaku. Kemungkinan besar dia melakonkan hal-hal itu selama beberapa jam dalam sehari. Yehezkiel disuruh untuk berbaring pada sebelah kiri “selama 390 hari” dan pada sebelah kanan “selama 40 hari.” Setiap hari melambangkan satu tahun. Maka, lakonan Yehezkiel menunjukkan secara tepat bila Yerusalem akan dibinasakan. (Baca Yehezkiel 4:4-6; Bil. 14:34) Dosa Israel selama 390 tahun nampaknya bermula pada 997 SM semasa 12 suku Israel dibahagikan menjadi dua. (1 Raj. 12:12-20) Dosa Yehuda selama 40 tahun pula nampaknya bermula pada 647 SM semasa Yeremia dilantik untuk memberikan amaran kepada kerajaan Yehuda. (Yer. 1:1, 2, 17-19; 19:3, 4) Maka, kedua-dua jangka waktu itu akan berakhir pada 607 SM. Itulah tahunnya Yerusalem dimusnahkan. *

Bagaimanakah Yehezkiel menunjukkan bila Yerusalem akan dibinasakan? (Lihat perenggan 13)

14. (a) Bagaimanakah Yehezkiel menunjukkan bahawa dia yakin Yehuwa akan bertindak tepat pada waktunya? (b) Apakah hal-hal yang akan berlaku sebelum pembinasaan Yerusalem?

14 Ketika Yehezkiel disuruh untuk melakonkan nubuat itu, dia mungkin tidak tahu bila Yerusalem akan dibinasakan. Walaupun begitu, beberapa tahun sebelum kemusnahan kota itu, dia berulang kali memberitahu orang Yahudi bahawa hukuman Yehuwa sudah dekat. Dia berkata, “Akhirmu sudah tiba.” (Baca Yehezkiel 7:3, 5-10.) Yehezkiel yakin bahawa Yehuwa akan bertindak tepat pada waktunya. (Yes. 46:10) Yehezkiel juga menubuatkan hal-hal yang akan berlaku sebelum pembinasaan Yerusalem. Dia berkata, “Musibah demi musibah akan menimpa.” Akibatnya, keadaan masyarakat secara umum akan menjadi semakin teruk, dan sistem agama serta politik juga akan semakin merosot.​—Yeh. 7:11-13, 25-27.

Yerusalem yang dikepung bagaikan “periuk” yang diletakkan “di atas api” (Lihat perenggan 15)

15. Bagaimanakah nubuat Yehezkiel menjadi kenyataan bermula tahun 609 SM?

15 Beberapa tahun selepas Yehezkiel menubuatkan pembinasaan Yerusalem, hal itu mula menjadi kenyataan. Pada 609 SM, Yehezkiel mendapat tahu bahawa Yerusalem mula diserang musuh. Seperti yang dinubuatkan Yehezkiel, “tidak ada seorang pun yang pergi bertempur” biarpun trompet sudah ditiup. (Yeh. 7:14) Penduduk Yerusalem tidak mempertahankan kota mereka daripada serangan Babilon. Barangkali ada orang Yahudi yang berfikir bahawa Yehuwa akan menyelamatkan mereka seperti yang dilakukan-Nya dahulu. Contohnya, Yehuwa pernah mengutus satu malaikat untuk membunuh hampir semua askar Assyria yang menyerang Yerusalem. (2 Raj. 19:32) Namun, kali ini Yehuwa tidak berbuat demikian. Yerusalem yang dikepung itu bagaikan “periuk” yang diletakkan “di atas api,” dan penduduknya seperti “potongan daging” di dalam periuk itu. (Yeh. 24:1-10) Setelah menderita dan dikepung selama 18 bulan, Yerusalem akhirnya dimusnahkan.

“Kumpulkanlah Harta di Syurga”

16. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita yakin Yehuwa akan bertindak tepat pada waktunya?

16 Apakah yang kita pelajari daripada nubuat Yehezkiel ini? Apakah kaitannya dengan kerja penyebaran dan sambutan orang terhadap mesej kita? Yehuwa telah menentukan masanya agama palsu akan dibinasakan, dan Dia akan bertindak tepat pada waktunya. (2 Ptr. 3:9, 10; Why. 7:1-3) Walaupun kita tidak tahu bila akhir akan tiba, kita harus berulang kali menyampaikan amaran Yehuwa. * Seperti yang dilakukan Yehezkiel, kita perlu terus mengisytiharkan mesej ini: “Akhirmu sudah tiba.” Mengapakah hal ini penting? Pada zaman Yehezkiel, kebanyakan orang tidak mempercayai nubuat tentang pembinasaan Yerusalem. (Yeh. 12:27, 28) Namun, terdapat sebilangan tawanan Yahudi yang terdorong untuk menyenangkan hati Tuhan dan kemudiannya pulang ke tanah air mereka. (Yes. 49:8) Demikian juga, ramai orang hari ini tidak percaya bahawa dunia ini akan dimusnahkan. (2 Ptr. 3:3, 4) Namun begitu, kita ingin membantu orang yang berhati jujur untuk menempuh jalan yang menuju ke kehidupan selagi akhir belum tiba.​—Mat. 7:13, 14; 2 Kor. 6:2.

Walaupun ramai orang tidak ingin mendengar, kita terus mencari orang yang berhati jujur (Lihat perenggan 16)

Mengapakah penduduk Yerusalem kuno “mencampakkan perak mereka di jalan”? (Lihat perenggan 17)

17. Apakah yang akan berlaku semasa kesengsaraan besar?

17 Nubuat Yehezkiel juga mengingatkan kita tentang apa yang akan berlaku semasa agama palsu diserang. Ketika itu, anggota-anggota gereja tidak akan “pergi bertempur” untuk mempertahankan agama mereka. Sebaliknya, “tangan mereka akan menjadi lemah” “dan badan mereka terketar-ketar ketakutan” kerana seruan mereka kepada Tuan Yesus tidak dijawab. (Yeh. 7:3, 14, 17, 18; Mat. 7:21-23) Selain itu, apa yang akan berlaku? (Baca Yehezkiel 7:19-21.) Mengenai penduduk Yerusalem kuno, Yehuwa berfirman, “Mereka akan mencampakkan perak mereka di jalan.” Kata-kata ini juga menggambarkan apa yang akan berlaku semasa kesengsaraan besar. Pada masa itu, orang akan sedar bahawa wang tidak dapat menyelamatkan mereka.

18. Apakah pengajaran lain yang kita peroleh?

18 Apakah pengajaran lain yang kita peroleh daripada nubuat Yehezkiel ini? Kita harus menetapkan keutamaan yang betul dalam kehidupan kita. Fikirkan hal ini: Selepas penduduk Yerusalem sedar bahawa kekayaan dan harta benda tidak dapat menyelamatkan mereka, barulah mereka mahu bertindak. Pada masa itu, mereka membuang harta milik mereka lalu “meminta penglihatan daripada nabi.” Namun, hal itu sudah terlambat kerana nasi sudah menjadi bubur. (Yeh. 7:26) Bagi kita pula, kita tahu bahawa akhir dunia jahat ini sudah dekat. Maka, iman kepada janji Tuhan mendorong kita untuk menetapkan keutamaan hidup yang betul. Kita tidak mahu menjadi seperti penduduk Yerusalem yang mengutamakan kekayaan. Sebaliknya, kita ingin terus mengumpulkan harta rohani yang berkekalan dan yang tidak akan dibuang “di jalan.”​—Baca Matius 6:19-21, 24.

19. Sebagai kesimpulan, apakah pengajaran yang kita dapat daripada nubuat Yehezkiel?

19 Sebagai kesimpulan, apakah pengajaran yang kita dapat daripada nubuat Yehezkiel tentang pembinasaan Yerusalem? Memandangkan masa untuk membantu orang lain menjadi sahabat Tuhan hanya tinggal sedikit, kita mahu menginjil dengan giat. Kita sangat bersukacita apabila orang yang berhati jujur mula menyembah Yehuwa. Biarpun orang menolak mesej Tuhan, kita mahu terus menyebarkan amaran ini: “Akhirmu sudah tiba.” (Yeh. 3:19, 21; 7:3) Pada masa yang sama, kita bertekad untuk terus beriman kepada Yehuwa dan mengutamakan ibadat sejati dalam kehidupan kita.​—Mzm. 52:7, 8; Ams. 11:28; Mat. 6:33.

^ per. 3 Adalah munasabah untuk menyimpulkan bahawa Yehezkiel telah melakonkan semua hal ini di hadapan orang. Mengapa? Kerana Yehuwa telah mengarahkannya untuk membakar roti dan memikul barang-barang “di depan mata mereka.”​Yeh. 4:12; 12:7.

^ per. 13 Dengan mengizinkan Yerusalem dimusnahkan, Yehuwa bukan hanya menunjukkan kemurkaan-Nya kepada kerajaan 2 suku Yehuda tetapi juga kepada kerajaan 10 suku Israel.​—Yer. 11:17; Yeh. 9:9, 10.

^ per. 16 Di Yehezkiel 7:5-7, Yehuwa berkali-kali menggunakan kata-kata seperti “akan menimpa,” “akan datang,” dan “akan tiba.”