Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Doa—Adakah Tuhan Akan Mendengar dan Menjawab Doa Kita?

Doa—Adakah Tuhan Akan Mendengar dan Menjawab Doa Kita?

BANYAK orang ingin tahu jawapan kepada soalan ini. Bible memberi jaminan bahawa Yehuwa mendengar doa kita. Tetapi, apakah yang harus kita ingat?

Mari kita kembali ke zaman Yesus. Dia mengutuk para pemimpin agama kerana doa mereka tidak ikhlas. Mereka suka menunjuk-nunjuk dan berpura-pura alim di depan orang. Yesus kata bahawa mereka sudah “mendapat semua ganjaran mereka.” (Matius 6:5) Apakah maksudnya? Memandangkan pemimpin agama mendahagakan perhatian orang, itulah yang mereka dapat. Tetapi, Tuhan tidak akan mendengar doa mereka. Apakah pengajarannya? Jika kita mengetepikan kehendak Tuhan dan tidak mengikut haluan-Nya, doa kita pun tidak akan diterima-Nya.

Selain itu, Bible kata, “Tuhan tidak berat sebelah. Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.” (Kisah 10:34, 35) Jadi, tidak kira apa pun bangsa, bahasa, dan keadaan hidup kita, Yehuwa sudi mendengar doa kita jika kita menghormati-Nya dan melakukan apa yang baik di mata-Nya. Dengan mengkaji Bible, anda dapat belajar cara untuk menyenangkan hati Tuhan dan memastikan doa anda diperkenankan-Nya.

Ada orang yang harap agar Tuhan menjawab doa mereka melalui mukjizat. Tetapi, Bible menyatakan bahawa mukjizat-mukjizat telah berakhir selepas zaman para rasul. (1 Korintus 13:8-10) Sebenarnya pada zaman Bible pun, mukjizat bukanlah peristiwa sehari-harian. Setelah satu mukjizat berlaku, ratusan tahun mungkin berlalu sebelum mukjizat seterusnya berlaku. Jika demikian, adakah ini bermaksud Dia tidak menjawab doa kita? Sudah pasti tidak! Mari kita lihat bagaimana Dia menjawab kita.

Tuhan memberikan kebijaksanaan. Yehuwa ialah Sumber kebijaksanaan sejati. Dia sangat murah hati. Dia memberikan kebijaksanaan kepada orang yang hidup mengikut prinsip-Nya.​—Yakobus 1:5.

Tuhan memberikan kuasa suci-Nya dan bantuan lain. Kuasa suci Tuhan ialah kuasa yang paling hebat di seluruh alam semesta. Kuasa suci Tuhan dapat membantu kita bertabah, memberi kita ketenangan jiwa, dan membantu kita memupuk sifat yang baik. (Galatia 5:22, 23) Yesus kata bahawa Yehuwa sangat sudi memberikan kuasa suci-Nya kepada mereka yang meminta daripada-Nya.​—Lukas 11:13.

Tuhan memberikan pengetahuan tentang kebenaran kepada orang yang mencari-Nya. (Kisah 17:26, 27) Di seluas dunia, ada banyak orang yang ingin tahu kebenaran tentang Tuhan, nama-Nya, tujuan-Nya bagi bumi dan manusia, dan cara untuk menghampiri-Nya. (Yakobus 4:8) Saksi-Saksi Yehuwa sering bertemu dengan orang yang berhati jujur dan membantu mereka mengetahui jawapan Bible kepada topik-topik itu.

Adakah anda juga sedang mencari-cari Tuhan yang benar? Jika ya, Yehuwa mungkin sedang menjawab doa anda melalui majalah ini.