Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Konvensyen yang bersejarah pada 1919 membuktikan bahawa umat Tuhan telah dibebaskan daripada Babilon Besar

KOTAK MAKLUMAT 9B

Mengapa 1919?

Mengapa 1919?

Mengapakah kita dapat menyimpulkan bahawa umat Tuhan yang ditawan telah dibebaskan daripada Babilon Besar pada 1919? Sejarah dan nubuat-nubuat Bible membantu kita mencapai kesimpulan itu.

Nubuat Bible dan sejarah menunjukkan bahawa Yesus mula memerintah sebagai Raja di syurga pada 1914. Peristiwa ini menandakan bahawa hari-hari terakhir sistem jahat Syaitan telah bermula. Apakah yang dilakukan Yesus setelah menjadi Raja? Adakah dia segera membebaskan umat Tuhan daripada Babilon Besar? Adakah dia melantik “hamba yang setia dan bijaksana” pada 1914 dan memulakan kerja menuai?​—Mat. 24:45.

Nampaknya tidak. Rasul Petrus diilhami untuk menulis bahawa penghakiman akan “bermula dari rumah Tuhan.” (1 Ptr. 4:17) Nabi Maleakhi juga menubuatkan bahawa Yehuwa akan datang ke Rumah-Nya bersama “utusan perjanjian,” iaitu Anak-Nya. (Mal. 3:1-5) Pada masa itu, umat Tuhan dimurnikan dan diuji. Adakah sejarah membuktikan bahawa hal-hal ini telah berlaku?

Sudah tentu! Bermula pada 1914 sehingga awal 1919, Pelajar Bible (kini dikenali sebagai Saksi-Saksi Yehuwa) telah diuji dan dimurnikan. Pada 1914, banyak umat Tuhan berasa kecewa kerana akhir sistem tidak datang seperti yang diharapkan. Mereka bertambah sedih ketika Charles T. Russell meninggal pada 1916. Selama ini, dia telah mengambil pimpinan dengan bersemangat. Memandangkan sesetengah umat Tuhan sangat akrab dengan Saudara Russell, mereka menentang usaha Joseph F. Rutherford yang telah menggantikannya. Oleh itu, perselisihan telah timbul dan hampir memecahbelahkan organisasi kita pada 1917. Pada 1918, disebabkan hasutan pemimpin gereja, Saudara Rutherford dan tujuh orang saudara lain dibawa ke mahkamah dan dipenjarakan atas tuduhan palsu. Sedihnya, ibu pejabat di Brooklyn telah ditutup. Jelaslah, umat Tuhan pada masa itu belum lagi dibebaskan daripada Babilon Besar.

Tetapi pada 1919, segalanya telah berubah dalam sekelip mata! Pada awal tahun itu, Saudara Rutherford dan rakan-rakannya telah dibebaskan, dan mereka segera kembali menjalankan tugas mereka. Tidak lama kemudian, sebuah konvensyen yang bersejarah telah dirancang. Selain itu, persediaan dibuat untuk menerbitkan majalah baharu yang bertajuk, The Golden Age (kini Sedarlah!). Majalah ini direka khas untuk kerja penyebaran. Tambahan lagi, seorang penyelia telah dilantik dalam setiap sidang untuk mengatur dan menggalakkan umat Tuhan untuk mengambil bahagian dalam kerja penyebaran. Pada tahun yang sama juga, Bulletin (kini Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita) telah diterbitkan untuk membantu dalam pengaturan kerja penyebaran.

Apakah yang dibuktikan melalui semua ini? Jelaslah, Yesus telah membebaskan umat Tuhan daripada Babilon Besar pada 1919. Dia telah melantik hamba yang setia dan bijaksana dan kerja menuai sudah dimulakan. Sejak itu, kerja umat Tuhan terus berkembang maju sehingga tahap yang menakjubkan.