Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Doa—Bila dan Di Mana?

Doa—Bila dan Di Mana?

BANYAK agama sangat mementingkan tempat ibadat yang cantik dan menggalakkan pengikut mereka untuk berdoa di sana. Ada sesetengah agama pula yang menyatakan bahawa pengikutnya harus berdoa pada masa yang tertentu. Apakah pandangan Bible?

Bible memang menyebut beberapa masa yang sesuai untuk berdoa. Contohnya, sebelum Yesus makan bersama murid-muridnya, dia mengucapkan syukur kepada Tuhan. (Lukas 22:17) Pengikutnya juga berkumpul bersama untuk beribadat dan berdoa. Sejak dulu lagi, orang Yahudi berdoa di rumah ibadat dan Rumah Tuhan di Yerusalem. Yehuwa mahu Rumah-Nya menjadi “tempat berdoa bagi semua bangsa.”​—Markus 11:17.

Apabila penyembah Tuhan berkumpul bersama dengan bersatu padu, doa mereka pun akan menyenangkan hati-Nya. Ada kalanya, doa sebegini mungkin menggerakkan Tuhan untuk bertindak bagi pihak mereka. (Ibrani 13:18, 19) Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa biasanya bermula dan berakhir dengan doa. Pernahkah anda menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa?

Bible menunjukkan bahawa hamba-hamba Tuhan pada masa dulu berdoa pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Yesus pernah kata, “Semasa kamu berdoa, masuklah ke dalam bilik sendiri dan tutuplah pintu, lalu berdoalah kepada Bapamu yang berada di tempat rahsia-Nya. Dengan itu, Bapamu yang melihat dari tempat rahsia-Nya akan memberkati kamu.”​—Matius 6:6.

Kita boleh berdoa pada bila-bila masa dan di mana saja

Bayangkan anda dapat berdoa kepada Pemerintah alam semesta pada bila-bila saja! Dia juga berjanji untuk mendengar doa anda. Yesus tahu bahawa dia dapat meluahkan apa sahaja kepada Bapanya. Dia sentiasa mencari peluang untuk bersendirian dan berdoa. Semasa dia harus membuat keputusan yang sangat penting, dia juga berdoa kepada Bapanya sepanjang malam.​—Lukas 6:12, 13.

Hamba Tuhan pada masa dulu pun selalu berdoa semasa mereka menghadapi cabaran atau semasa perlu membuat keputusan yang penting. Ada yang berdoa dalam hati, secara lantang, berkumpulan, atau secara bersendirian. Yang penting mereka rajin berdoa. Bible kata, “Berdoalah sentiasa.” (1 Tesalonika 5:17) Yehuwa tidak jemu mendengar doa orang yang melakukan kehendak-Nya.

Tapi, banyak orang fikir bahawa doa tiada gunanya. Adakah doa benar-benar bermanfaat? Mari kita lihat jawapannya.