Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 14

“Inilah Hukum Rumah Tuhan”

“Inilah Hukum Rumah Tuhan”

YEHEZKIEL 43:12

ISI UTAMA: Penglihatan Rumah Tuhan​—Pengajaran untuk zaman Yehezkiel dan zaman kita

1, 2. (a) Dalam bab yang sebelumnya, apakah yang telah kita pelajari tentang Rumah Tuhan dalam penglihatan Yehezkiel? (b) Apakah dua soalan yang akan kita bincangkan dalam bab ini?

DALAM bab sebelumnya, kita belajar bahawa Rumah Tuhan yang dilihat oleh Yehezkiel adalah berbeza dengan Rumah Rohani Tuhan. Kita juga belajar pentingnya mengikut piawaian dan hukum Tuhan semasa menyembah-Nya. Memandangkan itulah syarat yang sangat penting untuk mempunyai hubungan yang baik dengan-Nya, Yehuwa telah menegaskan hal ini sebanyak dua kali dalam ayat yang sama, “Inilah hukum Rumah Tuhan.”​—Baca Yehezkiel 43:12.

2 Sekarang, kita akan bincangkan dua soalan yang berikut. Pertama: Daripada penglihatan Yehezkiel, apakah pengajaran yang diperoleh orang Yahudi tentang piawaian Yehuwa bagi ibadat sejati? Selepas menjawab soalan itu, kita akan membincangkan soalan kedua: Apakah pengajarannya bagi kita yang hidup pada hari-hari terakhir?

Apakah Pengajaran yang Diperoleh pada Zaman Dahulu?

3. Apakah perasaan mereka yang berhati jujur selepas mengetahui tentang Rumah Tuhan yang dimuliakan dan ditinggikan? Jelaskan.

3 Untuk menjawab soalan pertama, mari kita lihat beberapa ciri dalam penglihatan Rumah Tuhan. Gunung yang sangat tinggi. Orang pada zaman itu mungkin terfikir tentang nubuat pemulihan Yesaya. (Yes. 2:2) Apakah yang dipelajari mereka semasa melihat Rumah Yehuwa terletak di atas gunung yang sangat tinggi? Mereka sedar bahawa ibadat sejati harus disanjung, ditinggikan, dan dimuliakan. Sebenarnya, ibadat sejati memang sesuatu yang mulia kerana Yehuwalah yang telah mengasaskannya, dan Dia “lebih agung daripada semua tuhan.” (Mzm. 97:9) Tetapi sedihnya, selama ratusan tahun, umat Tuhan telah mencemari, meremehkan, dan meninggalkan ibadat sejati. Sudah pasti penglihatan ini menggerakkan mereka yang berhati jujur untuk berasa malu atas dosa mereka.

4, 5. Apakah pengajaran yang diraih oleh mereka yang mengamati pintu gerbang yang tinggi di Rumah Tuhan?

4 Pintu gerbang yang tinggi. Pada awal penglihatannya, Yehezkiel melihat satu malaikat mengukur pintu gerbang Rumah Tuhan. Gerbang-gerbang itu sangat tinggi, iaitu kira-kira 30 m. (Yeh. 40:14) Terdapat juga bilik-bilik pengawal di jalan masuk Rumah Tuhan. Yehuwa memberitahu Yehezkiel, “Perhatikanlah dengan teliti jalan masuk ke rumah itu.” Mengapa? Kerana umat-Nya telah membawa orang yang “tidak bersunat dan yang hatinya jahat” ke dalam Rumah suci-Nya. Itulah sebabnya Yehuwa berfirman bahawa ‘mereka telah menajiskan Rumah-Nya.’​—Yeh. 44:5, 7.

5 Orang yang “tidak bersunat” telah melanggar perintah yang diberikan oleh Tuhan pada zaman Abraham. (Kej. 17:9, 10; Im. 12:1-3) Namun, orang yang “hatinya jahat” adalah jauh lebih teruk dalam pandangan Tuhan. Mereka degil dan suka melawan bimbingan Yehuwa. Orang sebegini tidak sepatutnya dibenarkan memasuki Rumah Yehuwa yang suci! Yehuwa membenci kemunafikan, tetapi umat-Nya telah membiarkan orang yang munafik keluar masuk Rumah-Nya. Maka, apakah pengajaran yang diperoleh daripada pintu gerbang dan bilik pengawal dalam penglihatan Yehezkiel? Orang yang mahu memasuki Rumah Tuhan harus menjunjung piawaian-Nya yang tinggi. Dengan demikian, barulah Yehuwa akan memberkati ibadat umat-Nya. Ya, Yehuwa tidak akan membiarkan hal-hal jahat untuk berlaku di dalam Rumah-Nya lagi.

6, 7. (a) Apakah yang dipelajari umat Tuhan menerusi tembok yang mengelilingi kawasan luas di sekitar Rumah-Nya? (b) Bagaimanakah umat Tuhan mencemari Rumah-Nya yang suci? (Lihat nota kaki.)

6 Tembok di sekeliling Rumah Tuhan. Satu lagi ciri yang menarik ialah tembok yang mengelilingi Rumah Tuhan. Yehezkiel berkata bahawa panjang tembok pada setiap sisi ialah 500 kayu pengukur yang bersamaan dengan 1,555 m. (Yeh. 42:15-20) Namun, bangunan Rumah Tuhan dan halamannya yang berbentuk segi empat sama hanya berukuran 500 hasta, atau 259 m, pada setiap sisinya. Maka, terdapat kawasan yang luas di sekitar bangunan itu, dan seluruh kawasan itu dilindungi oleh tembok. * Apakah tujuannya?

7 Yehuwa berfirman, “Jika mereka berhenti melakukan perbuatan yang tidak setia dan menjauhkan mayat raja-raja mereka daripada-Ku, Aku akan tinggal dalam kalangan mereka untuk selama-lamanya.” (Yeh. 43:9) “Mayat raja-raja mereka” mungkin merujuk kepada penyembahan berhala. Maka, Yehuwa menggunakan kawasan yang luas itu untuk mengajar umat-Nya agar menjauhkan semua kenajisan daripada Rumah-Nya. Ya, jika ibadat mereka tetap murni, Yehuwa akan memberkati mereka dengan kehadiran-Nya.

8, 9. Apakah yang dapat dipelajari daripada teguran yang diberikan Tuhan kepada orang yang mengambil pimpinan?

8 Teguran bagi mereka yang mengambil pimpinan. Yehuwa juga memberikan teguran yang tegas kepada mereka yang mengambil pimpinan. Dia menegur orang Lewi yang menyimpang jauh daripada-Nya semasa umat-Nya menyembah berhala. Tetapi Dia memuji keturunan Zadok yang tetap ‘memikul tanggungjawab mereka di tempat suci-Nya.’ Yehuwa bersikap adil, berbelas kasihan, dan memperlakukan kedua-dua kumpulan itu berdasarkan perbuatan mereka. (Yeh. 44:10, 12-16) Begitu juga, pemimpin Israel menerima teguran yang keras daripada-Nya.​—Yeh. 45:9.

9 Yehuwa menunjukkan dengan jelas bahawa orang yang mengambil pimpinan harus menjawab kepada-Nya atas cara mereka melaksanakan tugas mereka. Mereka juga memerlukan nasihat, teguran, dan disiplin daripada Tuhan. Mereka harus menunjukkan teladan yang baik dan menjunjung piawaian Yehuwa yang luhur.

10, 11. Apakah yang menunjukkan bahawa para tawanan yang kembali ke tanah air mereka telah menerapkan pengajaran daripada penglihatan Yehezkiel?

10 Bible tidak memberitahu kita reaksi para tawanan terhadap penglihatan ini. Namun, Bible memberi kita banyak maklumat tentang perbuatan mereka dan cara mereka menjalankan ibadat kepada Yehuwa setelah kembali ke tanah air. Adakah mereka menerapkan pengajaran daripada penglihatan Yehezkiel? Nampaknya ya, terutamanya jika kita membandingkan sikap mereka dengan sikap nenek moyang mereka sebelum ditawan ke Babilon.

11 Lelaki yang setia seperti Nabi Hagai, Nabi Zakharia, Gabenor Nehemia, dan Ezra, iaitu seorang imam dan jurutulis, bekerja keras untuk mengajar orang Israel tentang prinsip Tuhan. (Ezr. 5:1, 2) Mereka mengajar umat Tuhan bahawa ibadat sejati harus disanjung tinggi, dan bahawa kekayaan dan kepentingan diri tidak patut diutamakan. (Hag. 1:3, 4) Mereka menegaskan bahawa piawaian ibadat sejati harus dipatuhi. Sebagai contoh, Ezra dan Nehemia mengarahkan umat Tuhan untuk berpisah daripada isteri mereka yang berbangsa asing kerana wanita-wanita itu melemahkan kerohanian mereka. (Baca Ezra 10:10, 11; Neh. 13:23-27, 30) Selain itu, umat Tuhan akhirnya belajar untuk membenci penyembahan berhala yang telah banyak kali menjerat mereka. Bagaimana pula dengan imam dan pemimpin lain? Penglihatan Yehezkiel menunjukkan bahawa Yehuwa telah menasihati dan menegur mereka. (Neh. 13:22, 28) Kebanyakan daripada mereka mengikut nasihat itu dengan rendah hati.​—Ezr. 10:7-9, 12-14; Neh. 9:1-3, 38.

Nehemia mengajar umat Tuhan tentang ibadat sejati semasa bekerja bersama mereka (Lihat perenggan 11)

12. Bagaimanakah Yehuwa memberkati umat-Nya?

12 Hasilnya, Yehuwa memberkati umat-Nya. Mereka menikmati hubungan yang akrab dengan-Nya, kesihatan yang baik, dan kedamaian. (Ezr. 6:19-22; Neh. 8:9-12; 12:27-30, 43) Mengapa? Kerana mereka akhirnya mengikut piawaian Yehuwa bagi ibadat sejati. Mereka yang rendah hati telah menerapkan pengajaran daripada penglihatan Yehezkiel. Sebagai kesimpulan, penglihatan Yehezkiel telah membawa dua manfaat utama kepada para tawanan Yahudi: (1) Mereka belajar tentang piawaian ibadat sejati dan cara mengikutnya. (2) Mereka mendapat jaminan bahawa ibadat sejati akan dipulihkan, dan Yehuwa akan memberkati mereka selagi mereka menjalankan ibadat sejati. Bagaimana pula dengan hari ini?

Apakah Pengajaran yang Diperoleh pada Zaman Sekarang?

13, 14. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa penglihatan Yehezkiel menjadi kenyataan pada zaman kita? (b) Apakah dua manfaat yang dapat kita raih daripada penglihatan ini? (Lihat juga kotak 13A, “Dua Rumah Tuhan, Pengajaran yang Berbeza.”)

13 Adakah anda yakin bahawa penglihatan Yehezkiel berkaitan dengan kita pada hari ini? Ya! Ingatlah bahawa Rumah Tuhan dalam penglihatan Yehezkiel terletak “di atas sebuah gunung yang sangat tinggi,” dan nubuat Yesaya menyatakan bahawa “gunung tempat Rumah Yehuwa akan berdiri teguh dan menjadi lebih tinggi daripada puncak gunung yang lain.” Yesaya menyatakan bahawa nubuat itu akan menjadi kenyataan “pada hari-hari terakhir.” (Yeh. 40:2; Yes. 2:2-4; lihat juga Mikha 4:1-4.) Nubuat-nubuat itu telah menjadi kenyataan sejak 1919. Pada waktu itu, ibadat sejati ditinggikan dan dipulihkan, seolah-olah diletakkan di atas sebuah gunung yang tinggi. *

14 Sememangnya, penglihatan Yehezkiel berkaitan dengan ibadat sejati pada zaman sekarang. Seperti orang Yahudi pada zaman kuno yang telah meraih manfaat daripada penglihatan ini, kita juga mendapat manfaat-manfaat berikut: (1) Kita belajar tentang piawaian ibadat sejati dan cara mengikutnya. (2) Kita mendapat jaminan bahawa ibadat sejati akan dipulihkan dengan sepenuhnya dan Yehuwa akan memberkati kita.

Piawaian untuk Ibadat Sejati pada Zaman Moden

15. Apakah yang harus kita ingat semasa mencari pengajaran daripada penglihatan Yehezkiel?

15 Sekarang kita akan melihat beberapa aspek penglihatan Yehezkiel secara spesifik. Bayangkan kita sedang menyertai Yehezkiel semasa dia mengelilingi Rumah Tuhan. Ingatlah bahawa Rumah Tuhan dalam penglihatan Yehezkiel bukanlah Rumah Rohani Tuhan. Apakah pengajaran yang dapat kita terapkan dalam ibadat kita?

16. Apakah pengajaran yang dapat kita peroleh daripada ukuran-ukuran dalam penglihatan Yehezkiel? (Lihat gambar pada permulaan bab.)

16 Mengapakah semuanya diukur? Yehezkiel nampak malaikat yang berkilauan seperti tembaga mengukur dinding, tembok, pintu gerbang, bilik pengawal, halaman, mazbah, dan tempat-tempat yang lain di Rumah Tuhan. Kita mungkin berasa bingung apabila membaca semua ukuran yang dicatatkan dengan begitu terperinci. (Yeh. 40:1–42:20; 43:13, 14) Namun, fikirkan pengajaran yang dapat kita peroleh. Yehuwa memberikan butiran itu untuk menekankan bahawa piawaian-Nya sangat penting. Sesetengah orang berpandangan bahawa mereka boleh menyembah Tuhan mengikut cara sendiri. Tetapi pandangan mereka salah sama sekali! Hanya Tuhan yang layak menetapkan syarat untuk menyembah-Nya. Selain itu, Yehuwa sedang memberikan jaminan bahawa ibadat sejati pasti dipulihkan. Sepertimana ukuran Rumah Tuhan dinyatakan dengan tepat dan terperinci, setiap janji Tuhan yang berkaitan dengan ibadat sejati pasti ditepati dan tidak akan berubah. Maka, penglihatan Yehezkiel meyakinkan kita bahawa ibadat sejati pasti akan dipulihkan pada hari-hari terakhir!

Apakah pengajaran yang anda peroleh daripada ukuran-ukuran terperinci dalam penglihatan Rumah Tuhan? (Lihat perenggan 16)

17. Apakah pengajaran yang dapat kita peroleh daripada tembok di sekeliling Rumah Tuhan?

17 Tembok di sekeliling Rumah Tuhan. Seperti yang dibincangkan, tembok ini mengingatkan umat Tuhan agar tidak mencemari Rumah-Nya. Semua hal-hal yang najis harus jauh terpisah daripada ibadat sejati. (Baca Yehezkiel 43:7-9.) Kita juga memerlukan peringatan ini. Selepas umat Tuhan ditawan oleh Babilon Besar selama berabad-abad, mereka akhirnya dibebaskan. Pada 1919, Kristus telah melantik hamba yang setia dan bijaksana. Sejak masa itu, umat Tuhan berusaha untuk menyingkirkan ajaran dan amalan kafir yang ada kaitan dengan penyembahan berhala. Kita mahu memastikan bahawa hal-hal yang najis tidak dicampuradukkan dengan ibadat sejati. Selain itu, kita tidak akan menjalankan urusan perniagaan di dalam Dewan Perjumpaan kerana hal-hal sebegitu harus terpisah daripada ibadat kita kepada Tuhan.​—Mrk. 11:15, 16.

18, 19. (a) Apakah pengajaran yang dapat kita peroleh daripada pintu gerbang yang tinggi? (b) Apakah yang harus kita lakukan apabila seseorang mempengaruhi kita untuk meremehkan piawaian Yehuwa? Berikan contoh.

18 Pintu gerbang yang tinggi. Pada zaman Yehezkiel, para tawanan diingatkan bahawa Yehuwa mempunyai piawaian moral yang tinggi. Apakah pengajarannya bagi kita? Memandangkan kita menyembah Yehuwa dalam Rumah Rohani-Nya, kita harus tetap suci dan tidak bersikap munafik. (Rm. 12:9; 1 Ptr. 1:14, 15) Sepanjang hari-hari terakhir, Yehuwa telah membimbing umat-Nya untuk mengikut piawaian moral-Nya secara bertahap. * Contohnya, pendosa yang enggan bertaubat akan disingkirkan daripada sidang. (1 Kor. 5:11-13) Selain itu, bilik-bilik pengawal di jalan masuk Rumah Tuhan mengingatkan kita bahawa Yehuwa tidak akan menerima ibadat orang yang gagal memenuhi piawaian-Nya. Misalnya, biarpun orang yang bermuka dua dapat masuk ke dalam Dewan Perjumpaan, ibadatnya tidak akan diterima selagi dia tidak hidup menurut piawaian Yehuwa. (Yak. 4:8) Sememangnya, Yehuwa sentiasa memastikan ibadat-Nya yang suci tetap terpelihara pada zaman yang jahat ini.

19 Mengenai hari-hari terakhir, Bible menyatakan, “Orang jahat dan penyamar akan menjadi semakin jahat. Mereka akan menyesatkan orang dan mereka sendiri juga akan disesatkan.” (2 Tim. 3:13) Dewasa ini, semakin banyak orang sudah disesatkan oleh pandangan dunia. Mereka berfikir bahawa piawaian Yehuwa ketinggalan zaman, terlalu mengongkong, atau tidak masuk akal. Bagaimana pula dengan anda? Sebagai contoh, jika seseorang cuba meyakinkan anda bahawa piawaian Tuhan tentang perbuatan homoseksual adalah tidak munasabah, adakah anda akan bersetuju dengannya? Atau adakah anda akan bersetuju dengan Tuhan Yehuwa, yang menyatakan bahawa perbuatan sebegitu ialah perbuatan “yang menjijikkan”? Tuhan mahu kita berwaspada agar tidak menyokong perbuatan yang tidak bermoral. (Rm. 1:24-27, 32) Semasa menghadapi situasi sebegitu, fikirkanlah penglihatan tentang Rumah Tuhan dan pintu gerbangnya yang tinggi. Ingatlah, tidak kira apa pandangan orang dalam dunia Syaitan, piawaian Yehuwa tidak pernah berubah. Adakah anda akan berpegang teguh pada piawaian-Nya?

Kita “mempersembahkan puji-pujian sebagai korban kepada Tuhan” semasa kita menjalankan ibadat sejati

20. Apakah pengajaran yang dapat diraih oleh “kumpulan besar manusia” daripada penglihatan Yehezkiel?

20 Halaman Rumah Tuhan. Semasa Yehezkiel melihat betapa luasnya halaman luar Rumah Tuhan, dia pasti berasa gembira kerana banyak penyembah Yehuwa dapat berkumpul di sana. Hari ini, orang Kristian beribadat di tempat yang jauh lebih suci. “Kumpulan besar manusia” yang beribadat di halaman luar Rumah Rohani Tuhan pasti dikuatkan melalui pengajaran yang diraih daripada penglihatan Yehezkiel. (Why. 7:9, 10, 14, 15) Dalam penglihatan itu, terdapat banyak bilik makan di halaman luar Rumah Tuhan. Maka umat Tuhan dapat membawa korban pendamaian dan memakannya di sana. (Yeh. 40:17) Mereka seolah-olah dapat makan bersama Tuhan Yehuwa, dan hal ini menunjukkan bahawa mereka merupakan sahabat-Nya. Hari ini, kita tidak mempersembahkan korban seperti orang Yahudi yang hidup di bawah Hukum Musa. Sebaliknya kita “mempersembahkan puji-pujian sebagai korban kepada Tuhan,” contohnya semasa kita menginjil atau memberikan komen dan mengambil bahagian dalam perjumpaan. (Ibr. 13:15) Kita juga menikmati sajian rohani yang disediakan Yehuwa. Sememangnya, kita berasa seperti anak-anak Korah yang bernyanyi kepada Yehuwa, “Lebih baik sehari di halaman Rumah-Mu daripada seribu hari di tempat lain!”​—Mzm. 84:10.

21. Apakah yang dapat dipelajari kaum terurap melalui para imam dalam penglihatan Yehezkiel?

21 Para imam. Yehezkiel melihat pintu gerbang yang digunakan oleh para imam dan orang Lewi untuk masuk ke halaman dalam. Pintu ini mirip dengan pintu gerbang yang digunakan oleh suku-suku lain untuk masuk ke halaman luar. Hal ini mengajar para imam bahawa mereka juga harus memenuhi piawaian Yehuwa bagi ibadat sejati. Hari ini, kita tidak lagi mempunyai para imam dan orang Lewi secara harfiah. Tetapi Yehuwa berfirman mengenai kaum terurap, “Kamu ialah ‘bangsa yang terpilih, imam-imam yang berkhidmat sebagai raja.’” (1 Ptr. 2:9) Dahulu, para imam berkhidmat kepada Yehuwa di halaman yang berlainan dalam Rumah Tuhan. Tetapi hari ini, biarpun kaum terurap mempunyai hubungan yang istimewa dengan Tuhan, mereka menyembah Yehuwa bersama rakan seiman yang lain. (Gal. 4:4-6) Apakah pengajaran lain yang dapat diraih oleh kaum terurap? Seperti para imam pada zaman dahulu, mereka juga memerlukan nasihat dan disiplin. Semua orang Kristian harus ingat bahawa kita merupakan “satu kawanan di bawah satu gembala.”​—Baca Yohanes 10:16.

22, 23. (a) Bagaimanakah para penatua dapat meneladani pemimpin dalam penglihatan Yehezkiel? (b) Apakah yang mungkin berlaku pada masa depan?

22 Pemimpin. Yehezkiel mencatatkan bahawa seorang pemimpin mempunyai tanggungjawab tertentu, termasuk membantu umat Tuhan untuk menyediakan korban. Namun, pemimpin Israel bukanlah daripada keturunan imam, dan dia harus mematuhi arahan para imam semasa di Rumah Tuhan. (Yeh. 44:2, 3; 45:16, 17; 46:2) Para saudara yang memikul tanggungjawab dalam sidang harus meneladaninya. Mereka juga bekerja keras untuk membantu rakan seiman mempersembahkan korban pujian semasa perjumpaan dan semasa menginjil. (Ef. 4:11, 12) Tetapi, semua penatua, termasuk penyelia lawatan, harus tunduk kepada hamba yang setia. (Ibr. 13:17) Pada zaman dahulu, pemimpin Israel yang menyalahgunakan kuasa mereka telah ditegur oleh Yehuwa. (Yeh. 45:9) Maka, para penatua tidak akan berfikir bahawa mereka tidak memerlukan nasihat dan disiplin. Sebaliknya, mereka rela dibentuk oleh Yehuwa agar dapat menjadi gembala dan penyelia yang lebih baik.​—Baca 1 Petrus 5:1-3.

23 Di Firdaus, Yehuwa akan terus menyediakan para penyelia yang berkebolehan dan pengasih untuk menjaga kita. Hari ini, para penatua sedang dilatih untuk menjadi gembala yang baik di Firdaus. (Mzm. 45:16) Bayangkan berkat-berkat yang akan kita nikmati di bawah jagaan mereka kelak! Sebenarnya, pemahaman kita tentang penglihatan Yehezkiel dan nubuat pemulihan yang lain akan menjadi semakin jelas pada waktu yang ditentukan Yehuwa. Kita mungkin akan melihat sesetengah aspek nubuat pemulihan menjadi kenyataan dalam cara yang tidak dapat dibayangkan sekarang. Maka kita harus tunggu dan lihat.

Apakah pengajaran yang dapat kita raih daripada pintu gerbang yang tinggi dan halaman di Rumah Tuhan? (Lihat perenggan 18-21)

Yehuwa Memberkati Ibadat Sejati

24, 25. Berdasarkan penglihatan Yehezkiel, bagaimanakah Yehuwa memberkati umat-Nya yang mengikut piawaian-Nya?

24 Sebagai kesimpulan, mari kita lihat kembali satu peristiwa penting yang berlaku dalam penglihatan Yehezkiel. Yehuwa memasuki Rumah-Nya dan Dia berjanji untuk tinggal bersama umat-Nya. Tetapi mereka harus mengikut piawaian-Nya untuk ibadat sejati. (Yeh. 43:4-9) Apakah kesan kehadiran Yehuwa terhadap umat-Nya dan negeri mereka?

25 Kehadiran Yehuwa akan membawa berkat yang melimpah. Penglihatan ini mempunyai dua gambaran yang menyingkapkan berkat-berkat-Nya bagi umat-Nya: (1) Sungai yang mengalir dari Rumah Tuhan yang membawa kehidupan dan kesuburan. (2) Tanah dibahagikan secara teratur mengikut ukuran tertentu, dan Rumah Tuhan ada di tengah-tengah kawasan itu. Memandangkan Yehuwa telah memurnikan dan menerima aturan Rumah Rohani-Nya, iaitu aturan ibadat yang jauh lebih suci, apakah pengajaran yang kita peroleh daripada dua gambaran itu? (Mal. 3:1-4) Hal ini akan dibincangkan dalam Bab 19 hingga 21 dalam buku ini.

^ per. 6 Di Yerusalem kuno, hanya terdapat sebuah tembok yang memisahkan Rumah Yehuwa daripada rumah penduduk Israel. Semasa orang Israel menyimpang daripada piawaian Yehuwa, mereka telah membawa patung berhala yang najis dekat Rumah Tuhan. Hal itu tentu membangkitkan kemurkaan Tuhan! Yehuwa berfirman, “Ambang pintu mereka diletakkan di sebelah ambang pintu-Ku, dan tiang pintu mereka diletakkan di sebelah tiang pintu-Ku, dengan hanya sebuah tembok yang memisahkan Aku daripada mereka. Mereka mencemarkan nama-Ku yang suci dengan perbuatan mereka yang jijik.” (Yeh. 43:8) Maka, Rumah Tuhan yang dilihat Yehezkiel adalah sangat berbeza daripada Rumah Tuhan yang telah dicemari oleh umat-Nya.

^ per. 13 Penglihatan Yehezkiel tentang Rumah Tuhan juga ada kaitan dengan nubuat pemulihan lain yang menjadi kenyataan pada hari-hari terakhir. Sebagai contoh, perhatikan persamaan antara Yehezkiel 43:1-9 dengan Maleakhi 3:1-5; Yehezkiel 47:1-12 dengan Yoel 3:18.

^ per. 18 Rumah Rohani Tuhan wujud sejak 29 M, iaitu semasa Yesus dibaptis dan mula bertugas sebagai Imam Agung. Namun, ibadat sejati berada dalam keadaan yang teruk selama berabad-abad selepas kematian para rasul. Sejak 1919, ibadat sejati mula ditinggikan.