Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 8

‘Aku Akan Melantik Seseorang untuk Menjadi Gembala Mereka’

‘Aku Akan Melantik Seseorang untuk Menjadi Gembala Mereka’

YEHEZKIEL 34:23

ISI UTAMA: Empat nubuat tentang Mesias dan bagaimana semuanya menjadi kenyataan melalui Yesus

1-3. Mengapakah Yehezkiel berasa sedih? Yehuwa menyuruh Yehezkiel untuk mencatatkan apa?

SEKARANG ialah tahun keenam Yehezkiel hidup sebagai tawanan. * Tanah airnya yang terletak ratusan kilometer dari Babilon, kini diperintah oleh raja-raja Yehuda yang jahat. Hal ini pasti membuat Yehezkiel sangat sedih. Sepanjang hidupnya, dia telah melihat beberapa raja Yehuda naik turun takhta.

2 Yehezkiel lahir semasa pemerintahan Raja Yosia yang setia. Kempen Yosia untuk memusnahkan patung berhala dan memulihkan ibadat sejati di Yehuda pasti membuat Yehezkiel sangat gembira. (2 Taw. 34:1-8) Sedihnya, usaha Yosia tidak berkekalan kerana raja-raja selepasnya sering kali menyembah berhala. Maka, tidak hairanlah keadaan moral dan rohani umat Israel menjunam ke tahap yang sangat rendah. Namun, hal ini tidak bermaksud bahawa mereka tiada harapan.

3 Yehuwa menyuruh Yehezkiel untuk mencatatkan nubuat-nubuat tentang Mesias yang memberikan harapan. Sebagai Pemerintah dan Gembala, Mesias akan memulihkan ibadat sejati untuk selama-lamanya dan menjaga kawanan Yehuwa dengan penuh kasih. Kita mahu mengkaji nubuat-nubuat ini kerana hal ini melibatkan masa depan kita. Sekarang, mari kita bincangkan empat nubuat tentang Mesias.

“Tunas yang Muda” Menjadi “Sebatang Pokok Sedar yang Megah”

4. Apakah nubuat yang disampaikan oleh Yehezkiel, dan bagaimanakah dia menyampaikan nubuat itu?

4 Sekitar 612 SM, Yehuwa mengilhami Yehezkiel untuk bernubuat mengenai pemerintahan Mesias dan pentingnya untuk menaruh keyakinan kepada Kerajaan Mesias. Yehezkiel menyampaikan nubuat itu melalui sebuah teka-teki yang menunjukkan betapa jahatnya raja-raja Yehuda dan pentingnya untuk mempunyai Raja Mesias.​—Yeh. 17:1, 2.

5. Apakah rumusan teka-teki itu?

5 Baca Yehezkiel 17:3-10. Inilah rumusan teka-teki itu: Ada seekor “burung helang yang besar” yang mematahkan pucuk dari bahagian paling atas pokok sedar lalu meletakkannya di “kota para pedagang.” Helang itu mengambil “beberapa biji benih di tanah” dan menanamnya di sebuah ladang subur “yang ada banyak air.” Benih itu pun “bertunas dan bertumbuh menjadi sebatang pokok anggur yang renek.” Kemudian datang lagi seekor “burung helang yang besar.” Pokok anggur itu “cepat-cepat mengarahkan akarnya” ke arah burung yang kedua itu dengan harapan agar burung itu memindahkannya ke tempat lain yang subur. Yehuwa mengutuk perbuatan pokok itu dengan berfirman bahawa akarnya akan dicabut dan pokok itu akan “layu sama sekali.”

Raja Nebukadnezar dari Babilon ialah burung helang besar yang pertama (Lihat perenggan 6)

6. Apakah maksud teka-teki itu?

6 Apakah maksud teka-teki itu? (Baca Yehezkiel 17:11-15.) Pada tahun 617 SM, Raja Nebukadnezar dari Babilon (‘burung helang besar’ yang pertama) mengepung Yerusalem. Dia menurunkan Raja Yehoyakhin dari takhtanya di Yehuda (“pucuk dari bahagian paling atas pokok itu”) lalu membawanya ke Babilon (“kota para pedagang”). Kemudian, Nebukadnezar melantik Zedekia (salah satu “biji benih di tanah” daripada keturunan diraja) untuk memerintah di Yerusalem. Raja Zedekia disuruh bersumpah atas nama Tuhan bahawa dia akan setia kepada Nebukadnezar. (2 Taw. 36:13) Namun, Zedekia memberontak dan meminta bantuan daripada Firaun di Mesir (‘burung helang besar’ yang kedua). Tetapi, hal ini membawa padah. Yehuwa mengutuk perbuatan Zedekia kerana dia tidak setia dan tidak menepati janjinya. (Yeh. 17:16-21) Akibatnya, Zedekia diturunkan daripada takhtanya, dipenjarakan di Babilon, dan akhirnya mati di sana.​—Yer. 52:6-11.

7. Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada teka-teki itu?

7 Apakah pengajarannya bagi kita? Pertama, kita mesti menepati janji kita. Yesus berkata, “Katakan ‘Ya’ semasa kamu bermaksud ya, dan katakan ‘Tidak’ semasa kamu bermaksud tidak.” (Mat. 5:37) Jika kita perlu mengangkat sumpah, contohnya semasa memberikan keterangan di mahkamah, kita harus memandang serius sumpah itu. Kedua, kita harus berwaspada agar tidak menaruh kepercayaan kepada pihak yang salah. Bible menyatakan, “Janganlah berharap kepada pemerintah atau mana-mana manusia. Mereka tidak dapat membawa penyelamatan.”​—Mzm. 146:3.

8-10. Apakah yang dinubuatkan oleh Yehuwa mengenai pemerintahan Mesias? Bagaimanakah nubuat itu menjadi kenyataan? (Lihat juga kotak “Nubuat-Nubuat tentang Mesias​—Pokok Sedar yang Megah.”)

8 Namun, terdapat seorang pemerintah yang layak dipercayai, iaitu Mesias. Setelah menyampaikan teka-teki tentang pucuk pokok yang dipindahkan, Yehuwa mengembangkan teka-teki itu untuk menggambarkan pemerintahan Mesias.

9 Apakah nubuatnya? (Baca Yehezkiel 17:22-24.) Kali ini, yang bertindak bukanlah burung helang. Sebaliknya, Yehuwa sendiri yang memetik tunas muda ‘dari puncak pokok sedar yang tinggi lalu menanamnya di atas gunung yang tinggi.’ Tunas itu akan bertumbuh dan menjadi “sebatang pokok sedar yang megah.” “Pelbagai jenis burung” akan bernaung di bawahnya. Kemudian, “semua pokok di padang” akan tahu bahawa Yehuwalah yang membuat pokok itu menjadi megah.

10 Bagaimanakah nubuat itu menjadi kenyataan? Yehuwa mengambil Yesus Kristus, seorang keturunan Daud (“pokok sedar yang tinggi”), dan meletakkannya di atas Gunung Sion di syurga (“gunung yang tinggi”). (Mzm. 2:6; Yer. 23:5; Why. 14:1) Dia meninggikan Anak-Nya yang dianggap “orang yang paling hina” oleh musuhnya lalu “memberinya takhta Daud, nenek moyangnya.” (Dan. 4:17; Luk. 1:32, 33) Seperti pokok sedar yang megah, Raja Mesias, iaitu Yesus, akan memerintah dari syurga atas seluruh bumi dan memberkati rakyatnya. Ya, dialah Pemerintah yang dapat dipercayai. Di bawah pemerintahan Kerajaan Mesias, manusia yang taat akan “hidup sejahtera. Mereka tidak perlu takut akan malapetaka.”​—Ams. 1:33.

11. Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada nubuat itu?

11 Apakah pengajarannya bagi kita? Nubuat tentang ‘tunas muda’ yang menjadi “sebatang pokok sedar yang megah” membantu kita menjawab soalan penting ini: Siapakah yang layak dipercayai? Memang tidak bijak untuk mempercayai kerajaan manusia dan kuasa ketenteraan mereka. Sebaliknya, kita patut menaruh keyakinan dan kepercayaan yang sepenuhnya kepada Raja Mesias, Yesus Kristus. Kerajaannya yang di syurga ialah satu-satunya harapan manusia.​—Why. 11:15.

“Orang yang Berhak Memilikinya”

12. Bagaimanakah Yehuwa membuktikan bahawa Dia tidak melupakan perjanjian-Nya dengan Daud?

12 Melalui penjelasan teka-teki itu, Yehezkiel dapat memahami bahawa Raja Zedekia yang jahat akan diturunkan daripada takhtanya dan dibawa ke Babilon. Mungkin Yehezkiel tertanya-tanya, “Adakah janji Yehuwa kepada Daud akan dikotakan? Adakah seorang raja daripada keturunan Daud akan memerintah untuk selama-lamanya?” (2 Sam. 7:12, 16) Jika itulah yang difikirkan oleh Yehezkiel, dia telah mendapat jawapannya tidak lama kemudian. Semasa pemerintahan Zedekia sekitar 611 SM (tahun ketujuh Yehezkiel ditawan), Yehuwa telah berfirman kepadanya. (Yeh. 20:2) Yehuwa menyuruhnya menyampaikan satu lagi nubuat tentang Mesias. Nubuat itu membuktikan bahawa Yehuwa tidak melupakan perjanjian-Nya dengan Daud. Sebaliknya, nubuat itu menjamin bahawa Raja Mesias yang bakal tiba merupakan orang yang berhak memiliki takhta Daud.

13, 14. Apakah rumusan nubuat di Yehezkiel 21:25-27? Bagaimanakah nubuat itu menjadi kenyataan?

13 Apakah nubuatnya? (Baca Yehezkiel 21:25-27.) Melalui Yehezkiel, Yehuwa berfirman bahawa Dia bakal menghukum ‘pemimpin Israel yang jahat’ dengan mengambil “mahkota dan serban raja” daripadanya. Kemudian, para pemerintah yang “rendah” akan ditinggikan, dan para pemerintah yang “tinggi” akan direndahkan. Para pemerintah yang ditinggikan akan terus memerintah, tetapi hanya sehingga ‘orang yang berhak memiliki’ takhta Daud muncul. Selepas itu, Yehuwa akan memberikan Kerajaan Mesias kepadanya.

14 Bagaimanakah nubuat itu menjadi kenyataan? Pada 607 SM, semasa Yerusalem dibinasakan, kerajaan Yehuda yang “tinggi” telah direndahkan. Zedekia diturunkan daripada takhtanya dan rakyat dibawa sebagai tawanan. Selepas itu, tiada lagi raja daripada keturunan Daud yang memerintah di Yerusalem. Maka, kuasa yang “rendah,” iaitu kuasa orang bukan Yahudi, telah ditinggikan dan mereka menguasai bumi. Tetapi mereka hanya berkuasa untuk sementara waktu. Pada 1914, “waktu yang ditetapkan bagi bangsa-bangsa lain,” atau Zaman Orang Bukan Yahudi, telah berakhir apabila Yehuwa melantik Yesus sebagai Raja. (Luk. 21:24) Sebagai keturunan Raja Daud, Yesus ialah “orang yang berhak” memerintah Kerajaan Mesias. * (Kej. 49:10) Melalui Yesus, Yehuwa menunaikan janji-Nya untuk melantik seorang raja daripada keturunan Daud yang akan memerintah selama-lamanya.​—Luk. 1:32, 33.

Yesus ialah orang yang berhak memerintah Kerajaan Tuhan (Lihat perenggan 15)

15. Mengapakah kita dapat menaruh keyakinan yang sepenuhnya kepada Raja Yesus?

15 Apakah pengajarannya bagi kita? Kita dapat menaruh keyakinan yang sepenuhnya kepada Raja Yesus. Mengapa? Yesus bukan seperti penguasa di bumi yang dipilih oleh manusia dan dapat digantikan. Sebaliknya, Yehuwa sendiri yang telah melantiknya sebagai raja dan memberinya “sebuah kerajaan” yang layak diwarisinya. (Dan. 7:13, 14) Ya, Raja yang dipilih oleh Yehuwa memang layak dipercayai!

“Hamba-Ku Daud” Akan “Menjadi Gembala Mereka”

16. Apakah perasaan Yehuwa terhadap kawanan-Nya? Bagaimanakah “gembala-gembala Israel” melayan umat-Nya?

16 Yehuwa, Gembala Agung kita, sangat mengambil berat tentang keadaan kawanan-Nya. (Mzm. 100:3) Maka Dia mengamanahkan tanggungjawab untuk menjaga umat-Nya kepada gembala-gembala rohani, dan Dia memperhatikan bagaimana mereka memperlakukan umat-Nya. Bayangkanlah perasaan Yehuwa apabila Dia melihat “gembala-gembala Israel” melayan umat-Nya “dengan kejam dan zalim.” Perbuatan mereka ini menyebabkan umat-Nya menderita dan meninggalkan ibadat sejati.​—Yeh. 34:1-6.

17. Bagaimanakah Yehuwa menyelamatkan kawanan-Nya?

17 Apakah yang akan dilakukan oleh Yehuwa? Mengenai pemimpin-pemimpin yang jahat itu, Dia berfirman, “Aku akan meminta mereka memberikan pertanggungjawaban.” Yehuwa juga berjanji, “Aku akan menyelamatkan biri-biri-Ku.” (Yeh. 34:10, nota kaki) Yehuwa sentiasa menepati janji-Nya. (Yos. 21:45) Pada 607 SM, Dia telah menyelamatkan kawanan-Nya dengan menggunakan askar Babilon untuk menggulingkan pemerintahan raja Israel. Tujuh puluh tahun kemudian, Dia membebaskan mereka dari Babilon supaya mereka dapat memulihkan ibadat sejati di Yerusalem. Tetapi, kawanan Yehuwa tetap menghadapi ancaman. Mereka harus berada di bawah kuasa pemerintah dunia selama ratusan tahun sehingga “waktu yang ditetapkan bagi bangsa-bangsa lain” berakhir.​—Luk. 21:24.

18, 19. Apakah nubuat yang disampaikan oleh Yehezkiel pada 606 SM? (Lihat gambar pada permulaan bab.)

18 Pada 606 SM, iaitu hampir setahun selepas Yerusalem dibinasakan, Yehezkiel menyampaikan satu lagi nubuat tentang bagaimana Raja Mesias akan menggembala biri-biri Yehuwa. Nubuat itu menyingkapkan bahawa Yehuwa, Gembala yang Agung, sangat mengasihi kawanan-Nya dan ingin mereka hidup selama-lamanya.

19 Apakah nubuatnya? (Baca Yehezkiel 34:22-24.) Perhatikan ungkapan “seseorang untuk menjadi gembala” dan “hamba-Ku Daud.” Kedua-dua ungkapan ini digunakan dalam bentuk tunggal. Hal ini menunjukkan bahawa pemerintah ini tidak akan memulihkan pemerintahan raja-raja daripada keturunan Daud. Sebaliknya, dia merupakan satu-satunya pewaris takhta Daud yang akan memerintah selama-lamanya. Sebagai raja dan gembala, dia akan “memberikan makanan” kepada biri-biri Tuhan dan menjadi “pemimpin mereka.” Yehuwa akan “membuat perjanjian damai” dengan biri-biri-Nya dan “berkat akan dicurahkan bagaikan air hujan” ke atas mereka. Ya, mereka akan menikmati kehidupan yang selamat, makmur, dan bahagia! Bahkan manusia dan binatang akan hidup aman damai.​—Yeh. 34:25-28.

20, 21. (a) Bagaimanakah nubuat tentang “hamba-Ku Daud” menjadi kenyataan? (b) Bagaimanakah kata-kata Yehezkiel tentang “perjanjian damai” akan menjadi kenyataan?

20 Bagaimanakah nubuat itu menjadi kenyataan? Pemerintah yang digelar “hamba-Ku Daud” merujuk kepada Yesus, iaitu keturunan Daud yang berhak memerintah. (Mzm. 89:35, 36) Semasa di bumi, Yesus menunjukkan bahawa dia ialah “gembala yang baik” yang sanggup menyerahkan nyawanya “demi kawanan biri-biri.” (Yoh. 10:14, 15) Kini, dia ialah Gembala di syurga. (Ibr. 13:20) Pada 1914, Tuhan melantik Yesus sebagai raja dan memberinya tanggungjawab untuk menggembala dan memberikan makanan kepada kawanan Tuhan di bumi. Pada 1919, Yesus telah melantik “hamba yang setia dan bijaksana” untuk memberikan makanan kepada “hamba-hamba lain,” iaitu umat Tuhan lain yang berpeluang untuk hidup di syurga atau di bumi. (Mat. 24:45-47) Di bawah pimpinan Yesus, hamba yang setia telah menyediakan makanan rohani yang melimpah. Hasilnya, umat Tuhan dapat menyumbang kepada suasana yang damai dan selamat dalam firdaus rohani.

21 Bagaimanakah kata-kata Yehezkiel tentang “perjanjian damai” akan menjadi kenyataan? Di dunia baharu, umat Yehuwa akan menikmati berkat yang dicurahkan bagaikan air hujan. Mereka tidak akan menderita kerana peperangan, jenayah, kebuluran, penyakit, dan binatang buas. (Yes. 11:6-9; 35:5, 6; 65:21-23) Tidakkah anda teruja untuk hidup selama-lamanya di bumi firdaus? Pada masa itu, biri-biri Tuhan akan “tinggal dengan aman dan tidak ada sesiapa yang akan membuat mereka berasa takut.”​—Yeh. 34:28.

Yesus, iaitu Gembala kita di syurga, sangat prihatin terhadap cara umat Tuhan dilayan (Lihat perenggan 22)

22. Apakah perasaan Yesus terhadap biri-biri Tuhan? Bagaimanakah gembala-gembala di bumi dapat mencerminkan kasih Yesus?

22 Apakah pengajarannya bagi kita? Seperti Bapanya, Yesus juga sangat prihatin terhadap biri-biri Tuhan. Sebagai raja dan gembala kita, Yesus memastikan bahawa kawanan Tuhan diberi makanan rohani yang secukupnya. Dia juga ingin kita menikmati firdaus rohani yang damai dan selamat. Alangkah gembiranya kita kerana dapat hidup di bawah jagaan Raja Yesus! Selain itu, para gembala di bumi perlu mencontohi kasih Yesus terhadap kawanan Tuhan. Mereka harus menjadi teladan yang baik dan menggembala umat Tuhan ‘dengan rela dan bersemangat.’ (1 Ptr. 5:2, 3) Mereka tidak patut menindas biri-biri Yehuwa. Ingatlah, Yehuwa pernah berfirman kepada gembala-gembala Israel, “Aku akan meminta mereka memberikan pertanggungjawaban atas biri-biri-Ku.” (Yeh. 34:10, nota kaki) Sememangnya, Yehuwa, Gembala Agung kita, dan Anak-Nya sangat prihatin terhadap cara umat-Nya dilayan.

“Hamba-Ku Daud Akan Menjadi Pemimpin Mereka buat Selama-Lamanya”

23. Apakah yang dijanjikan Tuhan tentang bangsa Israel? Bagaimanakah hal itu menjadi kenyataan?

23 Yehuwa mahu umat-Nya berkhidmat kepada-Nya dengan bersatu padu. Dalam sebuah nubuat mengenai pemulihan Israel, Tuhan berjanji bahawa Dia akan mengumpulkan umat-Nya daripada kerajaan 2 suku Yehuda dan kerajaan 10 suku Israel. Dia akan “menyatukan mereka” sepertimana ‘dua batang kayu digabungkan menjadi satu’ di dalam tangan-Nya. (Yeh. 37:15-23) Nubuat itu menjadi kenyataan apabila Tuhan memulihkan, atau menyatukan, bangsa Israel dan membawa mereka kembali ke Tanah yang Dijanjikan pada 537 SM. * Tetapi, perpaduan yang dinikmati itu hanyalah bayangan kepada apa yang akan berlaku pada masa depan. Selepas Yehuwa berjanji untuk menyatukan bangsa Israel, Dia menubuatkan bagaimana Raja yang dijanjikan akan menyatukan penyembah Tuhan di seluruh bumi buat selama-lamanya.

24. Apakah gelaran yang digunakan oleh Yehuwa untuk Mesias? Apakah ciri-ciri pemerintahannya?

24 Apakah nubuatnya? (Baca Yehezkiel 37:24-28.) Yehuwa memanggil Mesias sebagai “hamba-Ku Daud,” “seorang gembala,” dan “pemimpin.” Tetapi sekarang, Dia juga menggelar Mesias sebagai “raja.” (Yeh. 37:22) Apakah ciri-ciri pemerintahan Raja Mesias ini? Pemerintahannya akan kekal selama-lamanya. Istilah “selama-lamanya” menunjukkan bahawa berkat-berkat akan terus dicurahkan di bawah pemerintahannya. * Pemerintahannya akan membawa perpaduan. Di bawah pemerintahan “seorang raja,” rakyat akan hidup menurut ‘ketetapan Tuhan,’ dan “mereka akan tinggal” di bumi bersama-sama. Pemerintahannya akan membantu rakyat lebih menghampiri Tuhan Yehuwa. Sebagai Tuhan mereka, Yehuwa akan “membuat perjanjian damai” dengan mereka, dan Rumah-Nya akan “bersama mereka buat selama-lamanya.”

25. Bagaimanakah nubuat tentang Raja Mesias menjadi kenyataan?

25 Bagaimanakah nubuat itu menjadi kenyataan? Pada 1919, kaum terurap telah disatukan di bawah “seorang gembala,” iaitu Raja Mesias, Yesus Kristus. Kemudian, “kumpulan besar manusia” daripada “semua bangsa, suku, kaum, dan bahasa” turut disatukan dengan umat Tuhan yang terurap. (Why. 7:9) Mereka telah menjadi “satu kawanan” di bawah “satu gembala.” (Yoh. 10:16) Tidak kira harapan mereka adalah untuk hidup di syurga atau di bumi, mereka mematuhi ‘ketetapan Tuhan,’ iaitu perintah-Nya, dengan sepenuh hati. Hasilnya, mereka menikmati persaudaraan sedunia dan perpaduan dalam firdaus rohani. Yehuwa juga memberkati mereka dengan kedamaian dan Rumah-Nya, yang melambangkan ibadat sejati, ada dalam kalangan mereka. Yehuwalah Tuhan mereka, dan mereka berbangga untuk menjadi umat-Nya, sekarang sehingga selama-lamanya!

26. Bagaimanakah anda dapat menyumbang kepada perpaduan dalam firdaus rohani?

26 Apakah pengajarannya bagi kita? Kita sangat gembira kerana dapat menyembah Yehuwa bersama saudara saudari di seluas dunia dengan bersatu padu. Namun, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada perpaduan itu. Oleh itu, kita harus sefikiran dalam soal rohani dan moral. (1 Kor. 1:10) Maka, kita harus makan makanan rohani yang sama, hidup mengikut piawaian Bible yang sama, serta melakukan kerja yang sama, iaitu menginjil dan menjadikan orang murid Yesus. Selain itu, kita harus terus menunjukkan kasih, iaitu kunci kepada perpaduan kita. Seraya kita terus memupuk kasih dan memperlihatkan empati, belas kasihan, dan rela memaafkan satu sama lain, kita sedang menyumbang kepada perpaduan kita. Ya, “kasih ialah ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna.”​—Kol. 3:12-14; 1 Kor. 13:4-7.

Yehuwa memberkati persaudaraan sedunia yang pengasih (Lihat perenggan 26)

27. (a) Apakah perasaan anda mengenai nubuat-nubuat tentang Mesias dalam buku Yehezkiel? (b) Apakah yang akan kita kaji dalam bab-bab yang seterusnya?

27 Betapa bersyukurnya kita atas nubuat-nubuat tentang Mesias dalam buku Yehezkiel! Dengan mengkaji dan merenungkan nubuat-nubuat itu, kita belajar bahawa Raja Yesus memang layak dipercayai, mempunyai hak untuk memerintah, menggembala kita dengan penuh kasih, dan memastikan kita terus bersatu padu buat selama-lamanya. Alangkah bangganya kita untuk menjadi rakyat Kerajaan Mesias! Ingatlah, nubuat tentang Mesias ialah sebahagian daripada pemulihan yang disebutkan dalam buku Yehezkiel. Melalui Yesus, Yehuwa akan mengumpulkan umat-Nya dan memulihkan ibadat sejati. (Yeh. 20:41) Dalam bab-bab yang seterusnya, kita akan belajar lebih lanjut tentang pemulihan ini dan apa yang dikatakan tentangnya dalam buku Yehezkiel.

^ per. 1 Pada 617 SM, para tawanan Yahudi dibawa ke Babilon. Maka tahun keenam bermula pada 612 SM.

^ per. 14 Salasilah Yesus yang menunjukkan bahawa dia ialah keturunan Daud jelas dicatatkan dalam Bible.​—Mat. 1:1-16; Luk. 3:23-31.

^ per. 23 Nubuat Yehezkiel tentang dua batang kayu dan bagaimana nubuat itu menjadi kenyataan akan dibincangkan dalam Bab 12 buku ini.

^ per. 24 Mengenai perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “selama-lamanya,” sebuah buku rujukan menyatakan, “Perkataan ini menunjukkan waktu yang sangat lama, dan membawa maksud sesuatu yang berkekalan, bertahan, tidak terbatas, tidak dapat dibatalkan, dan tidak boleh berubah.”