Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Doa—Disampaikan kepada Siapa?

Doa—Disampaikan kepada Siapa?

SESETENGAH orang yang suka mencampuradukkan agama mengatakan bahawa kita boleh berdoa kepada sesiapa sahaja kerana semua doa akhirnya sampai ke tempat yang sama. Banyak orang juga setuju dengan hal itu. Tetapi apa pandangan anda?

Bible ada sebut bahawa banyak doa tidak didengari Tuhan. Hal ini kerana mereka berdoa kepada patung berhala, tetapi Tuhan membenci perbuatan itu. Mazmur 115:4-6 kata bahawa patung berhala “ada telinga tetapi tidak dapat mendengar.” Jadi, adakah anda ingin berdoa kepada seseorang yang tidak dapat mendengar?

Ada satu contoh Bible yang menunjukkan kebenaran hal ini. Pada zaman Nabi Elia, dia mencabar nabi-nabi Dewa Baal untuk berdoa kepada tuhan mereka. Kemudian Elia juga berdoa kepada Tuhannya. Tuhan yang menjawab doa ialah Tuhan yang benar. Nabi-nabi Baal menyahut cabaran Elia dan mula berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada dewa mereka. Setelah menyeru kepada Dewa Baal untuk masa yang lama, apakah yang berlaku? Bible berkata, ‘Tidak ada sesiapa yang menjawab seruan mereka. Seruan mereka masih tidak dipedulikan.’ (1 Raja-Raja 18:29) Bagaimana pula dengan doa Elia?

Sebaik sahaja Elia habis berdoa, Tuhannya menurunkan api dari langit dan membakar korban yang dipersembahkannya. Mengapakah doa Elia dijawab? Kuncinya terdapat di 1 Raja-Raja 18:36, 37. Dalam bahasa asal, doa Elia hanya mengandungi sekitar 30 perkataan. Tapi dalam doanya yang singkat itu, dia telah menggunakan nama Tuhan yang benar, iaitu Yehuwa, sebanyak tiga kali.

Baal pula merupakan tuhan orang Kanaan. Perkataan “Baal” bermaksud “pemilik” atau “tuan.” Di banyak tempat, orang menyembah Dewa Baal masing-masing. Namun, nama Yehuwa hanya digunakan untuk merujuk kepada satu individu di seluruh alam semesta. Tuhan Yehuwa memberitahu umat-Nya, “Aku ialah Yehuwa, itulah nama-Ku. Aku tidak akan memberikan kemuliaan-Ku kepada sesiapa pun.”​—Yesaya 42:8.

Jadi jelaslah bukan semua doa sampai ke tempat yang sama. Sebenarnya, Dewa Baal sangat berbeza daripada Tuhan yang benar. Orang yang menyembah Dewa Baal harus melakukan banyak perbuatan yang menjijikkan, seperti upacara seks dan bahkan mengorbankan anak-anak sendiri. Sebaliknya, penyembah Yehuwa diajar untuk hidup suci dan menjauhi perbuatan yang tidak bagus. Bayangkan contoh ini: Jika anda telah menulis sepucuk surat kepada kawan yang anda sayang dan hormati, sudah pasti anda tidak ingin surat ini sampai ke dalam tangan seseorang yang jahat dan keji, bukan?

Kisah Elia dan nabi-nabi Baal membuktikan bahawa bukan semua doa sampai ke tempat yang sama

Begitu juga dengan doa kita. Jika anda berdoa kepada Yehuwa, anda sedang menyampaikan isi hati anda kepada Bapa dan Pencipta kita. * Nabi Yesaya berdoa, “Engkau, ya Yehuwa, ialah Bapa kami.” (Yesaya 63:16) Selain itu, Yesus juga mengajar hal yang sama. Dia berkata kepada pengikutnya, “Aku akan pergi kepada Bapaku yang juga Bapa kamu, kepada Tuhanku yang juga Tuhan kamu.” (Yohanes 20:17) Ya, Yesus telah berdoa kepada Tuhan Yehuwa, iaitu Bapanya. Dia juga mengajar kita untuk melakukan hal yang sama.​—Matius 6:9.

Sesetengah orang berdoa kepada Yesus, Maria, santo, ataupun malaikat. Tetapi apakah yang diajarkan Bible? Bible kata kita harus berdoa kepada Yehuwa sahaja. Mengapa? Hal ini kerana doa ialah sebahagian daripada penyembahan kita kepada Tuhan dan kita patut menyembah Tuhan Yehuwa sahaja. (Keluaran 20:5) Selain itu, hanya Yehuwa dipanggil “Pendengar doa.” (Mazmur 65:2) Yehuwa tidak pernah memberikan tugas ini kepada mana-mana makhluk yang lain. Dia berjanji untuk mendengar semua doa kita.

Jadi, jika anda mahu doa anda didengari Tuhan, ingatlah nasihat dalam ayat Bible ini: “Semua orang yang menyeru nama Yehuwa akan diselamatkan.” (Kisah 2:21) Tetapi adakah semua doa diterima-Nya? Apakah hal-hal lain yang harus kita lakukan jika kita ingin doa kita diterima Yehuwa?

^ per. 9 Sesetengah orang kata bahawa kita tidak patut menggunakan nama Yehuwa. Tetapi semasa Bible ditulis, nama Yehuwa dicatat sekitar 7,000 kali. Kebanyakannya digunakan dalam lagu-lagu dan doa penyembah Tuhan yang setia.