Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 16

“Bubuhlah Tanda pada Dahi”

“Bubuhlah Tanda pada Dahi”

YEHEZKIEL 9:4

ISI UTAMA: Bagaimana orang setia pada zaman Yehezkiel ditandai untuk diselamatkan dan kaitannya dengan zaman kita

1-3. (a) Mengapakah Yehezkiel terkejut, dan apakah yang dipelajari oleh Yehezkiel tentang pembinasaan Yerusalem? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

YEHEZKIEL sangat terkejut! Dia baru mendapat penglihatan tentang hal-hal jijik yang dilakukan oleh orang Yahudi di Rumah Tuhan. * Mereka bukan sahaja mencemari Rumah Tuhan, iaitu pusat ibadat sejati di Israel, tetapi juga memenuhi seluruh negeri Yehuda dengan keganasan. Keadaan mereka seperti penyakit yang tidak dapat diubati lagi. Maka, Yehuwa berfirman kepada mereka, “Aku akan bertindak dan menunjukkan kemurkaan-Ku.”​—Yeh. 8:17, 18.

2 Selepas mendapat berita bahawa Yerusalem dan Rumah Tuhan bakal dibinasakan, Yehezkiel pasti berasa sangat susah hati. Mungkin dia tertanya-tanya, “Adakah Yehuwa akan menyelamatkan orang yang baik? Jika ya, bagaimana Dia akan melakukannya?” Tidak lama kemudian, Yehezkiel mendengar satu suara kuat yang memanggil beberapa orang untuk melaksanakan hukuman Tuhan. (Yeh. 9:1) Melalui penglihatan itu, Yehezkiel mempelajari bahawa penghakiman Tuhan tidak akan dilakukan secara rambang. Sebaliknya, orang yang setia akan diselamatkan. Sudah pasti hal itu telah melegakan hati Yehezkiel.

3 Tidak lama lagi, dunia jahat ini juga akan dibinasakan. Maka, kita mungkin tertanya-tanya, “Siapakah yang akan diselamatkan?” Untuk mengetahui jawapannya, mari kita bincang soalan-soalan ini: (1) Apakah yang dilihat Yehezkiel seterusnya? (2) Bagaimanakah penglihatan itu menjadi kenyataan pada zamannya? (3) Apakah kaitannya dengan zaman kita?

‘Panggillah Orang untuk Menghukum Kota Ini’

4. Apakah yang dilihat dan didengari Yehezkiel?

4 Selepas itu, apakah yang dilihat dan didengari Yehezkiel di Rumah Tuhan? (Baca Yehezkiel 9:1-11.) Dia melihat tujuh orang lelaki datang “dari arah Pintu Gerbang Atas yang menghadap ke utara.” Mereka mungkin berdekatan patung yang membangkitkan kecemburuan Tuhan atau berdekatan tempat wanita-wanita menangisi Dewa Tamus. (Yeh. 8:3, 14) Kemudian, tujuh lelaki itu masuk ke halaman dalam Rumah Tuhan dan berdiri di sebelah mazbah tembaga. Mereka datang bukannya untuk mempersembahkan korban kerana pada masa itu, Yehuwa tidak lagi menerima korban-korban yang dipersembahkan di sana. Yehezkiel melihat enam daripada mereka sedang “memegang senjata yang membawa kebinasaan.” Namun, lelaki ketujuh yang berpakaian linen tidak memegang senjata. Sebaliknya, dia sedang membawa “bekas alat tulis,” atau menurut nota kaki, “sebuah tanduk yang dijadikan sebagai bekas untuk menyimpan pen dan dakwat.”

5, 6. Apakah yang kita tahu tentang orang yang ditandai oleh lelaki yang ketujuh itu? Jelaskan. (Lihat gambar pada permulaan bab.)

5 Apakah tugas yang harus dilakukan oleh lelaki yang membawa bekas alat tulis? Yehuwa menyingkapkan tugas penting yang diamanahkan kepadanya, “Jelajahilah seluruh kota Yerusalem dan bubuhlah tanda pada dahi setiap orang yang mengeluh dan merintih atas segala perkara jijik yang dilakukan di kota ini.” Pada masa itu, Yehezkiel mungkin terfikir tentang peristiwa yang pernah berlaku di Mesir dahulu. Orang Israel disuruh untuk meletakkan tanda dengan memercikkan darah pada kedua-dua batang tiang pintu dan ambang pintu rumah. Dengan demikian, anak sulung mereka tidak akan dibinasakan. (Kel. 12:7, 22, 23) Begitu juga, orang yang menerima tanda daripada lelaki yang membawa bekas alat tulis akan diselamatkan semasa pembinasaan Yerusalem.

6 Bagaimana kita tahu? Mula-mula kita harus menyelidiki siapa yang ditandai oleh lelaki yang ketujuh itu. Bible berkata bahawa merekalah orang yang “mengeluh dan merintih atas segala perkara jijik yang dilakukan di kota ini.” Mengapakah orang sebegitu akan diselamatkan? Hal ini kerana mereka berasa susah hati semasa melihat Rumah Tuhan dicemari dan Yerusalem dipenuhi dengan keganasan, perbuatan yang tidak bermoral, dan kejahatan. (Yeh. 22:9-12) Tetapi, mereka bukan sekadar berasa sedih. Melalui kata-kata dan perbuatan mereka, mereka menunjukkan perasaan jijik terhadap kejahatan yang berleluasa itu. Maka, Yehuwa akan menunjukkan belas kasihan-Nya dan menyelamatkan mereka.

7, 8. Apakah arahan yang diberikan kepada enam lelaki yang memegang senjata? Apakah yang dilaporkan oleh lelaki yang membawa bekas alat tulis?

7 Bagaimana pula dengan enam lelaki yang memegang senjata yang membawa kebinasaan? Apakah tugas mereka? Yehezkiel mendengar Yehuwa memberi mereka arahan ini: Ikutlah di belakang lelaki yang membawa bekas alat tulis dan bunuh semua orang kecuali orang yang mempunyai tanda pada dahi. Yehuwa juga berfirman, “Mulalah dari tempat suci-Ku.” (Yeh. 9:6) Ya, mereka harus mula dari Rumah Tuhan yang sudah dicemari. Jadi, “pemimpin-pemimpin yang berdiri di depan pintu Rumah Tuhan” akan dibunuh terlebih dahulu. Merekalah 70 orang pemimpin Israel yang telah mempersembahkan kemenyan kepada tuhan-tuhan palsu.​—Yeh. 8:11, 12; 9:6.

8 Apakah yang berlaku selepas itu? Yehezkiel mendengar lelaki yang membawa bekas alat tulis melaporkan kepada Yehuwa, “Aku sudah melakukan segala perintah-Mu.” (Yeh. 9:11) Jadi, apakah yang berlaku kepada penduduk Yerusalem? Adakah orang yang setia kepada Yehuwa benar-benar diselamatkan?

Bagaimanakah Penglihatan Itu Menjadi Kenyataan pada Zaman Yehezkiel?

9, 10. Siapakah yang diselamatkan daripada pembinasaan Yerusalem, dan mengapa?

9 Baca 2 Tawarikh 36:17-20. Nubuat Yehezkiel telah menjadi kenyataan pada tahun 607 SM. Pada masa itu, askar Babilon telah menawan dan memusnahkan kota Yerusalem dan Rumah Tuhan. Seperti ‘cawan di tangan Yehuwa,’ askar Babilon digunakan untuk mencurahkan kemurkaan-Nya ke atas Yerusalem. (Yer. 51:7) Adakah Yehuwa membinasakan orang secara rambang? Pasti tidak! Yehezkiel telah menubuatkan bahawa sebilangan orang akan terselamat semasa Yerusalem dibinasakan.​—Kej. 18:22-33; 2 Ptr. 2:9.

10 Antara orang setia yang diselamatkan ialah keluarga Rekhab, Ebed-melekh dari Etiopia, Nabi Yeremia, dan setiausahanya Barukh. (Yer. 35:1-19; 39:15-18; 45:1-5) Daripada penglihatan Yehezkiel ini, kita dapat menyimpulkan bahawa mereka telah “mengeluh dan merintih atas segala perkara jijik” yang berlaku di Yerusalem. (Yeh. 9:4) Sebelum kota itu dimusnahkan, mereka pasti telah menunjukkan rasa benci dan jijik terhadap kejahatan yang berlaku, dan bertekad untuk menjalankan ibadat sejati. Oleh itu, mereka berpeluang untuk diselamatkan.

11. Siapakah yang digambarkan oleh lelaki yang membawa bekas alat tulis dan enam lelaki yang bersenjata?

11 Adakah mereka yang diselamatkan dibubuh tanda harfiah pada dahi mereka? Bible tidak menyatakan bahawa Yehezkiel atau orang lain telah berbuat demikian. Nampaknya, penglihatan Yehezkiel menyingkapkan hal-hal di syurga yang tidak kelihatan oleh manusia. Lelaki yang membawa bekas alat tulis dan enam lelaki yang bersenjata menggambarkan para malaikat yang sentiasa bersedia untuk melakukan kehendak Yehuwa. (Mzm. 103:20, 21) Maka, Yehuwa telah menggunakan para malaikat-Nya semasa menjatuhkan hukuman atas kota Yerusalem. Perbuatan membubuh tanda kiasan itu menunjukkan bahawa sesetengah orang akan diselamatkan. Hanya orang yang jahat akan dibinasakan semasa Yehuwa melaksanakan hukuman-Nya.

Apakah Kaitan Penglihatan Yehezkiel dengan Zaman Kita?

12, 13. (a) Mengapakah Yehuwa melampiaskan kemarahan-Nya terhadap Yerusalem? Mengapakah Yehuwa akan melakukan hal yang sama terhadap dunia ini? (b) Adakah Yerusalem yang tidak setia melambangkan agama Kristian palsu? Jelaskan. (Lihat kotak “Adakah Yerusalem Melambangkan Agama Kristian Palsu?”)

12 Tidak lama lagi, Tuhan akan menjatuhkan hukuman-Nya semasa “kesengsaraan besar.” Inilah peristiwa “yang tidak pernah berlaku semenjak permulaan dunia sehingga sekarang, dan yang tidak akan berlaku lagi.” (Mat. 24:21) Seraya kita menantikan peristiwa yang genting itu, terdapat beberapa persoalan yang mungkin kita fikirkan. Contohnya, “Adakah hanya orang tertentu yang akan dibinasakan? Adakah orang yang akan diselamatkan ditandai? Adakah penglihatan Yehezkiel mempunyai kaitan dengan zaman kita?” Jawapan kepada ketiga-tiga soalan ini ialah ya. Bagaimanakah kita tahu? Mari kita kembali ke penglihatan Yehezkiel untuk mengetahui jawapannya.

13 Adakah anda ingat mengapa Yehuwa melampiaskan kemarahan-Nya terhadap Yerusalem? Mari kita lihat Yehezkiel 9:8, 9 sekali lagi. (Baca.) Yehuwa telah menjelaskan kepada Yehezkiel empat sebab Dia menghukum “orang Israel yang masih hidup di situ.” Pertama, “dosa” bangsa itu “sangat besar.” * Kedua, Yehuda “penuh dengan pertumpahan darah.” Ketiga, Yerusalem, iaitu ibu kota Yehuda, “penuh dengan kejahatan.” Keempat, bangsa itu terus berbuat jahat dan berkata bahawa Yehuwa “tidak nampak” perbuatan mereka. Tidakkah semua hal ini mengingatkan kita tentang dunia yang jahat, ganas, keji, dan tidak beriman ini? Memandangkan Yehuwa “tidak berubah,” Dia pasti sangat murka apabila melihat kejahatan dunia ini. (Mal. 3:6; Yak. 1:17) Maka, kita dapat menyimpulkan bahawa enam lelaki yang bersenjata dan lelaki yang membawa bekas alat tulis akan diberikan tugas yang sama pada zaman kita.

Enam lelaki yang bersenjata akan diberikan tugas yang sama pada zaman kita (Lihat perenggan 12, 13)

14, 15. Apakah contoh yang menunjukkan bahawa Yehuwa memberikan amaran sebelum menjatuhkan hukuman?

14 Bagaimanakah penglihatan Yehezkiel menjadi kenyataan pada zaman kita? Dengan mengkaji hal-hal yang berlaku pada zamannya, kita dapat mempelajari apa yang akan berlaku sekarang dan pada masa depan. Mari kita melihat beberapa hal dalam nubuat Yehezkiel yang telah berlaku atau yang bakal menjadi kenyataan.

15 Yehuwa memberikan amaran kepada orang sebelum menjatuhkan hukuman. Bab 11 dalam buku ini menjelaskan bahawa Yehuwa telah melantik Yehezkiel sebagai penjaga untuk menyampaikan amaran kepada bangsa Israel. (Yeh. 3:17-19) Bermula pada tahun 613 SM, Yehezkiel telah memberikan amaran kepada orang Israel bahawa mereka bakal dibinasakan. Nabi-nabi lain seperti Yesaya dan Yeremia juga menyebarkan mesej penghakiman yang serupa. (Yes. 39:6, 7; Yer. 25:8, 9, 11) Hari ini, Yehuwa telah menggunakan Yesus untuk melantik sekumpulan kecil saudara yang terurap. Saudara-saudara ini harus memberikan makanan rohani kepada umat Tuhan dan menyebarkan kepada semua orang bahawa kesengsaraan besar bakal tiba.​—Mat. 24:45.

16. Adakah umat Yehuwa membubuh tanda pada orang yang akan diselamatkan? Jelaskan.

16 Umat Yehuwa tidak membubuh tanda pada orang yang akan diselamatkan. Ingatlah, Yehezkiel tidak disuruh untuk membubuh tanda pada penduduk Yerusalem yang akan diselamatkan. Begitu juga, umat Yehuwa tidak ditugaskan untuk membubuh tanda pada orang yang bakal diselamatkan. Sebaliknya, kita diberikan tanggungjawab untuk menyebarkan berita baik dan memberikan amaran bahawa hari penghakiman Tuhan sudah dekat. Maka, kita harus memandang serius tugas ini dan melakukannya dengan giat. (Mat. 24:14; 28:18-20) Dengan itu, kita dapat membantu orang yang berhati jujur untuk menyertai ibadat sejati.​—1 Tim. 4:16.

17. Apakah yang harus dilakukan oleh orang hari ini supaya diselamatkan?

17 Orang yang ingin diselamatkan harus membuktikan iman mereka sekarang. Pada zaman Yehezkiel, mereka yang diselamatkan telah menunjukkan kebencian terhadap kejahatan dan menjalankan ibadat sejati sebelum Yerusalem dibinasakan pada 607 SM. Demikian juga, orang yang ingin diselamatkan hari ini harus menunjukkan kebencian terhadap kejahatan dunia ini sebelum hari pembinasaan Yehuwa tiba. Mereka bukan hanya “mengeluh dan merintih” atas kejahatan yang berlaku, tetapi menunjukkan melalui kata-kata dan perbuatan bahawa mereka bertekad untuk mengikut ibadat sejati. Bagaimanakah mereka dapat melakukannya? Mereka harus menyambut mesej yang disebarkan melalui kerja menginjil, mengenakan keperibadian Kristian, membaktikan diri kepada Yehuwa, dibaptis, dan menyokong saudara-saudara Kristus. (Yeh. 9:4; Mat. 25:34-40; Ef. 4:22-24; 1 Ptr. 3:21) Hanya orang yang melakukan semua perkara ini akan memiliki tanda penyelamatan apabila kesengsaraan besar berlaku.

18. (a) Bilakah dan bagaimanakah Yesus akan menandai orang yang akan diselamatkan? (b) Adakah kaum terurap juga perlu ditandai? Jelaskan.

18 Yesus akan membubuh tanda pada orang yang akan diselamatkan. Pada zaman Yehezkiel, para malaikat memainkan peranan untuk membubuh tanda itu. Pada zaman kita, lelaki yang membawa bekas alat tulis melambangkan Yesus Kristus apabila dia “datang dalam kemuliaannya” sebagai Hakim semua bangsa. (Mat. 25:31-33) Hal itu akan berlaku semasa kesengsaraan besar, iaitu selepas semua agama palsu dimusnahkan. * Kemudian, sebelum bermulanya perang Armagedon, Yesus akan menghakimi atau menandai orang sebagai biri-biri atau kambing. Orang yang ditandai sebagai biri-biri merupakan “kumpulan besar manusia” yang akan “hidup selama-lamanya.” (Why. 7:9-14; Mat. 25:34-40, 46) Adakah kaum terurap juga perlu ditandai? Tidak. Sebaliknya, mereka akan menerima pemeteraian terakhir sebelum meninggal atau sebelum kesengsaraan besar tiba. Kemudian, mereka akan dibawa ke syurga sebelum perang Armagedon bermula.​—Why. 7:1-3.

19. Siapakah yang akan melaksanakan penghakiman Tuhan bersama Yesus? (Lihat kotak “Mengeluh dan Merintih, Membubuh Tanda, Membinasakan​—Bila dan Bagaimana?”)

19 Raja Yesus Kristus dan angkatan tenteranya di syurga akan melaksanakan penghakiman terhadap dunia jahat ini. Dalam penglihatan Yehezkiel, enam lelaki yang memegang senjata hanya mula memusnahkan orang jahat selepas lelaki yang ketujuh itu menyelesaikan tugasnya. (Yeh. 9:4-7) Begitu juga, orang jahat hanya akan dibinasakan selepas Yesus menghakimi orang daripada semua bangsa dan menandai biri-birinya. Kemudian, semasa perang Armagedon, Yesus akan mengetuai angkatan tenteranya, iaitu para malaikat dan 144,000 raja yang memerintah bersamanya, untuk memusnahkan dunia jahat ini. Orang yang menjalankan ibadat sejati akan diselamatkan dan memasuki dunia yang baharu.​—Why. 16:14-16; 19:11-21.

20. Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada penglihatan Yehezkiel ini?

20 Kita sangat bersyukur untuk memahami pengajaran daripada penglihatan Yehezkiel ini! Sememangnya, kita dapat yakin bahawa Yehuwa tidak akan memusnahkan orang baik bersama orang jahat. (Mzm. 97:10) Kita juga tahu apa yang harus dilakukan sekarang agar dapat ditandai dan diselamatkan pada masa depan. Sebagai penyembah Yehuwa, kita harus menyebarkan berita bahawa akhir sudah dekat. Selain itu, kita bertekad untuk mengisytiharkan berita baik kepada mereka yang “mengeluh dan merintih” atas kejahatan yang berlaku. Dengan demikian, kita dapat membantu “orang yang memiliki sikap yang diperlukan” untuk menyertai ibadat sejati. Hasilnya, mereka berpeluang untuk ditandai dan diselamatkan semasa akhir dunia ini, dan “menerima kehidupan kekal” di dunia baharu yang aman.​—Kis. 13:48.

^ per. 1 Penglihatan tentang hal-hal jijik yang berlaku di Rumah Tuhan telah dibincangkan dalam Bab 5 buku ini.

^ per. 13 Menurut sebuah rujukan, perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “dosa” boleh membawa maksud perbuatan yang salah dan menjijikkan. Sebuah rujukan lain menyatakan bahawa perkataan ini ialah suatu “istilah agama yang sering digunakan untuk menggambarkan perbuatan yang jahat dan keji di mata Tuhan.”

^ per. 18 Nampaknya, semasa Babilon Besar dimusnahkan, bukan semua anggotanya akan dibinasakan bersamanya. Pada masa itu, bahkan sebilangan pemimpin agama mungkin meninggalkan agama mereka dan menafikan bahawa mereka pernah menganggotai organisasi agama palsu.​—Za. 13:3-6.