Lompat ke kandungan

Meminta Maaf​—Kunci Kedamaian

Meminta Maaf​—Kunci Kedamaian

Meminta Maaf​—Kunci Kedamaian

“MEMINTA maaf sangat berkuasa. Hal ini dapat menyelesaikan perselisihan tanpa keganasan, memulihkan masalah antara negara, menenangkan hati rakyat yang menderita, dan memulihkan hubungan antara satu sama lain.” Itulah yang ditulis oleh Deborah Tannen, seorang pengarang terkenal dan ahli sosiolinguistik Georgetown University di Washington, D.C.

Bible menyatakan bahawa jika kita meminta maaf dengan ikhlas, hal itu sering kali dapat memulihkan hubungan yang renggang. Contohnya, dalam perumpamaan Yesus tentang anak yang sesat, bapa itu lebih terbuka hati untuk menerima anaknya apabila dia meminta maaf dengan tulus hati. (Lukas 15:17-24) Sebenarnya orang yang tidak sudi meminta maaf ialah orang yang sombong. Sebaliknya, orang yang rendah hati akan sedia mengakui kesilapannya dan meminta maaf.

Kuasa Meminta Maaf

Mari kita kaji contoh Abigail untuk melihat manfaat yang diraih jika kita sudi meminta maaf. Abigail ialah seorang wanita bijak di Israel kuno, dan Nabal ialah suaminya. Pada masa itu, Daud, iaitu bakal raja Israel, sedang tinggal di padang belantara. Daud dan anak buahnya telah membantu melindungi ternakan milik Nabal. Namun apabila anak buah Daud meminta roti dan air, Nabal menghina dan menghalau mereka. Maka Daud sangat marah lalu membawa 400 orang pengikutnya untuk menyerang Nabal dan keluarganya. Apabila Abigail mendengar apa yang telah berlaku, dia segera pergi untuk berjumpa dengan Daud dan meminta maaf atas kesalahan suaminya. Ketika Abigail nampak Daud, dia bersujud di kaki Daud dan berkata, “Tuan! Biarlah aku yang menanggung kesalahan itu. Benarkanlah hamba perempuanmu ini bercakap dan dengarkanlah kata-kata hamba.” Kemudian, Abigail menjelaskan apa yang berlaku dan menawarkan makanan dan air sebagai pemberian kepada Daud. Selepas itu, Daud berkata, “Pulanglah ke rumahmu dengan damai. Aku telah mendengar kata-katamu dan aku akan menunaikan permintaanmu.”​—1 Samuel 25:2-35.

Sikap Abigail yang rendah hati dan kerelaannya untuk meminta maaf bagi pihak suaminya telah menyelamatkan keluarganya. Daud bahkan memuji Abigail kerana mencegahnya daripada menanggung hutang darah. Walaupun bukan Abigail yang melayan Daud dan anak buahnya dengan buruk, dia sudi menanggung kesilapan suaminya, meminta maaf, dan berdamai dengan Daud.

Satu lagi contoh baik ialah Rasul Paulus. Pernah sekali, dia perlu membela diri di hadapan anggota-anggota Majlis Orang Yahudi, iaitu mahkamah tinggi bangsa Israel. Imam Agung Ananias berasa marah apabila mendengar kata-kata Paulus yang terus terang lalu memerintahkan orang yang berdiri dekat Paulus untuk menampar mulutnya. Maka Paulus berkata kepada Ananias, “Tuhan akan menghukum kamu, hai kamu yang bagaikan tembok bercat putih! Adakah kamu duduk untuk menghakimi aku menurut Hukum, tetapi pada masa yang sama kamu melanggar Hukum itu dengan menyuruh orang untuk memukul aku?” Apabila orang yang berdiri berhampiran Paulus berkata kepadanya, “Berani kamu mencaci imam agung Tuhan!” Paulus segera mengakui kesilapannya dan berkata, “Saudara-saudara, aku tidak tahu bahawa dia imam agung. Memang ada tertulis, ‘Kamu tidak boleh menghina pemerintah bangsa kamu.’”​—Kisah 23:1-5.

Sebenarnya, kata-kata Paulus memang betul. Seorang hakim tidak patut menggunakan keganasan. Namun, dia meminta maaf kerana telah bercakap kepada imam agung dalam cara yang tidak hormat. * Maka anggota-anggota Majlis Orang Yahudi pun rela mendengar kata-katanya. Paulus memberitahu mereka bahawa dia diadili kerana kepercayaannya tentang pembangkitan. Oleh sebab pendengarnya mempunyai pendapat yang berbeza tentang hal ini, timbullah perselisihan yang besar antara orang Saduki dan orang Farisi. Akhirnya, orang Farisi mula berpihak kepadanya.​—Kisah 23:6-10.

Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada dua contoh ini? Oleh sebab Abigail dan Paulus sudi meminta maaf, mereka mengekalkan komunikasi yang baik dengan orang lain dan memelihara kedamaian. Sememangnya, kita juga akan meraih manfaat yang sama jika kita sudi mengakui kesilapan kita dan meminta maaf.

Bagaimana Jika Anda Tidak Bersalah?

Kadangkala orang tersinggung dengan kata-kata atau perbuatan kita. Kita mungkin rasa orang itu tidak munasabah atau terlalu sensitif. Namun Yesus menasihati murid-muridnya, “Semasa kamu membawa pemberianmu ke mazbah, dan kamu teringat bahawa saudaramu tidak senang hati terhadapmu, tinggalkanlah pemberianmu itu di hadapan mazbah. Pergilah dan berdamailah dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah kamu kembali untuk mempersembahkan pemberianmu.”​—Matius 5:23, 24.

Sebagai contoh, jika saudara kita rasa kita telah menyakiti hatinya, Yesus menggalakkan kita untuk pergi dan ‘berdamai dahulu dengannya,’ tidak kira kita bersalah atau tidak. Menurut teks Yunani asal, hal ini bermaksud ‘kedua-dua pihak yang bermusuhan harus menyedari bahawa mereka masing-masing bertanggungjawab atas apa yang berlaku.’ (Vine’s Expository Dictionary of Old and New Testament Words) Apabila dua pihak berselisih faham, memang tidak adil untuk salahkan satu pihak sahaja. Hal ini kerana mereka berdua pun tidak sempurna dan pasti telah menyumbang kepada perselisihan itu.

Jadi, apa yang penting bukan siapa yang betul atau siapa yang salah, tetapi siapa yang mengambil inisiatif untuk berdamai. Apabila Rasul Paulus perhatikan orang Kristian di Korintus membawa perselisihan mereka ke mahkamah, dia bertanya, “Mengapakah kamu tidak membiarkan diri kamu diperlakukan dengan tidak adil? Mengapakah kamu tidak membiarkan diri kamu ditipu?” (1 Korintus 6:7) Apakah prinsip di sebalik kata-kata Paulus ini? Kedamaian antara rakan seiman adalah lebih penting daripada membuktikan siapa yang betul dan siapa yang salah. Apabila kita berusaha menerapkan nasihat ini, kita akan lebih senang meminta maaf apabila orang lain berasa kita telah menyakiti mereka.

Minta Maaf dengan Ikhlas

Dalam sesetengah budaya, perkataan yang membawa maksud “minta maaf” begitu sering digunakan sehingga hilang maknanya. Contohnya, dalam bahasa Jepun, perkataan sumimasen sering digunakan untuk meminta maaf. Tetapi perkataan ini juga digunakan apabila seorang penerima berasa segan kerana tidak dapat membalas kebaikan yang ditunjukkan dan untuk mengungkapkan rasa syukur. Oleh sebab perkataan ini begitu biasa digunakan, ada orang yang mungkin rasa kata-kata itu tidak diucapkan dengan ikhlas.

Untuk meminta maaf dari hati, kita perlu memilih kata-kata yang sesuai dan pastikan nada suara kita menunjukkan bahawa kita ikhlas. Dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus mengajar murid-muridnya, “Katakan ‘Ya’ semasa kamu bermaksud ya, dan katakan ‘Tidak’ semasa kamu bermaksud tidak, kerana kata-kata yang selebihnya berasal daripada Si Jahat.” (Matius 5:37) Jadi, janganlah sekadar meminta maaf di bibir saja, tetapi tunjukkanlah keikhlasan anda melalui perbuatan juga. Contohnya, seorang lelaki sedang berbaris di lapangan terbang sambil membawa beg yang besar. Apabila begnya terlanggar wanita di hadapannya, dia cepat-cepat minta maaf. Tetapi beberapa minit kemudian, begnya terkena wanita itu lagi. Sekali lagi, dia minta maaf kepadanya. Apabila hal itu berulang lagi, kawan wanita itu berkata kepada lelaki itu bahawa jika dia betul-betul ikhlas, dia harus pastikan begnya tidak terlanggar kawannya lagi. Ya, orang yang meminta maaf dengan ikhlas harus berusaha agar tidak mengulangi kesilapannya lagi.

Jika kita benar-benar ikhlas, kita juga akan mengakui kesalahan kita dan mengambil tindakan untuk memulihkan keadaan. Pada masa yang sama, orang yang terluka itu harus rela mengampuni orang yang menyakitinya. (Matius 18:21, 22; Markus 11:25; Efesus 4:32; Kolose 3:13) Memandangkan kedua-dua pihak tidak sempurna, usaha untuk berdamai semula mungkin tidak semudah yang diharapkan. Namun, dengan meminta maaf secara ikhlas, hal itu membuka jalan agar hubungan dipulihkan.

Bilakah Kita Tidak Patut Meminta Maaf?

Biarpun rasa sesal atau meminta maaf dapat membawa kedamaian, ada masanya kita tidak patut meminta maaf, terutamanya apabila situasi itu berkaitan dengan kesetiaan kepada Tuhan. Sebagai contoh, semasa Yesus di bumi, “dia merendahkan diri dan menunjukkan kepatuhan sampai mati, ya, sehingga dia mati pada tiang seksaan.” (Filipi 2:8) Yesus tidak berasa segan kerana pendiriannya biarpun dia harus menderita, dan dia tidak cuba meredakan situasi itu dengan meminta maaf kepada musuhnya. Ketika imam agung memarahinya dan menuntut, “Bersumpahlah demi Tuhan yang hidup dan beritahulah kami sama ada kamu ialah Kristus, iaitu Anak Tuhan, atau tidak!” Yesus tidak berasa bersalah lalu meminta maaf. Sebaliknya, dia menjawab dengan berani, “Kamu sendiri yang mengatakannya. Namun aku berkata kepada kamu semua: Mulai sekarang, kamu akan melihat Anak Manusia datang atas awan di langit dan duduk di sebelah kanan Dia Yang Berkuasa.” (Matius 26:63, 64) Sememangnya, Yesus tidak menggadaikan kesetiaannya lalu tunduk kepada imam agung sekadar untuk mengekalkan hubungan yang damai dengannya. Hal itu tidak pernah terlintas dalam fikiran Yesus.

Begitu juga, biarpun orang Kristian menghormati pihak berkuasa, mereka tidak akan berganjak apabila kesetiaan mereka kepada Tuhan diuji. Mereka tidak perlu rasa bersalah kerana mengasihi Tuhan dan saudara saudari mereka.​—Matius 28:19, 20; Roma 13:5-7.

Kedamaian yang Melimpah

Hari ini, kita menyakiti satu sama lain kerana kita tidak sempurna dan mewarisi dosa Adam. (Roma 5:12; 1 Yohanes 1:10) Sebenarnya, pada mulanya Adam dan Hawa diciptakan sempurna. Tetapi, mereka memilih untuk memberontak terhadap Tuhan. Alangkah gembiranya kita kerana Tuhan akan melenyapkan dosa kita dan menjadikan manusia sempurna lagi!​—1 Korintus 15:56, 57.

Seorang penulis Bible yang bernama Yakobus berkata, “Jika seseorang tidak pernah berbuat silap dalam pertuturannya, dia ialah orang sempurna yang dapat mengekang seluruh tubuhnya.” (Yakobus 3:2) Bayangkan pada masa depan, kita dapat mengawal lidah dan ‘seluruh tubuh’ kita dengan sempurna. Maka, kita tidak akan menyakiti hati orang lain dan harus meminta maaf. Sudah pasti kedamaian akan melimpah pada masa itu! Sementara kita menantikan masa depan yang indah itu, marilah kita berusaha mengekalkan kedamaian dengan meminta maaf secara ikhlas.

[Nota kaki]

^ per. 8 Paulus mempunyai masalah penglihatan. Jadi kemungkinan besar, dia tidak sedar bahawa orang yang sedang bercakap itu ialah imam agung.

[Gambar]

Apakah yang kita belajar daripada teladan Paulus?

[Gambar]

Apabila semua orang sempurna, kedamaian akan melimpah