Lompat ke kandungan

Adakah Anda Selalu Memerlukan Perintah Bible?

Adakah Anda Selalu Memerlukan Perintah Bible?

Adakah Anda Selalu Memerlukan Perintah Bible?

SEMASA anda masih kecil, ibu bapa mungkin memberi anda banyak peraturan. Apabila anda lebih besar, anda mula sedar bahawa mereka mahukan yang terbaik bagi anda. Apabila anda menjadi dewasa, anda mungkin tetap berpegang pada bimbingan mereka biarpun anda tidak lagi tinggal bersama mereka.

Bapa kita Yehuwa juga memberikan perintah-perintah dalam Bible. Sebagai contoh, Dia melarang kita menyembah berhala, melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, berzina, dan mencuri. (Keluaran 20:1-17; Kisah 15:28, 29) Apabila kita “menjadi matang” secara rohani, kita akan sedar bahawa perintah Yehuwa tidak membebankan dan membawa manfaat kepada kita.​—Efesus 4:15; Yesaya 48:17, 18; 54:13.

Namun Yehuwa tidak memberi kita perintah spesifik bagi setiap situasi yang mungkin timbul. Maka, sesetengah orang rasa bahawa mereka bebas untuk buat sesuka hati. Mereka menyimpulkan bahawa jika Tuhan anggap suatu hal itu penting, Dia pasti memberikan perintah yang spesifik mengenainya.

Malangnya, orang yang berfikir sedemikian mungkin membuat keputusan buruk dan menyesal pada kemudian hari. Mereka tidak sedar bahawa Bible bukan sahaja mengandungi perintah Tuhan tetapi juga dapat membantu kita memahami cara pemikiran Tuhan. Apabila kita belajar Bible dan mengetahui pandangan Yehuwa tentang sesuatu perkara, kita sedang melatih hati nurani kita. Dengan demikian, kita dapat membuat keputusan bijak yang menyenangkan hati-Nya dan mendapat manfaat yang melimpah.​—Efesus 5:1.

Teladan Baik dalam Bible

Banyak watak Bible mengambil kira pandangan Tuhan biarpun Tuhan tidak memberi perintah yang khusus tentang sesuatu perkara. Sebagai contoh, fikir tentang Yusuf. Semasa isteri Potifar menggoda Yusuf untuk menidurinya, Yehuwa belum memberi umat-Nya perintah bertulis yang melarang perzinaan. Namun bagi Yusuf, hati nuraninya tidak membenarkannya untuk berzina. Yang lebih penting lagi, dia menganggap perbuatan itu ‘dosa terhadap Tuhan.’ (Kejadian 39:9) Mengapakah Yusuf berfikir sedemikian? Barangkali dia ingat tentang kata-kata Tuhan di Taman Eden dan sedar bahawa perzinaan tidak selaras dengan fikiran dan kehendak Tuhan.​—Kejadian 2:24.

Mari kita lihat satu lagi contoh. Di Kisah 16:3, kita belajar bahawa sebelum Paulus membawa Timotius sepanjang perjalanannya untuk menginjil, dia telah menyunat Timotius. Tetapi di ayat 4, Paulus dan Timotius “menyampaikan perintah para rasul dan para penatua di Yerusalem” bahawa orang Kristian tidak lagi perlu disunat. (Kisah 15:5, 6, 28, 29) Memandangkan perbuatan sunat tidak lagi wajib, mengapakah Paulus menyunat Timotius? Hal ini “kerana semua orang Yahudi . . . tahu bahawa bapa Timotius berbangsa Yunani.” Maka, Paulus tidak mahu membuat mereka tersinggung atau tersandung. Daripada teladannya, kita belajar pentingnya untuk berusaha menjaga hati nurani orang lain.​—1 Korintus 9:19-23; 2 Korintus 4:2.

Itulah yang Paulus dan Timotius cuba lakukan sepanjang hidup mereka. Sebagai contoh, baca teladan mereka di Roma 14:15, 20, 21 dan 1 Korintus 8:9-13; 10:23-33. Walaupun mereka berhak melakukan sesuatu, mereka sudi melepaskan hak itu agar tidak membuat sesiapa pun tersandung. Mengenai Timotius, Paulus menulis, “Dia benar-benar mengambil berat tentang kamu semua, dan aku tidak mempunyai sesiapa lagi yang bersikap sepertinya. Semua orang lain mencari kepentingan sendiri dan bukannya kepentingan Yesus Kristus. Tetapi kamu tahu bahawa Timotius sudah membuktikan kelayakannya. Seperti anak yang bekerja keras bersama bapanya, dia bekerja keras bersama aku untuk menyebarkan berita baik.” (Filipi 2:20-22) Sememangnya, dengan mengutamakan kepentingan orang lain, mereka sedang menonjolkan kasih Yehuwa dan Yesus. Biarpun dalam hal yang tidak mempunyai perintah yang spesifik, mereka mempertimbangkan bagaimana keputusan mereka mempengaruhi hati nurani orang lain.

Perhatikan juga ajaran Yesus dalam Ceramah Di Atas Gunung. Dia kata bahawa seseorang yang berusaha memahami sebab di sebalik perintah Tuhan bukan hanya sedia mematuhi perintah itu, tetapi bahkan mungkin melakukan lebih daripada apa yang diperintahkan. (Matius 5:21, 22, 27, 28) Teladan Yesus, Paulus, Timotius, dan Yusuf menunjukkan bahawa mereka menyelaraskan fikiran mereka dengan fikiran Tuhan. Mereka tidak berbuat sesuka hati apabila tiada hukum yang spesifik diberikan. Sebaliknya, mereka dibimbing oleh dua hukum terpenting iaitu untuk mengasihi Tuhan dan orang lain.​—Matius 22:36-40.

Apakah Pandangan Orang Kristian Hari Ini?

Kita tidak patut memandang Firman Tuhan sebagai kontrak yang mencatatkan setiap butiran dengan terperinci. Sebaliknya, kita berusaha untuk “terus memahami kehendak Yehuwa,” bahkan dalam hal-hal yang tidak mempunyai perintah khusus. (Efesus 5:17; Roma 12:2) Jika kita berbuat demikian, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi-Nya dan ingin meniru-Nya. Kita juga sudi melepaskan hak dan keinginan diri agar dapat menyenangkan hati-Nya. (Amsal 23:15; 27:11) Maka, kita tidak memerlukan Tuhan untuk memberitahu kita setiap hal yang patut kita lakukan atau hindari. Apabila keputusan kita dibuat berdasarkan prinsip Bible, kita pun akan mendapat manfaat dari segi rohani dan fizikal.

Mari kita lihat bagaimana kita dapat menerapkan prinsip Tuhan dalam kehidupan peribadi.

Memilih Hiburan yang Sesuai

Fikirkan contoh seorang pemuda yang mengasihi Yehuwa. Dia terdengar satu lagu dan dia sangat suka rentaknya. Jadi dia ingin membeli album penyanyi itu. Tetapi apabila dia melihat album penyanyi itu baik-baik, dia sedar lirik lagunya tidak senonoh dan mengandungi kata-kata kesat. Bukan itu saja, kebanyakan lagu penyanyi itu bernada marah dan agresif. Patutkah dia membeli album itu? Bagaimanakah dia dapat memahami pandangan dan perasaan Yehuwa dalam hal ini?

Mari kita lihat kata-kata Rasul Paulus kepada sidang di Galatia. Dalam suratnya, dia menyenaraikan buah kuasa suci Tuhan, iaitu kasih, sukacita, kedamaian, kesabaran, kebaikan hati, kebaikan, iman, kelemahlembutan, dan kawalan diri. Kemudian, dia juga menyebut tentang perbuatan yang tergolong dalam keinginan yang berdosa. Paulus menulis, “Perbuatan yang terhasil daripada keinginan yang berdosa dapat dilihat dengan jelas, iaitu perbuatan seks yang tidak bermoral, kenajisan, kelakuan buruk, penyembahan berhala, penggunaan ilmu sihir, permusuhan, perkelahian, kecemburuan, ledakan kemarahan, pertengkaran, perpecahan, pembentukan kumpulan agama, perasaan iri hati, kemabukan, pesta liar, dan hal-hal seperti itu. Aku memberi kamu amaran tentang hal-hal itu sekarang, sepertimana aku telah memberi kamu amaran dahulu: Orang yang mengamalkan perbuatan sebegitu tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.”​—Galatia 5:19-23.

Perhatikan kata-kata Paulus pada hujung ayat itu. Dia menegaskan bahawa orang yang mengamalkan “perbuatan sebegitu” dan enggan bertaubat tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan. Dengan menyatakan “perbuatan sebegitu,” Paulus ingin pendengarnya berfikir sendiri tentang perbuatan lain yang tergolong dalam kategori itu. Memang tidak masuk akal jika seseorang kata, “Saya boleh lakukan perbuatan jahat yang tidak disebut dalam senarai Paulus.” Sebaliknya, kita patut menggunakan daya pemikiran kita untuk mengenal pasti apa yang terangkum dalam “perbuatan sebegitu.”

Adakah susah untuk memahami atau mengenal pasti hal-hal yang dibenci Tuhan? Fikirkan contoh ini: Doktor menasihati anda untuk makan lebih banyak buah dan sayur, dan elakkan ais krim, coklat, dan makanan sebegitu. Biarpun dia tidak menyebut tentang kek, sudah pasti anda dapat simpulkan sendiri bahawa kek tergolong dalam kategori makanan yang harus dielakkan. Sekarang, fikir kembali tentang pemuda tadi yang ingin membeli album muzik. Adakah album itu mencerminkan buah kuasa suci Tuhan seperti kasih dan kawalan diri? Walaupun tiada perintah khas, seseorang dapat mengenal pasti bahawa muzik seperti itu tidak selaras dengan kehendak Tuhan. Kita dapat menggunakan prinsip yang sama semasa memilih bahan bacaan, wayang, rancangan TV, game, laman web, dan sebagainya.

Memilih Pakaian dan Dandanan yang Sesuai

Pakaian dan dandanan berbeza dari tempat ke tempat dan berubah mengikut perkembangan masa. Bible mengandungi prinsip-prinsip yang membantu kita membuat keputusan yang baik dalam soal ini. Biarpun kita mementingkan penampilan diri dan ingin kelihatan menarik, kita mahu memastikan pilihan kita menyenangkan hati Tuhan. Bagaimanakah kita dapat mengetahui pandangan Yehuwa dalam soal penampilan?

Salah satu prinsip Bible terdapat di 1 Timotius 2:9, 10. Ayat ini kata, “Kaum wanita harus menghias diri dengan pakaian yang sopan, dengan sederhana, dan dengan fikiran yang sihat. Janganlah mereka berdandan dengan gaya rambut yang keterlaluan atau memakai emas, mutiara, atau pakaian yang sangat mahal. Sebaliknya mereka harus menghias diri dengan perbuatan baik, iaitu perbuatan yang sesuai bagi wanita yang mengaku diri sebagai penyembah Tuhan.” Tidak kira lelaki ataupun wanita, semua orang “yang mengaku diri sebagai penyembah Tuhan” harus fikirkan kesan penampilannya terhadap orang lain. (2 Korintus 6:3) Orang Kristian tidak patut berkeras dengan hak atau keinginannya. Sebaliknya, dia mengambil kira pandangan orang di kawasannya dan berusaha agar penampilannya tidak membuat orang lain tersandung.​—Matius 18:6; Filipi 1:10.

Jika kita mendapati bahawa cara penampilan kita mungkin membuat orang lain tersandung atau terganggu, kita akan meniru teladan Rasul Paulus dengan mengutamakan orang lain dan bukannya diri sendiri. Paulus kata, “Ikutlah teladanku sebagaimana aku juga mengikut teladan Kristus.” (1 Korintus 11:1) Paulus juga menulis, “Kristus pun tidak menyenangkan dirinya sendiri.” Apakah pengajarannya? Paulus berkata, “Kita yang kuat haruslah menanggung kelemahan orang yang tidak kuat. Janganlah kita menyenangkan diri sendiri sahaja. Hendaklah kita masing-masing menyenangkan hati orang lain demi kebaikan mereka, supaya mereka dikuatkan.”​—Roma 15:1-3.

Mengasah Daya Penilaian Anda

Bagaimanakah kita dapat mengasah daya penilaian kita agar menyenangkan hati Tuhan? Hal ini tidak akan berlaku secara automatik. Sebaliknya, kita mesti membaca Bible setiap hari, mengkaji, dan merenungkannya. Sepertimana seorang budak beransur-ansur menjadi dewasa, kerohanian kita juga memerlukan masa untuk berkembang. Jadi, bersabarlah dan jangan putus asa. Bak kata pepatah, “Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit.” Asalkan kita terus mengisi minda kita dengan Firman Tuhan dan berusaha hidup selaras dengannya, daya pemikiran kita akan menjadi semakin tajam.—Ibrani 5:14.

Perintah dalam Bible menguji kepatuhan kita, tetapi prinsip Bible menguji kasih dan keinginan kita untuk menyenangkan hati Yehuwa. Semakin kukuh kerohanian kita, semakin kuat keinginan kita untuk mengikut teladan Yehuwa dan Yesus. Hasilnya, keputusan yang kita buat juga akan mencerminkan fikiran Tuhan. Sememangnya, hal ini menggembirakan hati Yehuwa dan membawa sukacita kepada kita.

[Gambar pada muka surat 23]

Gaya dan fesyen berbeza dari tempat ke tempat, tetapi prinsip Bible dapat membimbing kita