PELAJARAN 40

Tetap Bersih di Mata Tuhan

Tetap Bersih di Mata Tuhan
Tunjuk Perkataan Sembunyi Perkataan

Bayangkan seorang ibu sedang mempersiapkan anaknya untuk sekolah. Dia akan pastikan anaknya bersih, dan pakaiannya kemas dan teratur. Hal ini sangat penting untuk kesihatan anaknya. Orang yang melihat anak itu juga akan tahu bahawa ibu bapanya menjaganya dengan baik. Bapa kita yang di syurga pun mahu kita sentiasa bersih, bukan sahaja dari segi fizikal tapi juga dari segi moral. Apabila kita bersih, kita sendiri akan mendapat manfaat dan kita akan mengharumkan nama Yehuwa.

1. Bagaimanakah kita dapat mengekalkan kebersihan fizikal?

Yehuwa memberitahu kita, “Kamu mesti suci.” (1 Petrus 1:16) Perkataan suci berkaitan dengan kebersihan dari segi fizikal dan moral. Maka, kita mesti selalu mandi, dan pastikan pakaian, rumah, dan kenderaan kita bersih dan kemas. Kita juga membantu membersihkan Dewan Perjumpaan. Apabila kita sentiasa bersih, kita memuliakan Yehuwa.​—2 Korintus 6:3, 4.

2. Apakah hal-hal yang perlu kita hindari agar dapat tetap bersih?

Bible menasihati kita untuk “menyucikan diri daripada semua perkara yang menajiskan jiwa dan raga.” (2 Korintus 7:1) Hal ini bermaksud kita mesti mengelakkan apa-apa saja yang dapat mencemari tubuh dan fikiran kita. Contohnya, kita mahu menolak fikiran yang tidak baik dan kata-kata yang kesat.​—Mazmur 104:34; baca Kolose 3:8.

Selain itu, kita dapat memastikan tubuh kita bersih dengan mengelakkan tabiat seperti merokok, makan sirih, mengunyah buah pinang atau daun koka, dan menyalahgunakan dadah. Dengan ini, kita dapat menjaga kesihatan kita dan menunjukkan bahawa kita menghormati nyawa. Adalah penting juga untuk menjauhi amalan yang menajiskan kita secara moral, seperti melancap a dan melihat bahan lucah atau pornografi. (Mazmur 119:37; Efesus 5:5) Memang tidak mudah untuk membuang tabiat sebegini, tetapi Yehuwa dapat membantu kita berjaya.​—Baca Yesaya 41:13.

KETAHUILAH

Belajar mengapa kebersihan fizikal dapat memuliakan Yehuwa dan cara menghentikan tabiat yang mencemari tubuh.

3. Kebersihan fizikal memuliakan Yehuwa

Kita dapat faham pandangan Yehuwa tentang kebersihan dengan mempelajari perintah yang Dia berikan kepada orang Israel. Baca Keluaran 19:10 dan 30:17-19, kemudian bincang soalan berikut:

  • Apakah pandangan Yehuwa mengenai kebersihan fizikal?

  • Apakah tabiat baik yang akan membantu anda tetap bersih?

Tidak kira di mana kita tinggal atau sama ada kita kaya atau miskin, kita dapat menjaga kebersihan. Yang penting, kita sudi meluangkan masa dan mencurahkan usaha. Mainkan VIDEO, kemudian bincang soalan berikut:

  • Mengapakah orang lebih terdorong untuk menerima mesej Bible jika barang milik kita kemas dan bersih?

4. Hentikan tabiat buruk

Yehuwa dapat bantu kita membuang tabiat yang buruk

Jika anda merokok atau menyalahgunakan dadah, anda mungkin rasa sangat susah untuk berhenti. Tapi, anda dapat mengatasinya dengan memikirkan kesan buruk tabiat itu. Baca Matius 22:37-39, kemudian bincang bagaimana rokok atau penyalahgunaan dadah mempengaruhi . . .

  • hubungan anda dengan Yehuwa.

  • keluarga anda dan orang lain.

Buatlah rancangan untuk menghentikan tabiat yang buruk. Mainkan VIDEO.

Baca Filipi 4:13, kemudian bincang soalan berikut:

  • Bagaimanakah rutin rohani yang baik, seperti berdoa, mempelajari Bible, dan menghadiri perjumpaan, dapat memberi anda kekuatan untuk mengatasi tabiat buruk?

5. Elakkan fikiran dan perbuatan yang najis

Baca Kolose 3:5, kemudian bincang soalan berikut:

  • Bagaimanakah kita tahu bahawa pornografi, sexting, b dan melancap ialah perbuatan yang najis di mata Yehuwa?

  • Pada pendapat anda, adakah munasabah bagi Yehuwa untuk meminta kita agar bersih secara moral? Mengapa?

Belajar cara untuk melawan fikiran yang tidak senonoh. Mainkan VIDEO.

Perumpamaan Yesus membantu kita sedar bahawa kita perlu mengambil tindakan yang tegas untuk tetap bersih secara moral. Baca Matius 5:29, 30, kemudian bincang soalan berikut:

  • Yesus tidak bermaksud kita patut mencederakan diri. Sebaliknya, dia menegaskan bahawa kita perlu bertindak untuk melawan fikiran yang kotor. Apakah tindakan yang perlu kita ambil?

Jika anda sedang berusaha melawan fikiran yang najis, Yehuwa menghargai usaha anda. Baca Mazmur 103:13, 14, kemudian bincang soalan berikut:

  • Jika anda sedang bergelut dengan tabiat yang najis, bagaimanakah ayat ini dapat menggalakkan anda untuk tidak putus asa?

Jatuh tapi tidak ditewaskan!

Adakah anda ingin putus asa kerana gagal menghentikan tabiat yang buruk? Fikirlah contoh berikut: Jika seorang pelari terjatuh semasa perlumbaan, dia masih boleh bangun dan teruskan perlumbaannya. Begitu juga, jika anda tergoda lalu menyerah kepada tabiat lama, usaha anda tidak sia-sia. Anda masih dapat teruskan perjuangan untuk melawannya. Maka janganlah putus asa! Anda dapat berjaya dengan bantuan Yehuwa.

ADA ORANG KATA: “Saya sudah lama ketagih. Mustahil saya dapat berubah.”

  • Apakah ayat Bible yang dapat anda gunakan untuk menunjukkan bahawa Yehuwa dapat membantunya membuang tabiat buruknya?

RINGKASAN

Apabila kita memastikan tubuh dan fikiran kita bersih serta kelakuan kita baik, kita dapat menyenangkan hati Yehuwa.

Ulang Kaji

  • Mengapakah penting untuk tetap bersih?

  • Bagaimanakah anda dapat mengekalkan kebersihan fizikal?

  • Bagaimanakah anda dapat pastikan fikiran dan kelakuan anda bersih?

Matlamat

JOM BELAJAR

Ketahuilah beberapa cara mudah untuk menjaga kebersihan.

Kesihatan dan Kebersihan​—Mencuci Tangan (3:01)

a Melancap ialah perbuatan merangsang bahagian kelamin untuk memuaskan nafsu seks sendiri.

b Sexting merujuk kepada perbuatan menghantar mesej, gambar, atau video lucah secara elektronik.