Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 13

“Gambarkanlah Rumah Itu”

“Gambarkanlah Rumah Itu”

YEHEZKIEL 43:10

ISI UTAMA: Erti penglihatan Yehezkiel tentang Rumah Tuhan

1-3. (a) Mengapakah Yehezkiel berasa lega selepas mendapat penglihatan tentang Rumah Tuhan? (Lihat gambar pada permulaan bab.) (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam bab ini?

YEHEZKIEL kini berumur 50 tahun dan dia telah menghabiskan 25 tahun sebagai tawanan di Babilon. Selama ini, Rumah Tuhan berada dalam keadaan yang teruk. Yehezkiel tahu bahawa dia mungkin tidak dapat berkhidmat sebagai imam di Rumah Tuhan. Hal ini kerana orang Israel masih perlu berada di Babilon selama 56 tahun lagi. Kemungkinan besar dia tidak dapat hidup cukup lama untuk melihat umat Yehuwa pulang ke Yerusalem, apatah lagi melihat Rumah Tuhan dibina semula. (Yer. 25:11) Dapatkah anda bayangkan betapa sedihnya Yehezkiel?

2 Pada masa itu, Yehuwa memberi Yehezkiel suatu penglihatan yang melegakan hati dan memberinya harapan. Dalam penglihatan itu, Yehezkiel dibawa ke sebuah gunung yang sangat tinggi di tanah airnya. Kemudian, dia nampak “seorang lelaki yang berkilauan seperti tembaga.” Lelaki itu membawanya untuk melihat Rumah Tuhan yang amat mengagumkan. (Baca Yehezkiel 40:1-4.) Penglihatan itu sangat nyata baginya! Sudah pasti Yehezkiel berasa takjub dan imannya dikuatkan. Tetapi dia mungkin berasa keliru juga. Mengapa? Walaupun Rumah Tuhan yang dilihatnya mempunyai banyak persamaan dengan Rumah Tuhan di Yerusalem, terdapat juga ciri-ciri yang amat berbeza.

3 Penglihatan yang menarik itu dicatatkan dalam sembilan bab terakhir buku Yehezkiel. Sekarang, kita akan membincangkan cara yang harus digunakan untuk memahami penglihatan itu. Seterusnya, kita akan mengkaji sama ada Rumah Tuhan yang dilihat Yehezkiel ialah Rumah Rohani Tuhan yang disebutkan Paulus ratusan tahun kemudian. Akhir sekali, kita akan membincangkan apa yang dipelajari oleh Yehezkiel dan para tawanan daripada penglihatan itu.

Menggunakan Cara yang Baharu

4. Bagaimanakah bahan bacaan kita dahulu menjelaskan Rumah Tuhan yang dilihat Yehezkiel? Namun, apakah yang kita sedari?

4 Pada masa dahulu, bahan bacaan kita menyatakan bahawa Rumah Tuhan dalam penglihatan Yehezkiel ialah Rumah Rohani Tuhan dalam surat Paulus kepada orang Ibrani. * Maka, kita membandingkan catatan Paulus tentang khemah suci dengan Rumah Tuhan yang dilihat Yehezkiel. Kemudian, kita mencari isi tersirat atau maksud di sebalik setiap ciri dalam Rumah Tuhan. Tetapi, doa dan perenungan membantu kita sedar bahawa cara yang lebih mudah diperlukan untuk memahami penglihatan Yehezkiel.

5, 6. (a) Apakah yang ditulis oleh Paulus selepas menyebutkan beberapa ciri khemah suci? Bagaimanakah dia menunjukkan kerendahan hati? (b) Bagaimanakah kita dapat meniru sikapnya?

5 Sebenarnya, kita tidak patut mencari isi tersirat atau maksud di sebalik setiap ciri Rumah Tuhan dalam penglihatan Yehezkiel. Mengapa? Perhatikan contoh ini. Semasa Paulus membincangkan khemah suci dan Rumah Rohani Tuhan, dia telah menyebut tentang beberapa ciri, seperti bekas perbaraan emas, penutup tabut, dan balang emas berisi manna. Adakah dia cuba menjelaskan maksud setiap ciri itu? Nampaknya, kuasa suci Tuhan tidak mengilhaminya untuk berbuat demikian. Paulus menulis, “Sekarang bukanlah masanya untuk menerangkan hal-hal ini dengan terperinci.” (Ibr. 9:4, 5) Ya, dia dengan rendah hati mengikut bimbingan kuasa suci Tuhan dan menantikan masanya Yehuwa menyingkapkan hal-hal itu.​—Ibr. 9:8.

6 Kita juga harus meniru sikap yang sama berkenaan penglihatan Yehezkiel. Ciri-ciri Rumah Tuhan yang dilihatnya sangat terperinci. Maka, kita sedar bahawa jika penjelasan lanjut diperlukan, kita harus bersabar sehingga Yehuwa sendiri yang menyingkapkannya. (Baca Mikha 7:7.) Jadi, adakah Yehuwa memberikan apa-apa penjelasan tentang penglihatan ini? Ya!

Adakah Yehezkiel Melihat Rumah Rohani Tuhan?

7, 8. (a) Apakah pemahaman lama yang telah dikemaskinikan? (b) Apakah perbezaan antara Rumah Tuhan dalam penglihatan Yehezkiel dengan Rumah Rohani Tuhan yang disebutkan Paulus?

7 Seperti yang disebutkan, pemahaman lama kita ialah Rumah Tuhan dalam penglihatan Yehezkiel merupakan Rumah Rohani Tuhan yang dituliskan Paulus. Setelah mengkajinya dengan lebih mendalam, kita dapat menyimpulkan bahawa hal itu tidak tepat. Mengapa?

8 Pertama, Rumah Tuhan yang dilihat Yehezkiel tidak sepadan dengan penjelasan Paulus. Perhatikan hal ini: Rasul Paulus mengatakan bahawa khemah suci pada zaman Musa ialah bayangan kepada hal-hal yang lebih agung. Seperti Rumah Tuhan pada zaman Salomo dan Zerubabel, khemah suci juga mempunyai “Bilik Maha Suci.” Paulus menyatakan bahawa Bilik Maha Suci itu “dibuat dengan tangan manusia” dan bahawa itu hanyalah suatu “tiruan.” Jadi, apakah Bilik Maha Suci yang sebenar? Paulus menjawab, “Syurga.” (Ibr. 9:3, 24) Dalam penglihatan Yehezkiel ini, adakah dia melihat hal-hal di syurga? Tidak! Tiada butiran yang membuktikan hal itu.​—Bandingkan Daniel 7:9, 10, 13, 14.

9, 10. Apakah perbezaan antara korban yang dipersembahkan di Rumah Tuhan yang dilihat Yehezkiel dengan Rumah Rohani Tuhan yang disebutkan Paulus?

9 Terdapat satu lagi perbezaan antara penglihatan Yehezkiel dengan catatan Paulus. Yehezkiel mendengar Yehuwa memberikan arahan yang terperinci kepada rakyat, para imam, dan para pemimpin Israel mengenai korban-korban yang harus dipersembahkan. Mereka harus memberikan korban untuk dosa mereka. Selain itu, mereka harus mempersembahkan “korban pendamaian” lalu memakannya di bilik makan Rumah Tuhan. (Yeh. 43:18, 19; 44:11, 15, 27; 45:15-20, 22-25) Adakah korban-korban sebegitu dipersembahkan secara berulang kali di Rumah Rohani Tuhan?

Rumah Tuhan yang dilihat Yehezkiel bukanlah Rumah Rohani Tuhan

10 Tidak. Paulus menjawab, “Kristus datang sebagai imam agung untuk perkara-perkara baik yang sudah ada di sini. Dia masuk ke dalam khemah yang lebih penting dan lebih sempurna. Khemah ini tidak dibuat dengan tangan manusia, ertinya khemah ini bukan sebahagian daripada ciptaan di bumi. Kristus masuk ke dalam Bilik Maha Suci bukan dengan membawa darah kambing atau darah lembu jantan muda, tetapi dengan membawa darahnya sendiri. Dia masuk sekali untuk selama-lamanya dan memperoleh pembebasan yang kekal untuk kita.” (Ibr. 9:11, 12) Maka, persembahan korban di Rumah Rohani Tuhan hanya dilakukan sekali untuk selama-lamanya. Inilah korban tebusan yang dipersembahkan oleh Imam Agung kita, iaitu Yesus Kristus. Ya, Rumah Tuhan yang dilihat Yehezkiel dan korban-korban yang dipersembahkan di sana jelas menunjukkan bahawa itu bukanlah Rumah Rohani Tuhan.

11. Mengapakah belum tiba masanya bagi Tuhan untuk menyingkapkan kebenaran tentang Rumah Rohani Tuhan melalui Yehezkiel?

11 Kedua, belum tiba masanya bagi Tuhan untuk menyingkapkan kebenaran tentang Rumah Rohani-Nya. Ingatlah, penglihatan Yehezkiel ditujukan kepada orang Yahudi yang hidup di bawah Hukum Musa. Setelah kembali ke Yerusalem, mereka harus membina semula Rumah Tuhan dan mazbahnya. Mereka perlu mempersembahkan korban di sana, dan mereka telah berbuat demikian selama hampir 600 tahun. Bayangkanlah jika penglihatan Yehezkiel adalah tentang Rumah Rohani Tuhan. Apakah perasaan mereka setelah mendengar bahawa imam agung akan mengorbankan nyawanya sendiri dan aturan korban dibatalkan? Mungkin penglihatan ini akan melemahkan tekad mereka untuk mematuhi Hukum Musa. Maka, penglihatan ini tidak merujuk kepada Rumah Rohani Tuhan kerana Yehuwa selalu menyingkapkan kebenaran pada masa yang tepat, dan apabila umat-Nya bersedia untuk menerimanya.

12-14. Apakah kaitan antara Rumah Tuhan yang dilihat Yehezkiel dengan Rumah Rohani Tuhan yang disebutkan Paulus? (Lihat kotak “Dua Rumah Tuhan, Pengajaran yang Berbeza.”)

12 Jadi, adakah Rumah Tuhan yang dilihat Yehezkiel mempunyai kaitan dengan Rumah Rohani Tuhan yang disebutkan Paulus? Ingatlah bahawa Paulus menyebut tentang khemah suci pada zaman Musa dan bukannya Rumah Tuhan dalam penglihatan Yehezkiel. Memang, sesetengah ciri yang disebutkan Paulus juga ada dalam Rumah Tuhan pada zaman Salomo dan Zerubabel, serta Rumah Tuhan yang dilihat Yehezkiel. Tetapi secara umum, catatan Yehezkiel dan Paulus bertumpu kepada aspek yang berbeza. * Maka, kedua-dua catatan itu berkait rapat dan membantu kita mempunyai gambaran yang lebih lengkap tentang ibadat sejati.

13 Apakah kaitan antara kedua-dua catatan itu? Catatan Paulus mengajar kita tentang aturan Yehuwa untuk ibadat sejati. Catatan Yehezkiel pula mengajar kita tentang piawaian Yehuwa untuk ibadat sejati. Melalui catatan Paulus, dia menunjukkan aturan ibadat sejati dengan menjelaskan ciri-ciri Rumah Rohani Tuhan, seperti imam agung, korban yang dipersembahkan, mazbah, dan Bilik Maha Suci. Tetapi untuk menegaskan piawaian Yehuwa yang tinggi untuk ibadat sejati, Yehezkiel memberi kita banyak butiran yang terperinci tentang Rumah Tuhan. Hasilnya, piawaian Yehuwa akan terukir di hati dan minda kita.

14 Sememangnya, penglihatan Yehezkiel dan pemahaman yang dikemaskinikan ini amat penting bagi kita. Apakah manfaat yang kita peroleh daripadanya? Untuk mengetahui jawapannya, mari kita kaji manfaat yang diterima oleh orang Yahudi yang setia pada zaman kuno.

Pengajaran yang Diraih Tawanan Yahudi

15. (a) Apakah mesej yang ingin disampaikan melalui penglihatan Yehezkiel? (b) Apakah keadaan berbeza yang digambarkan dalam Yehezkiel bab 8 dan Yehezkiel bab 40 hingga 48?

15 Mula-mula, kita perlu mengkaji beberapa soalan untuk mendapatkan gambaran keseluruhan. Soalan pertama: Apakah mesej yang ingin disampaikan melalui penglihatan itu? Secara ringkas, mesejnya ialah ibadat sejati akan dipulihkan. Pasti hal ini sangat jelas bagi Yehezkiel. Sebelum ini, Yehuwa telah menunjukkan kepada Yehezkiel keadaan teruk yang wujud di Rumah-Nya di Yerusalem (Yehezkiel bab 8). Bayangkan betapa terujanya Yehezkiel semasa menulis tentang Rumah Tuhan yang mulia (Yehezkiel bab 40 hingga 48). Catatannya menggambarkan ibadat sejati yang dijalankan selaras dengan Hukum Musa. Ya, ibadat sejati akhirnya tidak lagi dicemari!

16. Bagaimanakah penglihatan Yehezkiel menegaskan perkara yang dinubuatkan oleh Yesaya?

16 Untuk memastikan ibadat sejati dipulihkan, umat Tuhan harus menjunjung tinggi ibadat kepada Yehuwa. Lebih daripada 100 tahun sebelum zaman Yehezkiel, Yesaya telah menulis, “Pada hari-hari terakhir, gunung tempat Rumah Yehuwa akan berdiri teguh dan menjadi lebih tinggi daripada puncak gunung yang lain serta menjadi lebih tinggi daripada semua bukit.” (Yes. 2:2) Jelaslah Yesaya melihat bahawa ibadat sejati akan dipulihkan dan dijunjung tinggi, seolah-olah ditempatkan di gunung yang tertinggi. Bagaimana pula dengan Rumah Tuhan dalam penglihatan Yehezkiel? Rumah Tuhan juga terletak “di atas sebuah gunung yang sangat tinggi”! (Yeh. 40:2) Maka, penglihatan Yehezkiel menegaskan bahawa ibadat sejati pasti dipulihkan.

Rumah Tuhan dalam penglihatan Yehezkiel berada di tempat yang sangat tinggi (Lihat perenggan 16)

17. Jelaskan secara ringkas catatan Yehezkiel bab 40 hingga 48.

17 Mari kita kaji penglihatan Yehezkiel dalam bab 40 hingga 48. Dia melihat satu malaikat mengukur pintu gerbang, dinding, tembok, halaman, dan tempat suci di Rumah Tuhan. (Yeh. 40-42) Selepas itu, suatu peristiwa yang menakjubkan telah berlaku. Yehezkiel melihat cahaya kemuliaan Yehuwa di Rumah-Nya! Kemudian, Yehuwa memberikan nasihat yang tegas kepada rakyat, para imam, dan pemimpin Israel. (Yeh. 43:1-12; 44:10-31; 45:9-12) Yehezkiel juga melihat sungai yang mengalir dari Rumah Tuhan ke Laut Mati. Alirannya membawa kehidupan dan berkat. (Yeh. 47:1-12) Selain itu, tanah dibahagikan mengikut ukuran tertentu, dan ibadat sejati dijalankan di tengah-tengah kawasan itu. (Yeh. 45:1-8; 47:13–48:35) Melalui penglihatan ini, Yehuwa meyakinkan umat-Nya bahawa ibadat sejati akan dipulihkan dan dijunjung tinggi. Kehadiran-Nya di Rumah-Nya menunjukkan perkenan-Nya. Berkat yang melimpah dari Rumah-Nya akan membawa penyembuhan, kehidupan, dan kedamaian di tanah yang dipulihkan itu.

Rumah Tuhan yang dilihat Yehezkiel menunjukkan bagaimana Yehuwa akan memulihkan ibadat sejati (Lihat perenggan 17)

18. Patutkah penglihatan itu difahami secara harfiah? Jelaskan.

18 Soalan kedua: Patutkah penglihatan itu difahami secara harfiah? Tidak. Sebenarnya, Yehezkiel dan para tawanan lain pasti tahu bahawa penglihatan itu bukanlah sesuatu yang harfiah. Mengapa? Rumah Tuhan yang dilihat Yehezkiel terletak “di atas sebuah gunung yang sangat tinggi.” Walaupun gambaran itu selaras dengan nubuat Yesaya, hal itu tidak mungkin merujuk kepada lokasi Rumah Tuhan yang sebenar. Rumah Tuhan yang dibina Salomo terletak di Gunung Moria di Yerusalem, dan di situlah Rumah Tuhan akan dibina semula. Adakah Gunung Moria “sebuah gunung yang sangat tinggi”? Tidak. Terdapat gunung-gunung di sekelilingnya yang sama tinggi atau lebih tinggi daripadanya. Selain itu, Gunung Moria tidak dapat memuatkan seluruh kawasan Rumah Tuhan yang dilihat Yehezkiel. Bahkan kota Yerusalem pada zaman Salomo pun tidak dapat memuatkannya, apalagi Gunung Moria! Bukan itu sahaja, para tawanan pasti tidak akan berfikir bahawa terdapat sungai harfiah yang mengalir dari Rumah Tuhan ke Laut Mati, lalu menyembuhkan laut itu. Tambahan lagi, memandangkan Tanah yang Dijanjikan berbukit bukau, tidak mungkin sempadan yang lurus dapat dibuat antara setiap suku, seperti yang dilihat Yehezkiel. Kesimpulannya, penglihatan itu tidak patut difahami secara harfiah.

19-21. Apakah sepatutnya kesan penglihatan itu terhadap para tawanan? Mengapakah penglihatan itu membuat mereka berasa sedemikian?

19 Soalan ketiga: Apakah sepatutnya kesan penglihatan itu terhadap para tawanan? Semasa merenungkan piawaian Yehuwa yang tinggi untuk ibadat sejati, mereka sepatutnya berasa bersalah atas perbuatan mereka. Yehuwa ingin Yehezkiel ‘menggambarkan rumah itu kepada bangsa Israel’ dengan sangat terperinci supaya mereka dapat “meneliti reka bentuk rumah itu.” Apakah tujuannya? Sudah pasti bukan untuk membinanya, tetapi “agar mereka berasa malu atas kesalahan mereka.”​—Baca Yehezkiel 43:10-12.

20 Apakah yang mungkin menggerakkan para tawanan yang berhati jujur untuk berasa malu? Yehuwa berfirman kepada Yehezkiel, “Anak manusia, perhatikanlah segala-galanya dengan teliti. Lihatlah dan dengarlah baik-baik kerana Aku akan memberitahu engkau tentang hukum dan perintah Rumah Yehuwa.” (Yeh. 44:5) Dalam penglihatan ini, Yehezkiel berkali-kali mendengar tentang hukum dan perintah Yehuwa. (Yeh. 43:11, 12; 44:24; 46:14) Tambahan lagi, dia sering diingatkan tentang piawaian Yehuwa, termasuk piawaian-Nya tentang ukuran dan timbangan yang tepat. (Yeh. 40:5; 45:10-12; bandingkan Amsal 16:11.) Dalam penglihatan ini sahaja, Yehezkiel telah menggunakan perkataan yang bermaksud “mengukur” dan “ukuran” lebih daripada 50 kali!

21 Melalui catatan tentang ukuran, timbangan, hukum, dan perintah, apakah yang ingin disampaikan oleh Yehuwa? Nampaknya, Dia ingin menekankan kebenaran yang penting ini: Dia sahajalah yang layak menentukan piawaian bagi ibadat sejati. Maka, umat-Nya yang tersimpang daripada haluan-Nya memang patut berasa malu. Apakah beberapa aspek penglihatan ini yang telah membantu mereka sedar akan hal ini? Dalam bab seterusnya, kita akan mengkaji beberapa aspek itu secara spesifik. Hasilnya, kita akan melihat dengan jelas manfaat yang kita peroleh daripada penglihatan yang menakjubkan ini.

Mengapakah penglihatan ini membuat orang yang berhati jujur berasa malu? (Lihat perenggan 19-21)

^ per. 4 Rumah Rohani Tuhan ialah aturan Yehuwa untuk beribadat kepada-Nya berdasarkan korban tebusan Yesus Kristus. Kita memahami bahawa aturan itu diasaskan pada 29 M.

^ per. 12 Contohnya, catatan Paulus bertumpu kepada imam agung dan peranannya pada Hari Pengampunan Dosa. (Ibr. 2:17; 3:1; 4:14-16; 5:1-10; 7:1-17, 26-28; 8:1-6; 9:6-28) Tetapi, penglihatan Yehezkiel langsung tidak menyebut tentang imam agung atau Hari Pengampunan Dosa.