Lompat ke kandungan

Berusaha untuk Menjadi Matang​—“Hari Besar Yehuwa Sudah Dekat”

Berusaha untuk Menjadi Matang​—“Hari Besar Yehuwa Sudah Dekat”

Berusaha untuk Menjadi Matang​—“Hari Besar Yehuwa Sudah Dekat”

“Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi matang.”​—IBR. 6:1.

1, 2. Apakah yang berlaku sehingga orang Kristian abad pertama di Yerusalem dan Yudea berpeluang “melarikan diri ke kawasan pergunungan”?

SEMASA Yesus di bumi, murid-muridnya bertanya kepadanya, “Apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?” Dalam jawapan Yesus, dia memberitahu mereka peristiwa-peristiwa yang menandakan bahawa akhir sudah dekat. Jawapan Yesus itu sebenarnya merupakan suatu nubuat. Pelaksanaan pertama nubuat Yesus telah berlaku pada abad pertama. Selepas murid-murid Yesus nampak nubuat itu menjadi kenyataan, “mereka yang berada di Yudea [harus] melarikan diri ke kawasan pergunungan.” (Mat. 24:1-3, 15-22) Adakah murid-murid Yesus mengikut perintahnya?

2 Sekitar 30 tahun kemudian, iaitu pada 61 M, Rasul Paulus menulis sepucuk surat kepada orang Kristian Ibrani di Yerusalem dan kawasan sekitarnya. Dalam suratnya, dia memberikan nasihat yang tegas kepada mereka. Apa yang tidak disedari mereka adalah dalam masa lima tahun, nubuat berkenaan “kesengsaraan besar” akan mula menjadi kenyataan. (Mat. 24:21) Pada tahun 66 M, Cestius Gallus memimpin askar Roma untuk menyerang Yerusalem. Tetapi kemudiannya mereka tiba-tiba mundur. Itulah peluang bagi orang yang peka terhadap perintah Yesus untuk melarikan diri.

3. Apakah nasihat yang diberikan oleh Paulus kepada orang Kristian Ibrani, dan mengapa?

3 Orang Kristian pada masa itu memerlukan daya penilaian yang tajam dan kematangan rohani untuk mengenal pasti tanda yang disebutkan lalu melarikan diri. Malangnya, sesetengah orang Kristian Ibrani telah membiarkan ‘pendengaran mereka menjadi tumpul.’ Maka, mereka gagal menjadi orang Kristian yang matang, tetapi menjadi seperti bayi yang memerlukan “susu.” (Baca Ibrani 5:11-13.) Bahkan ada yang sudah lama dalam kebenaran mula “meninggalkan Tuhan yang hidup.” (Ibr. 3:12) Ada pula orang Kristian yang ‘biasa mengabaikan perjumpaan’ pada masa yang genting itu. (Ibr. 10:24, 25) Itulah sebabnya Paulus menasihati mereka dengan berkata, “Sekarang, setelah kita selesai mempelajari ajaran asas tentang Kristus, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi matang.”—Ibr. 6:1.

4. Mengapakah penting untuk berjaga-jaga secara rohani? Apakah yang dapat membantu kita berbuat demikian?

4 Hari ini, kita sedang hidup pada penghujung sistem dunia Syaitan dan “hari besar Yehuwa sudah dekat.” (Zef. 1:14) Maka, kita mesti terus berjaga-jaga. (1 Ptr. 5:8) Bagaimanakah kita dapat melakukannya? Kita perlu terus meningkatkan usaha untuk menjadi matang secara rohani. Dengan demikian, kita tidak akan lupa bahawa kita sedang hidup pada zaman yang genting.

Maksud Matang Secara Rohani

5, 6. (a) Apakah ciri-ciri orang yang matang secara rohani? (b) Untuk menjadi matang secara rohani, apakah dua hal penting yang perlu kita lakukan?

5 Paulus bukan hanya menggalakkan orang Kristian Ibrani untuk menjadi matang secara rohani tetapi dia juga menjelaskan ciri-cirinya. (Baca Ibrani 5:14.) “Orang matang” tidak puas dengan “susu,” atau “hal-hal asas” saja, tetapi mereka juga makan “makanan yang keras.” Maksudnya, mereka berusaha mengetahui kebenaran Bible “yang dalam.” (1 Kor. 2:10) Selain itu, mereka menerapkan apa yang dipelajari dan melatih daya penilaian mereka untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah. Hasilnya, apabila mereka perlu membuat keputusan, mereka dapat mengenal pasti prinsip Bible yang sesuai dan mengetahui cara untuk menerapkannya.

6 Namun, kita perlu terus berhati-hati kerana iman kita mungkin menjadi lemah tanpa disedari. Paulus berkata, “Kita perlu menumpukan lebih banyak perhatian kepada perkara-perkara yang sudah kita dengar, agar kita tidak sekali-kali hanyut.” (Ibr. 2:1) Bagaimanakah kita dapat “menumpukan lebih banyak perhatian” kepada diri sendiri? Tanyalah diri, “Adakah saya hanya mengkaji kebenaran Bible yang asas? Adakah saya melakukan hal rohani dengan sepenuh hati, atau sekadar menganggapnya sebagai rutin? Adakah saya berusaha membuat kemajuan rohani?” Sebenarnya, untuk menjadi matang secara rohani, ada dua hal penting yang perlu kita lakukan. 1) Kita mesti mengenali Firman Tuhan dengan mendalam, dan 2) kita perlu menunjukkan kepatuhan.

Mengenali Firman Tuhan dengan Mendalam

7. Apakah manfaatnya jika kita mengenali Firman Tuhan dengan mendalam?

7 Paulus menulis, “Sesiapa yang terus minum susu merupakan anak kecil, dan dia tidak mengenal firman yang benar daripada Tuhan.” (Ibr. 5:13) Maka untuk menjadi matang, kita perlu mengenali Firman Tuhan dengan baik. Kita juga perlu berusaha mempelajari bahan bacaan yang disediakan oleh “hamba yang setia dan bijaksana.” (Mat. 24:45-47) Barulah kita dapat memahami fikiran Tuhan dan melatih daya penilaian kita. Seorang saudari yang bernama Orchid * meluahkan perasaannya tentang pembacaan Bible. Dia berkata, “Saya berusaha menerapkan nasihat untuk membaca Bible secara tetap. Saya menghabiskan kira-kira dua tahun untuk membaca seluruh Bible. Buat kali pertama dalam hidup, saya rasa saya benar-benar mengenali Pencipta saya. Saya lebih memahami pemikiran-Nya, kuasa-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan apa yang Dia suka dan tidak suka. Pembacaan Bible harian telah membantu saya menghadapi masa-masa yang mencabar dalam hidup.”

8. Apakah hasilnya jika kita membenarkan nasihat Bible mempengaruhi hidup kita?

8 Apabila kita membaca Firman Tuhan secara tetap, kita membenarkan mesejnya mempengaruhi hidup kita. (Baca Ibrani 4:12.) Hasilnya, kita dapat memupuk keperibadian yang lebih baik dan menyenangkan hati Yehuwa. Adakah anda perlu meluangkan lebih banyak masa untuk membaca dan merenungkan Bible?

9, 10. Apakah yang akan kita lakukan jika kita benar-benar mengenali Firman Tuhan? Berikan contoh.

9 Paulus kata bahawa sesetengah orang Kristian adalah seperti bayi rohani. Adakah ini bermaksud mereka tidak tahu apa-apa tentang Bible? Tidak. Sebenarnya, mereka ada pengetahuan Bible tetapi mereka tidak menerapkannya. Semasa perlu membuat keputusan, mereka tidak membiarkan prinsip Bible membimbing keputusan mereka.

10 Sebaliknya, orang yang benar-benar mengenali Firman Tuhan akan berusaha menerapkan nasihatnya. Perhatikan bagaimana Saudari Kyle berusaha berbuat demikian dalam hidupnya. Pernah sekali, dia ada perselisihan dengan seorang rakan kerjanya. Apakah yang dia lakukan? Kyle kata, “Saya terus teringat ayat di Roma 12:18 yang berbunyi, ‘Selagi kamu dapat melakukannya, berusahalah sedaya upaya untuk berdamai dengan semua orang.’ Jadi, saya buat aturan untuk jumpa dengan rakan kerja itu.” Apakah kesudahannya? Rakan kerjanya sangat menghargai usaha Kyle untuk memulihkan hubungan mereka. Kyle menyambung, “Kalau kita menerapkan prinsip Bible, kita pasti mendapat hasil yang baik.”

Menunjukkan Kepatuhan

11. Apakah contoh yang menunjukkan bahawa sesetengah cabaran dapat menguji kepatuhan kita?

11 Ada kalanya, memang susah untuk menerapkan prinsip Bible. Contohnya, tidak lama selepas orang Israel dibebaskan dari Mesir, mereka “mula bertengkar dengan Musa” dan “asyik menguji Yehuwa.” Mengapa? Kerana mereka tiada air untuk minum. (Kel. 17:1-4) Kurang daripada dua bulan selepas mereka berjanji untuk “melakukan segala yang difirmankan oleh Yehuwa,” mereka melanggar hukum-Nya dan menyembah berhala. (Kel. 24:3, 12-18; 32:1, 2, 7-9) Apakah yang menyebabkan mereka berbuat demikian? Mungkinkah mereka risau kerana Musa terlalu lama di atas Gunung Horeb? Adakah mereka takut bahawa orang Amalek akan menyerang lalu mengalahkan mereka kerana Musa tiada di situ? (Kel. 17:8-16) Tidak kira apa alasan mereka, orang Israel gagal mematuhi Yehuwa. (Kis. 7:39-41) Itulah sebabnya Paulus ingatkan orang Kristian untuk “berusaha sedaya upaya” agar mereka tidak menjadi seperti orang Israel yang ingkar.​—Ibr. 4:3, 11.

12. Bagaimanakah Yesus mempelajari kepatuhan? Apakah hasilnya?

12 Untuk terus menjadi matang secara rohani, kita mesti berusaha mematuhi Yehuwa. Yesus ialah teladan terbaik bagi kita. Dia mempelajari kepatuhan melalui penderitaan yang dialaminya. (Baca Ibrani 5:8, 9.) Sebelum datang ke bumi, dia sudah menunjukkan kepatuhan kepada Bapanya. Tetapi, semasa di bumi, dia harus mengalami banyak kesusahan untuk melakukan kehendak Bapanya. Meskipun demikian, dia terus taat. Hasilnya, dia “dijadikan sempurna” dan dilengkapi untuk memikul tanggungjawabnya sebagai Raja dan Imam Agung.

13. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita benar-benar patuh?

13 Bagaimana pula dengan kita? Bible mengandungi nasihat yang berkaitan dengan nilai moral, seperti bersikap jujur dan menjaga pertuturan. Selain itu, terdapat nasihat tentang kegiatan rohani kita, seperti membaca Bible, menghadiri perjumpaan, dan menginjil. (Yos. 1:8; Mat. 28:19, 20; Ef. 4:25, 28, 29; 5:3-5; Ibr. 10:24, 25) Adakah kita bertekad untuk mematuhi Yehuwa dalam semua hal ini biarpun kita mungkin mengalami kesusahan? (Baca 1 Petrus 1:6, 7.) Sememangnya, kepatuhan kita di bawah keadaan yang mencabar menunjukkan bahawa kita sedang berusaha menjadi matang secara rohani.

Manfaat Kematangan Rohani

14. Berikan contoh yang menunjukkan bagaimana kematangan rohani dapat melindungi kita.

14 Orang Kristian yang matang secara rohani mempunyai daya penilaian yang membantu mereka membezakan apa yang betul dan salah. Hasilnya, mereka dapat dilindungi dalam dunia yang “tidak lagi peduli tentang piawaian moral.” (Ef. 4:19) Mari kita lihat pengalaman seorang saudara yang bernama James. Dia mempunyai rutin rohani yang baik dan sering membaca dan merenungkan bahan bacaan Kristian. James menceritakan apa yang berlaku di tempat kerjanya. Dia kata, “Kebanyakan wanita di tempat kerja saya tidak bermoral. Tapi ada seorang yang nampaknya baik dan berminat terhadap kebenaran. Pada suatu hari, semasa kami berdua di pejabat, dia mula menggoda saya. Saya fikir dia main-main saja, tapi rupanya dia serius! Pada saat itu, saya teringat satu pengalaman dalam Menara Pengawal tentang seorang saudara yang mengalami situasi yang sama. Rencana itu menyebut tentang contoh Yusuf dan isteri Potifar. Jadi saya terus menolak rakan kerja itu dan dia pun meninggalkan saya.” (Kej. 39:7-12) James amat bersyukur kerana dia dapat memelihara hati nurani yang baik dan dilindungi daripada perbuatan yang tidak bermoral.​—1 Tim. 1:5.

15. Bagaimanakah kematangan rohani melindungi hati kita?

15 Kematangan rohani juga melindungi hati kita agar tidak “disesatkan oleh pelbagai ajaran yang ganjil.” (Baca Ibrani 13:9.) Bagaimana? Apabila kita berusaha membuat kemajuan rohani, kita sedang menumpukan fikiran kepada “perkara-perkara yang lebih penting.” (Flp. 1:9, 10) Dengan demikian, penghargaan kita terhadap Tuhan dan berkat-Nya akan semakin mendalam. (Rm. 3:24) Hasilnya, kita akan “berfikir seperti orang yang matang” dan memupuk hubungan yang lebih akrab dengan Yehuwa.​—1 Kor. 14:20.

16. Apakah yang membantu seorang saudari ‘meneguhkan hatinya’?

16 Mari kita lihat contoh seorang saudari yang bernama Louise. Dia mengakui bahawa pada mulanya, dia menjalankan aktiviti rohani sekadar untuk menyenangkan hati orang. Dia kata, “Saya tidak buat hal yang salah. Tapi masalahnya, saya tidak bersemangat dalam ibadat kepada Yehuwa. Saya sedar saya perlu buat perubahan agar dapat menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati dan jiwa.” Maka, dia mencurahkan banyak usaha dan akhirnya berjaya ‘meneguhkan hatinya.’ (Yak. 5:8) Hal ini telah banyak membantunya semasa dia menghadapi masalah kesihatan. Mengenai usahanya untuk meneguhkan dan melindungi hatinya, Louise kata, “Walaupun tidak mudah, akhirnya saya rasa lebih rapat dengan Yehuwa.”

Mematuhi Tuhan dengan Rela Hati

17. Mengapakah kepatuhan sangat penting bagi orang Kristian abad pertama?

17 Orang Kristian di Yerusalem dan Yudea yang menerapkan nasihat Paulus dan berusaha untuk menjadi matang telah meraih manfaat yang sangat besar. Mereka telah melarikan diri ke kawasan pergunungan apabila melihat ‘benda jijik yang membawa kemusnahan berdiri di tempat yang suci,’ iaitu askar Roma mengepung dan menyerang Yerusalem. (Mat. 24:15, 16) Menurut seorang sejarawan yang bernama Eusebius, orang Kristian berjaya mengelakkan bencana yang teruk itu dengan melarikan diri ke Pella di kawasan pergunungan Gilead. Sememangnya, kepatuhan mereka telah menyelamatkan nyawa mereka!

18, 19. (a) Mengapakah kepatuhan sangat penting hari ini? (b) Apakah yang akan kita kaji dalam rencana seterusnya?

18 Tidak lama lagi, seluruh umat manusia akan mengalami “kesengsaraan besar” yang dinubuatkan Yesus. (Mat. 24:21) Maka, adalah penting untuk menjadi matang dan memupuk kepatuhan agar dapat diselamatkan. Tanyalah diri, “Adakah saya bersedia untuk mematuhi semua arahan daripada ‘hamba yang setia’ dengan rela hati?” (Luk. 12:42; Rm. 6:17) Semoga kita bertekad untuk memupuk kepatuhan dari sekarang juga!

19 Sebagai kesimpulan, untuk menjadi matang secara rohani, kita perlu melatih daya penilaian kita dengan tekun mengkaji Firman Tuhan dan menunjukkan kepatuhan. Namun, anak muda kita menghadapi lebih banyak cabaran untuk menjadi matang secara rohani. Rencana berikutnya akan membincangkan bagaimana mereka dapat mengatasinya dengan berjaya.

[Nota kaki]

^ per. 7 Sesetengah nama telah diubah.

Apakah yang Telah Anda Pelajari?

• Apakah ciri-ciri orang yang matang secara rohani, dan bagaimanakah kita dapat menjadi orang sedemikian?

• Bagaimanakah pengetahuan yang mendalam tentang Firman Tuhan membantu kita menjadi matang?

• Bagaimanakah kita menunjukkan kita benar-benar patuh?

• Apakah manfaat kematangan rohani?

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar]

Kita dapat menangani masalah dengan baik jika kita menerapkan nasihat Bible

[Gambar]

Orang Kristian selamat kerana menerapkan nasihat Yesus