Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Taman Eden Benar-Benar Pernah Wujud?

Adakah Taman Eden Benar-Benar Pernah Wujud?

Adakah Taman Eden Benar-Benar Pernah Wujud?

PERNAHKAH anda dengar kisah tentang Adam dan Hawa yang tinggal di Taman Eden? Banyak orang tahu tentang cerita ini. Bacalah kisahnya dalam Bible di Kejadian 1:26–3:24. Inilah ringkasannya:

Mula-mula, Tuhan Yehuwa * menciptakan seorang lelaki daripada tanah. Dia menamakannya Adam dan menempatkannya di sebuah taman di kawasan yang dipanggil Eden. Taman ini sangat cantik dan mempunyai banyak pokok yang berbuah. Di tengah-tengah taman itu ada “pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat.” Tuhan melarang manusia makan buah daripada pokok itu. Jika mereka makan buah yang dilarang itu, mereka akan mati. Pada kemudian hari, Yehuwa menggunakan salah satu tulang rusuk Adam untuk menciptakan seorang isteri baginya. Wanita itu diberi nama Hawa. Tuhan memberikan tugas kepada mereka untuk menjaga taman itu, beranak cucu, dan memenuhi bumi dengan keturunan mereka.

Pada suatu hari, semasa Hawa bersendirian, seekor ular bercakap kepadanya dan menggodanya untuk makan buah yang dilarang. Ular itu kata bahawa Tuhan telah menipu Hawa dan sedang menahan apa yang baik daripadanya. Jika Hawa makan buah itu, dia akan menjadi seperti Tuhan. Maka, Hawa pun makan buah yang dilarang itu dan memberinya kepada Adam. Oleh sebab mereka telah mengingkari perintah Yehuwa, Dia menjatuhkan hukuman ke atas Adam, Hawa, dan ular itu. Selepas Adam dan Hawa diusir dari Taman Eden, para malaikat ditugaskan untuk menjaga jalan masuk ke taman itu.

Pada suatu ketika dahulu, para cendekiawan dan sejarawan berusaha mencari bukti yang dapat menyokong kesahihan kisah di buku Kejadian. Tetapi, kebelakangan ini, orang lebih cenderung meragui kisah ini. Mengapa? Mari kita lihat empat alasan yang sering digunakan oleh mereka.

1. Adakah Taman Eden tempat yang betul-betul wujud?

Mengapakah persoalan ini timbul? Selama ratusan tahun, pakar keagamaan percaya bahawa Taman Eden masih wujud. Tetapi, gereja dipengaruhi oleh pandangan ahli falsafah seperti Plato dan Aristotle yang mengatakan bahawa tiada apa-apa yang sempurna di bumi. Kesempurnaan hanya wujud di syurga. Maka, pakar-pakar itu pun mula percaya bahawa Taman Eden berada di tempat yang dekat dengan syurga. * Ada yang kata bahawa Taman Eden berada di puncak gunung yang sangat tinggi dan jauh dari planet yang fana ini. Yang lain pula percaya bahawa Taman Eden berada di Kutub Utara, Kutub Selatan, bulan, atau kawasan yang berdekatan dengan bulan. Pandangan sebegini membuat orang fikir bahawa Taman Eden cuma suatu fantasi. Sesetengah pakar hari ini juga kata bahawa lokasi Taman Eden yang disebut dalam Bible tidak masuk akal.

Sebenarnya, penjelasan Bible tentang Taman Eden sangat berbeza daripada pandangan orang yang disebut tadi. Di Kejadian 2:8-14, kita diberitahu maklumat spesifik tentang Taman Eden. Contohnya, taman ini terletak di bahagian timur kawasan yang dipanggil Eden, dan terdapat sebatang sungai yang bercabang menjadi empat batang sungai. Setiap sungai itu mempunyai nama dan terdapat maklumat ringkas tentang kawasan yang diairi sungai-sungai itu. Banyak pakar cuba menggunakan maklumat ini untuk mencari lokasi Taman Eden tetapi mereka mencapai kesimpulan yang berlainan. Adakah hal ini bermaksud bahawa maklumat tentang taman ini dan sungai-sungainya adalah palsu?

Tidak. Fikirkan hal ini: Musa mungkin mendapat maklumat tentang Taman Eden melalui sumber lisan atau catatan yang wujud pada masa itu. Sekitar 2,500 tahun selepas peristiwa yang berlaku di Taman Eden, Musa telah menulis buku Kejadian. Bukan itu sahaja, sekarang sekitar 6,000 tahun sudah berlalu sejak peristiwa di Taman Eden. Mungkinkah bentuk muka bumi, termasuk sungai, berubah dengan peredaran waktu? Ya. Hal ini kerana lapisan kerak bumi sentiasa bergerak. Selain itu, kawasan yang mungkin merangkumi Taman Eden yang asal terletak pada lingkaran gempa bumi. Kira-kira 17 peratus daripada gempa bumi yang terbesar berlaku di kawasan itu. Maka, tidak hairanlah jika bentuk muka bumi di situ mengalami banyak perubahan. Lagipun, banjir yang berlaku pada zaman Nuh mungkin mengubah topografi tempat itu secara drastik. *

Perhatikan fakta berikut: Bible menggambarkan Taman Eden sebagai suatu tempat yang benar-benar wujud. Dua daripada empat sungai yang disebut, iaitu Sungai Efrat dan Tigris, atau Hidekel, masih wujud hari ini. Sesetengah punca air sungai itu sangat berdekatan. Ayat Bible juga memberitahu kita kawasan yang dilalui sungai-sungai itu dan sumber semula jadi yang terdapat di kawasan tersebut. Maka, perincian yang disebut itu pasti telah membantu orang Israel kuno yang membacanya.

Fikirkan juga hal ini: Biasanya cerita dongeng tidak mengandungi butiran terperinci dan selalunya bermula dengan kata-kata seperti, “Pada zaman dahulu di suatu tempat yang sangat jauh . . . .” Jika kisah Taman Eden sekadar cerita dongeng, besar kemungkinan kisah ini tidak akan mengandungi begitu banyak perincian.

2. Adakah masuk akal untuk percaya bahawa Tuhan menciptakan Adam daripada tanah dan Hawa daripada salah satu tulang rusuk Adam?

Kajian sains menunjukkan bahawa tubuh manusia terdiri daripada pelbagai unsur seperti hidrogen, oksigen, dan karbon. Semua unsur ini boleh dijumpai dalam kerak bumi. Bagaimanakah manusia dapat wujud daripada semua unsur ini?

Banyak ahli sains kata bahawa kehidupan wujud secara rawak dan dengan sendiri. Hal ini berlaku dalam jangka masa berjuta-juta tahun. Mereka percaya bahawa kehidupan bermula daripada sel-sel ringkas yang beransur-ansur menjadi lebih kompleks. Tetapi, sel yang dianggap “ringkas,” termasuk sel tunggal yang sangat kecil pun sebenarnya sangat kompleks. Tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa kehidupan dapat wujud dengan sendiri. Sebaliknya, reka bentuk benda hidup menunjukkan bahawa terdapat pereka bijaksana yang jauh lebih unggul daripada manusia. *​—Roma 1:20.

Adakah hal ini masuk akal? Jika anda mendengar sebuah orkestra yang hebat, melihat bangunan yang canggih, atau mengamati lukisan yang cantik, adakah anda akan berfikir bahawa semua itu muncul dengan sendiri? Pasti tidak! Apabila dibandingkan dengan semua karya ciptaan itu, tubuh manusia adalah jauh lebih kompleks. Selain itu, Bible menyatakan bahawa hanya manusia diciptakan dalam gambaran Tuhan. (Kejadian 1:26) Maka, hanya manusia dapat menghasilkan karya seni, muzik, dan teknologi yang hebat. Jika manusia dapat melakukan semua perkara ini, sudah pasti Pencipta kita, iaitu Tuhan, dapat melakukannya dengan cara yang lebih unggul.

Memandangkan Tuhan dapat menciptakan manusia daripada tanah, tidaklah susah bagi-Nya untuk menciptakan wanita daripada tulang rusuk lelaki. * Sebenarnya, Tuhan boleh menggunakan cara lain untuk menciptakan wanita. Tetapi, Dia mahu menunjukkan bahawa lelaki dan wanita akan mempunyai ikatan yang rapat. Mereka akan berkahwin dan “menjadi satu.” (Kejadian 2:24) Sememangnya, sifat-sifat lelaki dan wanita saling melengkapi dan mereka dapat menjalin hubungan yang erat. Tidakkah hal itu menunjukkan bahawa seorang Pencipta yang bijak dan pengasih wujud?

Selain itu, pakar genetik telah mengakui bahawa besar kemungkinan semua manusia merupakan keturunan seorang lelaki dan seorang wanita. Maka, kisah Kejadian bukanlah cerita yang tidak berasas.

3. Pokok pengetahuan dan pokok kehidupan kedengaran seperti sesuatu yang wujud dalam cerita dongeng.

Buku Kejadian tidak mengajar bahawa pokok-pokok ini ada kuasa ghaib. Sebaliknya, pokok-pokok ini ialah pokok biasa tetapi merupakan suatu lambang.

Untuk memahami hal ini, fikirkan contoh yang berlaku di bilik mahkamah. Jika seseorang melakukan atau mengatakan sesuatu yang tidak patut, hakim akan memberinya amaran kerana perbuatannya menghina mahkamah. Adakah ini bermaksud bahawa orang itu menghina perabot, dinding, atau peralatan dalam bilik mahkamah itu? Tidak! Apa yang dimaksudkan ialah orang itu sedang menghina sistem pengadilan yang dilambangkan oleh mahkamah. Selain contoh ini, mahkota dan tongkat diraja sering digunakan untuk melambangkan kekuasaan seorang pemerintah.

Maka, apakah yang dilambangkan oleh dua pokok itu? Jawapannya jelas. Pokok pengetahuan melambangkan hak Tuhan untuk menentukan apa yang baik dan apa yang jahat. (Yeremia 10:23) Memandang hanya Tuhan memiliki hak itu, perbuatan mengambil buah daripada pokok itu ialah jenayah yang berat. Bagaimana pula dengan pokok kehidupan? Pokok itu melambangkan hadiah kehidupan kekal yang hanya dapat diberikan oleh Tuhan.​—Roma 6:23.

4. Ular yang dapat bercakap tidak wujud dalam dunia sebenar.

Memang, kisah tentang ular yang dapat bercakap kedengaran pelik dan seperti sesuatu yang wujud dalam mitos. Tetapi, apabila kita mengkaji Bible secara keseluruhan, misteri tentang ular ini akan terungkai.

Kita tahu bahawa binatang seperti ular tidak dapat bercakap. Tetapi, makhluk roh dapat membuat binatang kelihatan seolah-olah sedang bercakap. Contohnya, Musa mencatatkan kisah tentang malaikat Tuhan yang menyebabkan keldai Bileam bercakap.​—Bilangan 22:26-31; 2 Petrus 2:15, 16.

Dapatkah makhluk roh yang lain melakukan hal luar biasa sebegitu? Dalam Bible, Musa telah melihat tukang sihir dan orang yang berilmu di Mesir menukar tongkat menjadi ular. Maka, makhluk roh yang bermusuhan dengan Tuhan juga mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat.​—Keluaran 7:8-12.

Siapakah musuh Tuhan yang utama? Dalam buku Ayub yang ditulis oleh Musa, kita belajar bahawa musuh utama Tuhan ialah Syaitan. Dia juga mencabar kesetiaan semua penyembah Yehuwa. (Ayub 1:6-11; 2:4, 5) Maka, orang Israel kuno pasti percaya bahawa Syaitanlah yang membuat ular itu bercakap untuk menipu Hawa dan membuatnya melawan perintah Tuhan.

Perhatikan juga apa yang dikatakan oleh Yesus. Dia memanggil Syaitan sebagai “pendusta dan bapa segala dusta.” (Yohanes 8:44) Istilah “bapa segala dusta” menunjukkan bahawa Syaitanlah yang mengucapkan dusta yang pertama. Dia menyamar sebagai ular dan menipu Hawa. Dia berkata bahawa Hawa “pasti tidak akan mati” selepas memakan buah yang dilarang. (Kejadian 3:4) Jelaslah Yesus tahu bahawa Syaitan yang membuat ular itu bercakap. Oleh itu, dia memanggil Syaitan Si Iblis sebagai “ular tua.”​—Wahyu 1:1; 12:9.

Sebenarnya, manusia pun mempunyai kebolehan untuk membuat patung boneka kelihatan seolah-olah sedang bercakap. Jika begitu, sudah pasti makhluk roh yang berkuasa dapat membuat hal sedemikian dengan jauh lebih mahir.

Bukti yang Paling Kukuh

Setelah mengkaji maklumat di atas, kita boleh yakin bahawa kisah dalam buku Kejadian benar-benar pernah berlaku. Tetapi apakah bukti yang paling kukuh?

Kita boleh mengkaji kata-kata “saksi yang setia dan benar,” iaitu Yesus. (Wahyu 3:14) Sebagai manusia yang sempurna, dia tidak pernah menipu atau memutarbelitkan kebenaran. Bible kata Yesus wujud “sebelum dunia ada.” (Yohanes 17:5) Maka, dia telah menyaksikan hal-hal yang berlaku di bumi sejak awal lagi. Apakah yang dikatakannya?

Yesus telah menggunakan contoh Adam dan Hawa untuk mengajar pendengarnya tentang piawaian Yehuwa bagi perkahwinan. (Matius 19:3-6) Memandangkan Yesus sudah wujud di syurga pada masa Adam dan Hawa diciptakan, apa yang dikatakannya tentang mereka pastilah kebenaran!

Sebenarnya, orang yang meragui kesahihan kisah dalam buku Kejadian sedang mempersoalkan segala ajaran Yesus. Jika begitu, mustahil bagi mereka untuk memahami tema utama dalam Bible dan janji-janjinya. Mengapa kita dapat berkata demikian? Mari lihat di rencana seterusnya.

[Nota kaki]

^ per. 3 Dalam Bible, Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan.

^ per. 7 Pandangan ini tidak berdasarkan Bible. Selepas Tuhan Yehuwa selesai kerja penciptaan di bumi, Bible kata “Dia sangat berpuas hati” dengan ciptaan-Nya. (Kejadian 1:31) Hal ini menunjukkan bahawa semua hasil kerja Tuhan adalah sempurna. Kejahatan dan ketidaksempurnaan tidak berasal daripada Tuhan.—Ulangan 32:4, 5.

^ per. 9 Banjir pada zaman Nuh dibawa oleh Tuhan dan telah melenyapkan Taman Eden. Yehezkiel 31:18 menyiratkan bahawa “pokok-pokok di Eden” tidak lagi wujud pada abad ketujuh SM. Maka, usaha untuk mencari Taman Eden adalah sia-sia sahaja.

^ per. 14 Lihat brosur Asal Usul Kehidupan—Lima Soalan yang Patut Difikirkan yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

^ per. 16 Menariknya, sains perubatan menunjukkan bahawa tulang rusuk mempunyai keupayaan untuk sembuh dengan cepat. Tidak seperti tulang lain, tulang rusuk dapat tumbuh kembali jika masih ada membran tisu penghubung.