Sepucuk Surat daripada Badan Pimpinan

Sepucuk Surat daripada Badan Pimpinan

Saudara Saudari yang Dikasihi,

Kasih kepada Tuhan dan orang lain akan mendorong kita untuk mentaati perintah berikut: “Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka.” (Mat. 28:19, 20; Mrk. 12:28-31) Jika kita mempunyai kasih yang rela berkorban, kita dapat membantu orang yang “memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal.”​—Kis. 13:48.

Sebelum ini, kita berfokus untuk menghafal penyampaian dan menawarkan bahan bacaan. Sekarang, kita perlu berusaha meningkatkan kemahiran untuk berbual dengan orang. Kita ingin menunjukkan kasih kepada mereka dengan bercakap tentang topik yang menarik minat mereka. Maksudnya, kita harus sedia membuat perubahan dan mempertimbangkan dengan teliti kerisauan dan minat setiap orang. Bagaimanakah brosur ini dapat membantu kita?

Brosur ini mengandungi 12 pelajaran yang membincangkan sifat-sifat yang perlu kita pupuk supaya kita dapat menunjukkan kasih dan menjadikan orang pengikut Yesus. Setiap pelajaran adalah berdasarkan sebuah kisah Bible tentang bagaimana Yesus atau penginjil abad pertama yang lain menunjukkan sifat tertentu dalam kerja penyebaran. Matlamat kita bukanlah untuk menghafal penyampaian, tetapi untuk belajar cara menunjukkan kasih kepada orang. Setiap sifat memang penting untuk kerja penyebaran. Namun, kita akan bincang bagaimana sesetengah sifat khasnya diperlukan untuk memulakan perbualan, membuat kunjungan kembali, atau mengadakan pembelajaran Bible.

Seraya anda mengkaji setiap pelajaran, fikirkan dengan teliti bagaimana anda dapat menunjukkan sifat itu semasa bercakap dengan orang di kawasan anda. Berusahalah untuk memperdalam kasih anda kepada Yehuwa dan orang lain. Kasih ini lebih penting daripada mana-mana teknik yang digunakan dalam kerja penyebaran. Sifat ini akan bantu anda mencapai matlamat untuk menjadikan orang pengikut Yesus.

Kami menghargai penghormatan kerana dapat berganding bahu untuk berkhidmat bersama anda. (Zef. 3:9) Semoga Yehuwa memberkati anda dengan melimpah seraya anda terus mengasihi orang dan menjadikan mereka pengikut Yesus!

Saudara-saudara anda,

Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa