Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 7

Bangsa-Bangsa “Pasti Akan Tahu bahawa Akulah Yehuwa”

Bangsa-Bangsa “Pasti Akan Tahu bahawa Akulah Yehuwa”

YEHEZKIEL 25:17

ISI UTAMA: Pengajaran daripada hubungan bangsa Israel dengan bangsa lain yang menghina nama Yehuwa

1, 2. (a) Mengapakah keadaan bangsa Israel bagaikan seekor biri-biri yang dikelilingi kawanan serigala? (Lihat gambar pada permulaan bab.) (b) Apakah yang berlaku kepada raja-raja Israel dan rakyat mereka?

SELAMA ratusan tahun, keadaan bangsa Israel bagaikan seekor biri-biri yang dikelilingi kawanan serigala. Di bahagian timur Israel ialah bangsa Ammon, Moab, dan Edom yang sering mengancam mereka. Di bahagian barat ialah orang Filistin yang merupakan musuh ketat mereka. Di bahagian utara ialah kota Tirus, iaitu sebuah pusat perdagangan yang makmur. Di bahagian selatan ialah bangsa Mesir yang dikuasai oleh Firaun yang dianggap sebagai dewa.

2 Semasa orang Israel bergantung pada Yehuwa, Dia melindungi mereka daripada musuh-musuh. Tetapi, raja-raja Israel dan rakyat mereka sering kali membiarkan diri dipengaruhi oleh bangsa-bangsa di sekeliling mereka. Salah seorang raja yang tidak berpendirian ialah Raja Ahab, yang memerintah kerajaan 10 suku Israel. Dia hidup sezaman dengan Raja Yehosafat dari Yehuda. Dia mengahwini Izebel, dan bapa Izebel ialah raja Sidon yang menguasai kota Tirus yang makmur. Izebel telah menggalakkan penduduk Israel untuk menyembah Baal dan mempengaruhi suaminya untuk mencemari ibadat sejati.​—1 Raj. 16:30-33; 18:4, 19.

3, 4. (a) Semasa Yerusalem dikepung, Yehezkiel mula bernubuat tentang siapa? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

3 Yehuwa telah memberitahu umat-Nya akibat buruk yang akan menimpa mereka jika mereka tidak setia kepada-Nya. Sekarang Dia sudah hilang sabar. (Yer. 21:7, 10; Yeh. 5:7-9) Pada 609 SM, askar Babilon menyerang Tanah yang Dijanjikan buat kali ketiga. Hampir 10 tahun telah berlalu sejak serangan mereka yang sebelumnya. Kali ini, mereka merobohkan tembok Yerusalem dan membunuh penduduk yang memberontak terhadap Raja Nebukadnezar. Semasa Yerusalem mula dikepung oleh musuh, nubuat Yehezkiel tentang kota itu menjadi kenyataan, dan dia mula bernubuat tentang bangsa-bangsa di sekitar Tanah yang Dijanjikan.

Bangsa-bangsa yang menentang Yehuwa tidak akan terlepas daripada hukuman

4 Yehuwa memberitahu Yehezkiel bahawa musuh-musuh Yehuda akan bersukacita apabila Yerusalem dimusnahkan. Bangsa-bangsa itu akan menindas penduduk Yerusalem yang terselamat dan mempengaruhi mereka untuk berdosa. Tetapi bangsa-bangsa itu yang menentang Yehuwa dan umat-Nya tidak akan terlepas daripada hukuman. Apakah yang dapat kita pelajari daripada hubungan bangsa Israel dengan bangsa-bangsa itu? Bagaimanakah nubuat Yehezkiel berkenaan bangsa-bangsa itu memberi kita harapan?

Saudara-Mara yang “Menghina” Israel

5, 6. Apakah hubungan antara bangsa Ammon dengan orang Israel?

5 Bangsa Ammon, Moab, dan Edom mempunyai pertalian darah dengan orang Israel. Tetapi sejak dulu lagi, bangsa-bangsa itu “menghina negeri Israel” dan melayan mereka dengan teruk sekali.​—Yeh. 25:6.

6 Sebagai contoh, bangsa Ammon merupakan keturunan anak perempuan Lot yang bongsu. (Kej. 19:38) Umat Tuhan mungkin dapat memahami bahasa orang Ammon kerana mereka mempunyai bahasa yang hampir sama. Memandangkan kedua-dua bangsa itu mempunyai pertalian keluarga, Yehuwa melarang orang Israel daripada menyerang orang Ammon. (Ul. 2:19) Sedihnya, orang Ammon bersama Raja Eglon dari Moab telah menindas orang Israel pada zaman Hakim-Hakim. (Hak. 3:12-15, 27-30) Kemudian, apabila Saul menjadi raja, orang Ammon menyerang orang Israel. (1 Sam. 11:1-4) Pada zaman Raja Yehosafat, mereka juga bersubahat dengan orang Moab untuk menyerang Tanah yang Dijanjikan.​—2 Taw. 20:1, 2.

7. Bagaimanakah bangsa Moab melayan orang Israel?

7 Bangsa Moab pula merupakan keturunan anak perempuan Lot yang sulung. (Kej. 19:36, 37) Yehuwa juga melarang orang Israel daripada menyerang orang Moab. (Ul. 2:9) Tetapi orang Moab membalas kebaikan saudara-mara mereka dengan kejahatan. Mereka enggan membantu orang Israel yang sedang mengembara dari Mesir ke Tanah yang Dijanjikan. Selain itu, Raja Balak dari Moab telah mengupah Bileam untuk mengutuk orang Israel, dan Bileam bahkan mengajar Balak cara untuk mengumpan lelaki Israel agar melakukan perbuatan yang tidak bermoral dan menyembah berhala. (Bil. 22:1-8; 25:1-9; Why. 2:14) Selama berabad-abad bahkan sehingga zaman Yehezkiel, orang Moab terus menindas saudara-mara mereka.​—2 Raj. 24:1, 2.

8. Mengapakah Yehuwa menganggap bangsa Edom dan bangsa Israel seperti adik-beradik? Bagaimanakah orang Edom melayan saudara mereka?

8 Bangsa Edom ialah keturunan Esau, iaitu kembar Yakub. Pertalian mereka dengan bangsa Israel begitu erat sehingga Yehuwa menganggap mereka seperti adik-beradik. (Ul. 2:1-5; 23:7, 8) Namun, orang Edom telah menindas orang Israel sejak mereka keluar dari Mesir sehingga pembinasaan Yerusalem pada tahun 607 SM. (Bil. 20:14, 18; Yeh. 25:12) Semasa Yerusalem diserang orang Babilon, orang Edom bukan sahaja bersukacita atas kesusahan saudara mereka, tetapi juga menggalakkan orang Babilon untuk memusnahkan Yerusalem. Orang Edom bahkan menangkap orang Israel yang cuba melarikan diri lalu menyerahkan mereka kepada musuh.​—Mzm. 137:7; Ob. 11, 14.

9, 10. (a) Apakah yang berlaku kepada bangsa Ammon, Moab, dan Edom? (b) Apakah yang menunjukkan bahawa bukan semua penduduk bangsa-bangsa itu melayan umat Tuhan dengan kejam?

9 Bagi Yehuwa, saudara-mara bangsa Israel itu harus bertanggungjawab atas kejahatan mereka. Maka Dia berfirman, ‘Aku akan menyerahkan Ammon kepada penduduk daerah Timur, dan orang Ammon tidak akan diingati lagi oleh bangsa-bangsa lain.’ Dia berfirman lagi, “Aku juga akan melaksanakan penghakiman-Ku terhadap Moab, dan mereka pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.” (Yeh. 25:10, 11) Kira-kira lima tahun selepas kejatuhan Yerusalem, nubuat-nubuat itu mula menjadi kenyataan apabila Babilon menawan Ammon dan Moab. Selain itu, Yehuwa juga berfirman bahawa Dia akan “membunuh orang Edom dan ternakan mereka, supaya negeri mereka menjadi gersang.” (Yeh. 25:13) Seperti yang dinubuatkan, Ammon, Moab, dan Edom akhirnya dilenyapkan.​—Yer. 9:25, 26; 48:42; 49:17, 18.

10 Tetapi, bukan semua orang daripada bangsa-bangsa itu melayan umat Tuhan dengan kejam. Contohnya, Zelek daripada bangsa Ammon dan Yitma daripada bangsa Moab merupakan pahlawan yang gagah dalam pasukan tentera Daud. (1 Taw. 11:26, 39, 46; 12:1) Selain itu, Rut, seorang penduduk Moab, telah menjadi penyembah Yehuwa yang setia.​—Rut 1:4, 16, 17.

Jangan ambil langkah pertama yang membuat kita menyimpang daripada haluan Yehuwa

11. Apakah yang dapat kita pelajari daripada hubungan bangsa Israel dengan bangsa Ammon, Moab, dan Edom?

11 Apakah yang dapat kita pelajari daripada hubungan bangsa Israel dengan bangsa-bangsa itu? Apabila orang Israel tidak berpendirian teguh, mereka mula dipengaruhi oleh amalan agama palsu saudara-mara mereka. Contohnya, mereka ikut menyembah Baal, iaitu dewa orang Moab, dan Molekh, iaitu dewa orang Ammon. (Bil. 25:1-3; 1 Raj. 11:7) Hal itu juga boleh berlaku kepada kita. Saudara-mara kita yang tidak seiman mungkin mendesak kita untuk melakukan sesuatu yang melanggar perintah Yehuwa. Contohnya, mereka mungkin tidak faham mengapa kita tidak menyambut Krismas, Tahun Baharu, hari jadi, atau melakukan hal lain yang berkaitan dengan agama palsu. Jadi, mereka mungkin memujuk kita untuk melakukan sesuatu yang nampaknya remeh tetapi sebenarnya bercanggahan dengan ajaran Bible. Janganlah bertolak ansur dalam hal ini. Seperti yang kita lihat daripada contoh orang Israel, bahkan satu langkah yang kecil boleh menyebabkan kita beransur-ansur menyimpang daripada haluan Yehuwa.

12, 13. Apakah tentangan yang mungkin kita hadapi? Apakah hasilnya jika kita tetap setia?

12 Terdapat satu lagi pengajaran untuk kita. Kita mungkin menghadapi tentangan yang kuat daripada saudara-mara yang tidak seiman. Hal ini tidak menghairankan kerana Yesus berkata bahawa mesej yang kita sebarkan mungkin “menyebabkan anak lelaki melawan bapa” dan “anak perempuan melawan ibu.” (Mat. 10:35, 36; 2 Tim. 3:12) Tetapi, ingatlah bahawa Yehuwa menasihati orang Israel agar tidak memulakan pertengkaran dengan saudara-mara mereka. Maka, kita juga tidak mahu sengaja menyalakan api pertengkaran dengan saudara-mara kita.

13 Bagaimana pula jika saudara-mara kita tidak menghalang kita untuk menyembah Yehuwa? Kita masih perlu berwaspada agar mereka tidak menjadi lebih penting daripada Yehuwa. Mengapa? Kerana Yehuwalah yang harus diutamakan dalam hidup kita. (Baca Matius 10:37.) Jika kita tetap setia kepada Yehuwa, sesetengah ahli keluarga kita mungkin menyertai ibadat sejati, seperti yang dilakukan oleh Zelek, Yitma, dan Rut. (1 Tim. 4:16) Hasilnya, mereka juga dapat menyembah satu-satunya Tuhan yang benar dan merasakan kasih serta perlindungan-Nya.

Yehuwa Menghukum Musuh-Musuh-Nya “dengan Marah”

14, 15. Bagaimanakah bangsa Filistin melayan orang Israel?

14 Bangsa Filistin telah berpindah dari Pulau Kreta ke Kanaan, iaitu tanah yang akan diberikan Yehuwa kepada Abraham dan keturunannya. Abraham dan Ishak pernah berurusan dengan orang Filistin. (Kej. 21:29-32; 26:1) Semasa orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan, orang Filistin sudah menjadi bangsa yang kuat dan mempunyai pasukan tentera yang hebat. Mereka juga menyembah tuhan palsu seperti Baal-zebub dan Dagon. (1 Sam. 5:1-4; 2 Raj. 1:2, 3) Sedihnya, orang Israel ikut serta menyembah tuhan-tuhan palsu itu.​—Hak. 10:6.

15 Oleh sebab orang Israel tidak setia, Yehuwa membiarkan umat-Nya ditindas oleh orang Filistin selama bertahun-tahun. (Hak. 10:7, 8; Yeh. 25:15) Orang Filistin telah menetapkan banyak larangan atas orang Israel * dan membunuh mereka. (1 Sam. 4:10) Tetapi, apabila orang Israel bertaubat dan kembali kepada Yehuwa, Dia menyelamatkan mereka. Contohnya, Dia mengutus Simson, Saul, dan Daud untuk membantu umat-Nya. (Hak. 13:5, 24; 1 Sam. 9:15-17; 18:6, 7) Akhirnya seperti yang dinubuatkan Yehezkiel, Yehuwa telah “menghukum [orang Filistin] dengan marah.” Dia membiarkan orang Babilon dan Yunani untuk menyerang mereka.​—Yeh. 25:15-17.

16, 17. Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada cara orang Filistin melayan bangsa Israel?

16 Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada cara orang Filistin melayan bangsa Israel? Hari ini, umat Yehuwa juga ditindas oleh sesetengah kuasa dunia. Tetapi, kita terus mengekalkan kesetiaan kepada Yehuwa. Walaupun begitu, kadangkala musuh-musuh nampaknya berjaya menghalang ibadat kita. Contohnya, pada awal abad ke-20, kerajaan Amerika Syarikat cuba menghalang kegiatan kita. Mereka menjatuhkan hukuman penjara selama puluhan tahun ke atas saudara-saudara yang mengambil pimpinan. Semasa Perang Dunia Kedua, kuasa Nazi Jerman ingin melenyapkan Saksi-Saksi Yehuwa dengan membunuh ratusan Saksi dan memenjarakan ribuan lagi. Selepas perang itu, Kesatuan Soviet pula terus menindas Saksi-Saksi Yehuwa dan menghantar mereka ke kem buruh atau ke tempat terpencil.

17 Kerajaan dunia mungkin melarang kegiatan kita, memenjarakan kita, dan bahkan membunuh sesetengah saudara saudari kita. Tetapi, apakah sepatutnya reaksi kita? Kita tidak patut hilang iman atau berasa takut kerana Yehuwa pasti menyelamatkan umat-Nya yang setia. (Baca Matius 10:28-31.) Sesetengah kuasa dunia yang pernah menindas umat Yehuwa tidak lagi wujud hari ini. Sebaliknya, bilangan Saksi-Saksi Yehuwa terus meningkat. Ya, tidak lama lagi, semua kerajaan di bumi pasti tahu siapa sebenarnya Yehuwa. Seperti orang Filistin, mereka akhirnya akan dimusnahkan!

‘Kekayaan yang Melimpah’ Tidak Dapat Melindungi Mereka

18. Jelaskan keadaan kota Tirus kuno.

18 Kota Tirus * ialah sebuah pusat perdagangan pada zaman kuno. Di bahagian barat, kapal-kapal dagangnya belayar melintasi perairan Laut Mediterranean. Di bahagian timur pula, terdapat jalan yang membawa para pedagang ke empayar-empayar yang jauh. Selama berabad-abad, kota Tirus telah mengumpulkan kekayaan yang melimpah, dan para pedagangnya begitu makmur sehingga mereka menganggap diri sebagai pemimpin dan golongan terhormat.​—Yes. 23:8.

19, 20. Apakah perbezaan antara penduduk Tirus dengan orang Gibeon?

19 Semasa pemerintahan Raja Daud dan Salomo, orang Israel mempunyai hubungan yang baik dengan penduduk Tirus. Penduduk Tirus telah menyediakan bahan-bahan dan pekerja untuk membantu dalam pembinaan Rumah Tuhan dan istana Daud. (2 Taw. 2:1, 3, 7-16) Pada masa itu, bangsa Israel menyembah Yehuwa dengan setia dan meraih berkat yang melimpah. (1 Raj. 3:10-12; 10:4-9) Maka, orang Tirus yang melihat semua itu berpeluang untuk mengenali Yehuwa dan ibadat sejati.

20 Namun mereka tidak berbuat demikian. Mereka tidak seperti orang Gibeon yang terdorong untuk menjadi hamba Yehuwa setelah mendengar tentang kebesaran-Nya. (Yos. 9:2, 3, 22–10:2) Sebaliknya, orang Tirus tetap mengejar kekayaan. Mereka bahkan mula menentang umat Tuhan dan menjual sebilangan orang Israel sebagai hamba.​—Mzm. 83:2, 7; Yl. 3:4, 6; Amo. 1:9.

Jangan anggap kekayaan sebagai tembok perlindungan

21, 22. Apakah yang berlaku kepada Tirus, dan mengapa?

21 Melalui Yehezkiel, Yehuwa berfirman kepada mereka, “Hai Tirus, Aku akan menentang engkau. Aku akan membawa banyak bangsa untuk menyerang engkau. Mereka akan datang seperti ombak yang tidak henti-henti. Mereka akan merobohkan tembokmu dan memusnahkan menara-menaramu. Aku akan mengikis tanahmu dan menjadikan engkau sebuah batu yang gondol dan licin.” (Yeh. 26:1-5) Penduduk Tirus menyangka bahawa kekayaan dan tembok kota mereka yang setinggi 46 m dapat melindungi mereka. Tetapi, mereka lupa akan kebenaran yang dinyatakan oleh Salomo, “Bagi orang yang kaya, kemewahannya bagaikan kota yang berkubu; dalam khayalannya kekayaannya ialah tembok perlindungannya.”​—Ams. 18:11, nota kaki.

22 Nubuat ini menjadi kenyataan apabila orang Babilon dan orang Yunani menyerang Tirus. Pada waktu itu, barulah mereka sedar bahawa kekayaan dan tembok kota mereka hanyalah suatu perlindungan dalam khayalan mereka. Selepas Yerusalem dimusnahkan, orang Babilon telah menyerang Tirus selama 13 tahun. (Yeh. 29:17, 18) Kemudian pada 332 SM, beberapa aspek nubuat Yehezkiel telah menjadi kenyataan. * Iskandar Agung dan pasukan askarnya telah mengumpulkan batu, kayu, dan tanah dari kota Tirus di bahagian tanah besar, lalu membuangnya ke dalam air untuk membina jalan yang menuju ke kota Tirus di bahagian pulau. (Yeh. 26:4, 12) Selepas itu, mereka merobohkan tembok kota Tirus, menjarah hartanya, membunuh ribuan askar dan penduduk, dan menjual ribuan lagi penduduk sebagai hamba. Akhirnya, orang Tirus tahu siapa sebenarnya Yehuwa dan terpaksa mengakui bahawa ‘kekayaan mereka yang melimpah’ tidak dapat melindungi mereka.​—Yeh. 27:33, 34.

Walaupun Tirus kelihatan teguh, kota itu akhirnya dimusnahkan seperti yang dinubuatkan Yehezkiel (Lihat perenggan 22)

23. Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada penduduk kota Tirus?

23 Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada penduduk kota Tirus? Kita tidak patut membiarkan “tipu daya kekayaan” untuk menjerat kita sehingga kita menganggapnya sebagai suatu perlindungan. (Mat. 13:22) Kita tidak dapat “menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.” (Baca Matius 6:24.) Hanya orang yang menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati akan mendapat perlindungan sejati. (Mat. 6:31-33; Yoh. 10:27-29) Sepertimana setiap butiran nubuat tentang Tirus telah menjadi kenyataan, setiap perincian nubuat tentang akhir dunia ini juga akan menjadi kenyataan. Semasa Yehuwa memusnahkan dunia perdagangan yang tamak ini, orang yang menaruh kepercayaan kepada kekayaan akan tahu siapa sebenarnya Yehuwa.

Kuasa Politik Hanyalah “seperti Jerami”

24-26. (a) Mengapakah Yehuwa mengatakan bahawa Mesir adalah “seperti jerami”? (b) Bagaimanakah Raja Zedekia mengingkari Yehuwa, dan apakah akibatnya?

24 Sejak zaman Yusuf sehingga masa orang Babilon menyerang Yerusalem, Mesir merupakan kuasa politik yang sangat berpengaruh di kawasan Tanah yang Dijanjikan. Oleh sebab sejarahnya yang panjang, Mesir dianggap seperti sebatang pokok tua yang teguh. Tetapi apabila dibandingkan dengan Yehuwa, Mesir hanyalah “seperti jerami” yang lemah.​—Yeh. 29:6.

25 Tetapi, Raja Zedekia enggan menerima hakikat ini. Melalui Nabi Yeremia, Yehuwa menyuruh Zedekia untuk tunduk kepada raja Babilon, iaitu Nebukadnezar. (Yer. 27:12) Zedekia bahkan bersumpah atas nama Yehuwa bahawa dia tidak akan memberontak terhadap Nebukadnezar. Namun akhirnya, Zedekia meminta bantuan Mesir untuk melawan orang Babilon. Dia telah melanggar perintah Yehuwa dan tidak menepati janjinya. (2 Taw. 36:13; Yeh. 17:12-20) Perbuatannya itu telah membawa padah. (Yeh. 29:7) Walaupun Mesir kelihatan kuat bagaikan “raksasa laut” yang berkuasa, Yehuwa berkata bahawa Dia akan menangkapnya sepertimana seorang pemburu menangkap buaya di Sungai Nil. Yehuwa akan ‘memasang cangkuk pada rahangnya’ dan mengheretnya untuk dibunuh. (Yeh. 29:3, 4) Hal itu telah berlaku apabila Dia menggunakan askar Babilon untuk menyerang Mesir.​—Yeh. 29:9-12, 19.

26 Apakah yang terjadi kepada Zedekia? Oleh sebab dia memberontak terhadap Yehuwa, Yehezkiel bernubuat bahawa ‘pemimpin Israel yang jahat’ itu akan hilang kedudukannya sebagai raja dan pemerintahannya akan berakhir dengan teruk. Tetapi, Yehezkiel juga menyampaikan mesej yang membawa harapan. (Yeh. 21:25-27) Menerusi Yehezkiel, Yehuwa menubuatkan bahawa takhta Daud akan diwarisi oleh “orang yang berhak memilikinya.” Siapakah orang itu? Bab seterusnya akan membincangkan hal ini.

27. Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada hubungan orang Israel dengan Mesir?

27 Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada hubungan orang Israel dengan Mesir? Kita tidak patut menaruh keyakinan kepada kuasa politik dunia ini dan berfikir bahawa mereka dapat melindungi kita. Tidak kira dalam perbuatan, pertuturan, atau pemikiran, kita harus memastikan bahawa kita “bukan sebahagian daripada dunia.” (Yoh. 15:19; Yak. 4:4) Seperti Mesir kuno, kuasa politik hari ini juga nampaknya kuat. Tetapi sebenarnya, mereka hanyalah “seperti jerami.” Maka, adalah tidak bijak untuk menaruh keyakinan kita terhadap manusia yang fana. Sebaliknya, marilah kita beriman kepada Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat!​—Baca Mazmur 146:3-6.

Tidak kira di depan orang atau semasa di rumah, kita mesti sentiasa berpendirian neutral (Lihat perenggan 27)

Bangsa-Bangsa “Pasti Akan Tahu”

28-30. Bagaimanakah bangsa-bangsa “pasti akan tahu” siapa Yehuwa? Apakah perbezaannya dengan kita?

28 Dalam buku Yehezkiel, Yehuwa telah mengulangi ungkapan bangsa-bangsa “pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.” (Yeh. 25:17) Ungkapan itu telah menjadi kenyataan pada zaman dahulu semasa Yehuwa menghukum musuh-musuh umat-Nya. Pada zaman kita, hal itu juga akan berlaku tetapi dalam skala yang jauh lebih besar.

29 Seperti umat Tuhan dahulu, kita juga dikelilingi oleh bangsa-bangsa yang menganggap kita seperti biri-biri yang terasing dan lemah. (Yeh. 38:10-13) Dalam Bab 17 dan 18 buku ini, kita akan belajar bahawa tidak lama lagi, bangsa-bangsa akan menyerang umat Tuhan secara bertubi-tubi. Pada masa itu, Yehuwa akan bertindak dan mereka pasti akan tahu siapa sebenarnya Yehuwa. Ya, semasa perang Armagedon, mereka terpaksa mengakui bahawa Yehuwalah Pemerintah Yang Berdaulat semasa Dia memusnahkan mereka!​—Why. 16:16; 19:17-21.

30 Bagaimana pula dengan kita? Kita sedang menunjukkan bahawa kita tahu siapa sebenarnya Yehuwa dengan mempercayai, mentaati, dan memberi-Nya ibadat sejati yang layak diterima-Nya. Oleh itu, Yehuwa pasti melindungi dan memberkati kita.​—Baca Yehezkiel 28:26.

^ per. 15 Contohnya, orang Filistin melarang orang Israel melakukan kerja tukang besi. Maka, orang Israel terpaksa pergi kepada orang Filistin untuk menajamkan peralatan pertanian. Namun, orang Filistin mengenakan bayaran yang sangat tinggi untuk kerja itu. Jumlah yang harus dibayar bersamaan dengan upah seorang pekerja selama beberapa hari.​—1 Sam. 13:19-22.

^ per. 18 Nampaknya, kota Tirus yang asal dibangunkan di atas sebuah pulau berbatu yang terletak kira-kira 50 km dari utara Gunung Karmel. Kemudian, kota itu juga merangkumi sebuah kawasan di bahagian tanah besar. Nama Ibrani bagi kota Tirus ialah Sur, yang bermaksud “Batu.”

^ per. 22 Yesaya, Yeremia, Yoel, Amos, dan Zakharia juga menyampaikan nubuat mengenai Tirus. Semua butiran nubuat mereka telah menjadi kenyataan.​—Yes. 23:1-8; Yer. 25:15, 22, 27; Yl. 3:4; Amo. 1:10; Za. 9:3, 4.