Lompat ke kandungan

Buat Keputusan yang Memuliakan Tuhan

Buat Keputusan yang Memuliakan Tuhan

Buat Keputusan yang Memuliakan Tuhan

“Orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.”—AMS. 14:15.

1, 2. (a) Apakah hal terpenting semasa kita membuat keputusan? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

SETIAP hari, kita perlu buat banyak keputusan. Ada antaranya kecil, dan ada yang lebih besar dan dapat mempengaruhi hidup kita. Yang terpenting, kita ingin keputusan kita menyenangkan hati Tuhan.​—Baca 1 Korintus 10:31.

2 Adakah anda rasa senang untuk membuat keputusan? Jika kita mahu menjadi orang Kristian yang matang secara rohani, kita perlu belajar cara untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah. Keputusan yang kita buat harus mencerminkan pendirian kita dan bukan pendirian orang lain. (Rm. 12:1, 2; Ibr. 5:14) Mengapakah kita perlu belajar cara untuk membuat keputusan yang baik? Apakah cabaran yang mungkin kita hadapi? Apakah langkah-langkah yang membantu kita membuat keputusan yang memuliakan Tuhan?

Mengapakah Kita Perlu Buat Keputusan?

3. Apakah hal-hal yang boleh menyebabkan kita membuat keputusan yang tidak bijak?

3 Jika kita tidak mempunyai pendirian dalam hal yang berkaitan dengan prinsip Bible, rakan sekolah atau rakan kerja kita akan fikir bahawa kita tidak serius tentang kepercayaan kita. Akibatnya, mereka mungkin mempengaruhi kita untuk melakukan perkara jahat seperti menipu atau mencuri. (Kel. 23:2) Tetapi, jika kita tahu cara untuk membuat keputusan yang memuliakan Tuhan, kita tidak akan bertolak ansur hanya kerana kita takut atau ingin diterima kawan.​—Rm. 13:5.

4. Mengapakah orang lain ingin campur tangan semasa kita membuat keputusan?

4 Kadangkala kawan atau saudara-mara yang berniat baik dan mengambil berat tentang kita mungkin mendesak kita untuk mengikut nasihat mereka. Maka, mereka ingin campur tangan terutamanya semasa kita berdepan dengan keputusan yang besar. Contohnya, semasa kita perlu membuat keputusan dalam hal perubatan, mereka mungkin tahu kita tidak akan menerima transfusi darah kerana ini jelas dilarang dalam Bible. (Kis. 15:28, 29) Tetapi dalam hal perubatan yang lain, mereka mungkin berkeras dan mahu kita mengikut pandangan mereka. Jika kita menghadapi situasi sebegini, ingatlah bahawa keputusan kita ialah “tanggungan [kita] masing-masing.” (Gal. 6:4, 5) Jadi, kita mahu memastikan bahawa keputusan kita menyenangkan hati Tuhan dan tidak mengganggu hati nurani kita.​—1 Tim. 1:5.

5. Bagaimanakah kita dapat memastikan iman kita tidak hancur bagaikan kapal yang karam?

5 Yakobus menulis tentang sesetengah orang yang susah membuat keputusan dan “teragak-agak dalam segala perbuatannya.” (Yak. 1:8) Hal ini sangat bahaya. Mengapa? Bayangkan jika sebuah kapal tidak mempunyai kemudi untuk mengawalnya. Apakah yang akan berlaku jika angin ribut bertiup? Pasti kapal itu akan terumbang-ambing dipukul ombak lalu karam! Begitu juga, jika seseorang tidak berpendirian dan membiarkan orang lain mempengaruhi keputusannya, imannya mungkin hancur. (1 Tim. 1:19) Dia mungkin menyesali keputusan itu dan menyalahkan orang lain. Bagaimanakah situasi ini dapat dielakkan? Bible kata kita harus “memantapkan iman” kita. (Baca Kolose 2:6, 7.) Jadi, semasa membuat keputusan, kita mesti bersandar pada piawaian Bible. (2 Tim. 3:14-17) Namun, apakah sesetengah cabaran yang mungkin timbul semasa membuat keputusan?

Cabaran semasa Membuat Keputusan

6. Bagaimanakah perasaan takut dapat mempengaruhi kita?

6 Perasaan takut mungkin menyebabkan ramai orang teragak-agak untuk membuat keputusan. Mereka takut gagal, kelihatan bodoh, atau membuat keputusan yang salah. Memang tiada orang yang mahu buat keputusan yang salah. Jadi, apakah yang dapat membantu kita mengatasi rasa takut dan membuat keputusan yang bijak? Kasih kepada Tuhan dan Firman-Nya. Jika kita mengasihi Tuhan, kita akan terdorong untuk mencari bimbingan-Nya daripada Bible dan bahan bacaan Bible sebelum membuat keputusan yang penting. Sememangnya, Bible dapat “membantu orang yang tidak berpengalaman agar bertindak dengan bijak, dan untuk membantu orang muda memperoleh pengetahuan dan berfikir dengan baik.”​—Ams. 1:4.

7. Apakah yang kita belajar daripada contoh Raja Daud?

7 Adakah hal ini bermaksud kita tidak akan buat keputusan yang salah? Sudah tentu tidak. Memandangkan kita tidak sempurna, kita akan berbuat silap dari masa ke masa. (Rm. 3:23) Sebagai contoh, Raja Daud ialah hamba Tuhan yang bijak dan setia. Namun, dia pun pernah buat keputusan yang kurang bijak dan membawa akibat yang buruk kepada dirinya dan orang lain. (2 Sam. 12:9-12) Walaupun begitu, hal itu tidak melumpuhkan Daud. Dia terus berusaha membuat keputusan yang menyenangkan hati Tuhan. (1 Raj. 15:4, 5) Seperti Raja Daud, anda mungkin pernah membuat keputusan yang kurang bijak. Namun, janganlah biarkan hal itu menghalang anda daripada membuat keputusan pada masa depan. Ingatlah, Yehuwa akan terus menyokong anda dan memaafkan anda jika anda terus mematuhi dan mengasihi-Nya.​—Mzm. 51:1-4, 7-10.

8. Apakah yang kita belajar daripada kata-kata Paulus tentang keputusan untuk berkahwin atau membujang?

8 Bagaimanakah kita dapat mengurangkan rasa khuatir dan takut semasa membuat keputusan? Satu cara adalah dengan menyedari bahawa dalam sesetengah perkara, terdapat beberapa pilihan atau keputusan yang betul. Sebagai contoh, anda mungkin ragu-ragu sama ada keputusan untuk berkahwin atau membujang ialah keputusan yang betul. Perhatikanlah kata-kata Paulus yang berikut: “Jika seseorang yang belum berkahwin berasa bahawa dia tidak dapat mengawal nafsunya, dan jika dia sudah melewati masa remaja, inilah yang harus dilakukan: Biarlah dia melakukan apa yang ingin dilakukannya; dia tidak berdosa. Biarlah mereka berkahwin. Namun seseorang mungkin berasa bahawa dia tidak perlu berkahwin dan dapat mengawal nafsunya. Dia mungkin sudah bertekad untuk tidak berkahwin, dan membuat keputusan ini dalam hatinya sendiri. Jika demikian, dia melakukan hal yang baik.” (1 Kor. 7:36-38) Walaupun Paulus menggalakkan orang untuk tetap membujang, kata-katanya menunjukkan bahawa pilihan untuk berkahwin juga tidak salah.

9. Perlukah kita mengambil kira pandangan orang lain semasa kita membuat keputusan? Jelaskan.

9 Perlukah kita mengambil kira pandangan orang lain semasa kita membuat keputusan? Ya. Kita perlu fikirkan kesan pilihan kita terhadap hati nurani orang lain. Contohnya, perhatikan apa yang Paulus kata mengenai makanan yang mungkin dipersembahkan kepada berhala. Walaupun tidak salah untuk memakannya, orang Kristian harus fikir tentang kesan keputusannya. Paulus menulis, “Jika makanan membuat saudaraku tersandung, aku langsung tidak akan makan daging lagi agar aku tidak membuat saudaraku tersandung.” (1 Kor. 8:4-13) Selain mempertimbangkan pandangan orang, yang paling penting ialah pandangan Tuhan. (Baca Roma 14:1-4.) Jadi, mari kita lihat beberapa prinsip Bible yang dapat membantu kita membuat keputusan yang menggembirakan Tuhan.

Enam Langkah untuk Membuat Keputusan yang Bijak

10, 11. (a) Bagaimanakah kita dapat memastikan kita tidak bertindak melampaui batas dalam keluarga? (b) Apakah yang perlu para penatua ingat semasa membuat keputusan?

10 Jangan melampaui batas. Sebelum membuat suatu keputusan, tanyalah diri, “Adakah saya berhak membuat keputusan ini? Atau adakah saya sedang bersikap angkuh?” Raja Salomo berkata, “Di mana ada keangkuhan, di situ ada kehinaan, tetapi kebijaksanaan ada pada orang yang rendah hati.”​—Ams. 11:2.

11 Dalam keluarga, ibu bapa mungkin memberi anak-anak kebebasan untuk membuat sesetengah keputusan. Tetapi, hal itu tidak bermaksud bahawa anak-anak dapat bertindak sesuka hati. (Kol. 3:20) Para isteri dan ibu pun mempunyai kuasa tertentu dalam keluarga. Namun, mereka patut tunduk kepada ketua keluarga. (Ams. 1:8; 31:10-18; Ef. 5:23) Para suami pula perlu ingat bahawa kuasa mereka juga terhad. Mereka perlu tunduk kepada Kristus. (1 Kor. 11:3) Dalam sidang, para penatua harus ingat nasihat Bible ini: “Janganlah lakukan sesuatu yang melebihi apa yang tertulis [dalam Firman Tuhan].” (1 Kor. 4:6) Keputusan mereka dapat mempengaruhi sidang. Jadi, mereka harus mengikut arahan daripada hamba yang setia dengan teliti. (Mat. 24:45-47) Apabila kita rendah hati dan ingat batas sendiri, kita dapat mengelakkan banyak masalah dan kesedihan semasa membuat keputusan.

12. (a) Mengapakah kita perlu membuat penyelidikan? (b) Bagaimanakah hal ini dapat dilakukan?

12 Buatlah penyelidikan. Hal ini penting kerana Bible kata, “Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan, tetapi tindakan yang tergesa-gesa akan mengakibatkan kemiskinan.” (Ams. 21:5) Bagaimanakah anda dapat membuat penyelidikan? Perhatikan contoh ini: Katakan anda ingin mula berniaga. Sudah pasti anda tidak mahu terbawa-bawa oleh perasaan sendiri. Sebaliknya, anda akan berusaha mendapatkan maklumat yang diperlukan dan mempertimbangkan prinsip Bible yang berkaitan. Anda juga boleh minta nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman. (Ams. 20:18) Selain itu, Bible kata bahawa anda harus “mengira perbelanjaannya.” (Luk. 14:28) Selepas mengumpulkan maklumat, buatlah dua senarai: Satu tentang kebaikannya dan satu lagi tentang keburukannya. Kemudian, pertimbangkan bagaimana keputusan anda akan mempengaruhi anda dari segi kewangan dan rohani. Sudah tentu, masa dan usaha diperlukan untuk membuat penyelidikan. Tetapi bak kata pepatah, “Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.” Dengan mengambil langkah ini, anda dapat elakkan daripada membuat keputusan secara terburu-buru dan menanggung akibatnya.

13. (a) Apakah jaminan yang kita peroleh daripada Yakobus 1:5? (b) Apakah manfaatnya jika kita berdoa meminta kebijaksanaan daripada Tuhan?

13 Berdoa untuk kebijaksanaan. Untuk membuat keputusan yang bijak, kita perlu melibatkan Tuhan. Yakobus menulis, “Jika ada sesiapa antara kamu yang kurang bijaksana, hendaklah dia terus meminta kebijaksanaan daripada Tuhan. Tuhan tidak akan memarahinya. Sebaliknya, Tuhan akan menunaikan permintaannya kerana Dia murah hati terhadap semua orang.” (Yak. 1:5) Kita tidak perlu rasa malu untuk berdoa meminta kebijaksanaan. (Ams. 3:5, 6) Jika kita hanya ikut fikiran sendiri, kita mudah mengambil langkah yang salah. Sebuah pepatah berbunyi, “Ikut hati mati, ikut rasa binasa.” Maka adalah baik untuk bergantung pada kebijaksanaan Tuhan dan nasihat-Nya dalam Bible. Melalui kuasa suci-Nya, kita juga dapat dibantu untuk menyelidiki niat hati sendiri secara jujur.​—Ibr. 4:12; baca Yakobus 1:22-25.

14. Mengapakah kita tidak patut berlengah-lengah semasa membuat keputusan?

14 Buat keputusan anda. Biarpun kita tidak patut tergesa-gesa membuat keputusan, kita juga tidak mahu asyik menangguhkannya. Setelah anda membuat penyelidikan, berdoa untuk kebijaksanaan, dan ‘merenungkan setiap langkah’ yang perlu diambil, janganlah berlengah-lengah untuk membuat keputusan. (Ams. 14:15) Seseorang yang mahu mengelak daripada membuat keputusan mungkin memberi banyak alasan. (Ams. 22:13) Tapi hakikatnya, dengan berlengah-lengah, dia telah pun membuat suatu keputusan, iaitu dia memilih untuk membiarkan orang lain membuat keputusan baginya.

15, 16. Bagaimanakah kita dapat melaksanakan keputusan yang telah kita buat?

15 Lakukan apa yang telah diputuskan. Jika kita sekadar membuat keputusan tetapi tidak melaksanakannya, hal itu sia-sia saja. Salomo berkata, “Lakukanlah apa sahaja dengan sepenuh hati.” (Pkh. 9:10) Untuk melaksanakan apa yang telah kita putuskan, kita harus bertindak selaras dengan tekad kita. Contohnya, seorang penyiar ingin merintis. Untuk berjaya, dia harus memastikan dia tidak membiarkan kerja atau rekreasi mengambil terlalu banyak masa dan tenaga sehingga dia tidak dapat memenuhi masa menginjil yang ditetapkan.

16 Keputusan yang terbaik biasanya bukanlah yang paling senang untuk dilakukan. Mengapa? Kerana “seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat.” (1 Yoh. 5:19) Kita harus bergelut “melawan pemerintah dunia yang gelap ini, dan melawan roh-roh jahat di syurga.” (Ef. 6:12) Paulus dan Yudas menunjukkan bahawa usaha yang keras diperlukan untuk membuat keputusan yang menyenangkan hati Tuhan.​—1 Tim. 6:12; Yud. 3.

17. Apakah yang Yehuwa ingin kita lakukan jika keputusan kita tidak membuahkan hasil yang diingini?

17 Buat pertimbangan dan penyesuaian jika perlu. Bukan semua keputusan yang dibuat membuahkan hasil yang diingini. Bible kata, “Waktu dan kejadian yang tidak terduga menimpa semua orang.” (Pkh. 9:11) Walaupun begitu, Yehuwa tidak mahu kita cepat mengubah fikiran, terutamanya dalam hal yang penting. Contohnya, dalam soal pembaktian dan ikrar perkahwinan, Tuhan ingin kita berusaha sedaya upaya untuk berpegang teguh pada keputusan kita biarpun menghadapi cabaran. (Baca Mazmur 15:1, 2, 4.) Namun kebanyakan keputusan kita tidak sepenting hal-hal yang disebut tadi. Walaupun begitu, dari masa ke masa, kita patut menilai keputusan kita untuk melihat sama ada penyesuaian perlu dibuat atau tidak. Kadangkala, kita mungkin perlu mengubah fikiran kita dan membuat pilihan yang lebih bijak. Jika demikian, kita tidak mahu bersikap degil atau sombong dan enggan berganjak. (Ams. 16:18) Bagi kita, hal yang terpenting adalah untuk memastikan haluan hidup kita memuliakan Yehuwa.

Ajar Orang untuk Membuat Keputusan yang Bijak

18. Bagaimanakah ibu bapa dapat melatih anak-anak untuk membuat keputusan yang baik?

18 Ibu bapa dapat melatih anak-anak untuk membuat keputusan yang memuliakan Tuhan. Satu cara adalah melalui teladan mereka sendiri. (Luk. 6:40) Jika sesuai, ibu bapa boleh menjelaskan kepada anak langkah yang perlu diambil untuk membuat suatu keputusan. Kadangkala, mereka juga boleh mengizinkan anak membuat keputusan sendiri. Jika keputusan itu baik, pujilah anak anda. Bagaimana pula jika keputusannya itu kurang bijak? Anda mungkin mahu melindunginya daripada kesan buruk akibat keputusannya. Tetapi, tindakan ini mungkin menghalang anak daripada memperoleh pengajaran penting dalam hidup. Contohnya, anda mungkin mengizinkan anak untuk mendapat lesen memandu. Sedihnya, dia tidak memandu dengan hemat lalu disaman. Sebagai ibu bapa, anda boleh membuat keputusan untuk membayar saman itu untuknya. Tetapi, tidakkah lebih baik untuk membiarkan anak anda menanggung akibat buruk tindakannya dan membayar saman itu sendiri? Hal ini dapat mengajarnya untuk menjadi orang yang lebih bertanggungjawab kelak.​—Rm. 13:4.

19. Apakah yang perlu kita ajar kepada pelajar Bible, dan bagaimana?

19 Yesus memerintahkan pengikutnya untuk mengajar orang lain. (Mat. 28:20) Salah satu hal penting yang perlu kita ajar kepada pelajar Bible ialah cara untuk membuat keputusan yang baik. Kita harus menahan diri daripada membuat keputusan bagi mereka atau sekadar memberitahu mereka apa yang patut dilakukan. Sebaliknya, kita mahu membantu mereka berfikir dan bertindak berdasarkan prinsip Bible. Ingatlah, “kita bertanggungjawab kepada Tuhan atas perbuatan kita masing-masing.” (Rm. 14:12) Maka, kita mahu berusaha membuat keputusan yang memuliakan Tuhan.

Apakah Jawapan Anda?

• Mengapakah kita perlu belajar cara untuk membuat keputusan?

• Bagaimanakah perasaan takut dapat mempengaruhi kita, dan bagaimanakah kita dapat mengatasinya?

• Apakah enam langkah yang membantu kita membuat keputusan yang memuliakan Tuhan?

[Soalan Pembelajaran]

[Kotak/​Gambar pada muka surat 16]

Enam Langkah untuk Membuat Keputusan yang Bijak

1 Jangan Melampaui Batas

2 Buat Penyelidikan

3 Berdoa untuk Kebijaksanaan

4 Buat Keputusan Anda

5 Lakukan Apa yang Diputuskan

6 Buat Pertimbangan dan Penyesuaian

[Gambar pada muka surat 15]

Orang yang teragak-agak untuk membuat keputusan adalah seperti kapal yang belayar melalui angin ribut tanpa kemudi