Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Doa—Apakah Caranya?

Doa—Apakah Caranya?

BANYAK agama mengajar pengikutnya untuk berdoa. Tetapi mereka sering bertumpu pada kedudukan tubuh, kata-kata, atau upacara semasa berdoa. Bagaimana pula dengan Bible? Apakah ajaran Bible tentang doa?

Mula-mula, mari kita lihat bagaimana hamba Tuhan zaman dahulu berdoa. Ada yang berdoa secara senyap dalam hati, ada juga yang bersuara. Sesetengah berdoa dengan memandang ke langit, dan ada juga yang berlutut. Tidak kira apa cara pun mereka berdoa, yang penting mereka berdoa dari hati dan menggunakan kata-kata sendiri. Mereka tidak menggunakan buku doa, berhala, gambar, atau rosary.

Seperti yang sudah dibincangkan dalam rencana sebelumnya, doa harus ditujukan kepada Tuhan Yehuwa sahaja. Namun ada satu lagi hal yang penting. Satu Yohanes 5:14 kata, “Inilah keyakinan kita terhadap Tuhan: Jika kita memohon apa sahaja yang selaras dengan kehendak-Nya, Dia mendengarkan kita.” Maka doa kita haruslah selaras dengan kehendak Tuhan. Tapi bagaimanakah kita dapat mengetahui kehendak Tuhan?

Kita perlu belajar Bible dengan tekun untuk memahami kehendak Tuhan. Adakah ini bermaksud kita perlu menjadi pakar Bible? Tidak. Tetapi Tuhan mahu kita berusaha untuk belajar, faham, dan terapkan apa yang kita belajar.​—Matius 7:21-23.

Tuhan akan mendengar doa yang selaras dengan kehendak-Nya, disertai iman, dan disampaikan melalui nama Yesus

Semakin banyak kita belajar tentang Yehuwa dan kehendak-Nya, iman kita juga akan semakin bertambah. Itu ialah salah satu kunci yang penting semasa berdoa. Yesus kata, “Jika kamu beriman, semua perkara yang kamu minta dalam doa akan kamu terima.” (Matius 21:22) Apakah itu iman? Iman bukanlah kepercayaan yang membabi buta. Sebaliknya, iman haruslah berdasarkan bukti-bukti yang kukuh. (Ibrani 11:1) Walaupun kita tidak dapat melihat Tuhan, kita dapat beriman kepada-Nya. Bagaimana? Bible mengandungi banyak bukti yang menunjukkan bahawa Yehuwa wujud, boleh diharapkan, dan mahu mendengar doa-doa orang yang beriman kepada-Nya. Selain itu, kita juga boleh berdoa kepada Yehuwa untuk memberi kita iman yang lebih teguh. Dia pasti mengabulkan doa kita.​—Lukas 17:5; Yakobus 1:17.

Ada satu lagi kunci yang disebut oleh Yesus di Yohanes 14:6. Yesus kata, “Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.” Tapi adakah hal ini bermaksud kita patut berdoa kepada Yesus? Tidak. Sebaliknya, doa kita harus disampaikan melalui nama Yesus. Barulah Yehuwa akan mendengar doa kita.​—Yohanes 14:13; 15:16.

Pernah sekali, sahabat-sahabat Yesus kata kepadanya, “Tuan, ajarlah kami cara untuk berdoa.” (Lukas 11:1) Memandangkan mereka sudah lama menyembah Yehuwa, mereka pasti tahu cara untuk berdoa. Jadi, apakah maksud soalan mereka?