Lompat ke kandungan

Bible Mengubah Hidup

Bible Mengubah Hidup

Bible Mengubah Hidup

MENGAPAKAH seorang wanita yang berumur 60-an berhenti menyembah patung berhala? Apakah yang mendorong seorang pendeta Shinto untuk menjadi seorang penginjil Kristian? Bagaimanakah seorang wanita yang rasa diabaikan menangani perasaan sedih dan kecewa? Mari lihat pengalaman mereka.

“Saya Tidak Lagi Menjadi Hamba kepada Berhala.”​—ABA DANSOU

TAHUN LAHIR: 1938

NEGARA ASAL: BENIN

LATAR BELAKANG: PENYEMBAH PATUNG BERHALA

KISAH SILAM SAYA: Saya membesar di So-Tchahoué. Kampung saya terletak di kawasan paya yang berdekatan tasik. Kebanyakan penduduk menangkap ikan dan menternak lembu, kambing, biri-biri, babi, dan burung. Memandangkan tiada jalan raya di kawasan itu, kami perlu guna bot dan sampan. Kebanyakan rumah di sana diperbuat daripada kayu dan rumput, tetapi ada juga orang yang tinggal di rumah batu. Biarpun ada banyak penduduk yang miskin, jenayah di kampung saya tidak seteruk kawasan bandar.

Semasa kecil, ayah bawa saya dan kakak ke sekolah yang mengajar adat tradisi berkenaan penyembahan berhala. Pada kemudian hari, saya memilih Dudua (Oduduwa) daripada budaya Yoruba untuk menjadi tuhan saya. Saya membina rumah untuk tuhan saya dan memberinya korban seperti keladi, minyak kelapa sawit, siput, ayam, merpati, dan binatang lain. Korban-korban itu begitu mahal sehingga saya selalu kehabisan wang.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Semasa belajar Bible, saya sedar bahawa hanya Yehuwalah Tuhan yang benar, dan Dia membenci penyembahan berhala. (Keluaran 20:4, 5; 1 Korintus 10:14) Selepas mengetahui hal itu, saya terus membuang semua patung, lambang, dan apa-apa yang berkaitan dengan berhala dari rumah saya. Saya juga berhenti mencari tukang ramal, dan tidak mengambil bahagian dalam upacara tempatan dan upacara pengebumian.

Sebenarnya, perubahan ini tidak mudah bagi saya. Kawan-kawan, keluarga, dan jiran sering menghina dan mengolok saya. Saya perlu berdoa meminta kekuatan daripada Yehuwa untuk buat apa yang betul. Kata-kata di Amsal 18:10 juga sangat melegakan saya. Ayat itu kata, “Nama Yehuwa bagaikan menara yang kukuh; ke sanalah orang yang baik berlari dan mendapat perlindungan.”

Ada satu lagi hal yang bantu saya, iaitu perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya merasai kasih Kristian dan kagum melihat orang di sana berusaha mengikut prinsip Bible dalam hidup mereka. Semua ini meyakinkan saya bahawa agama Saksi-Saksi Yehuwa ialah agama yang benar.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA: Dengan menerapkan prinsip Bible, saya ada hubungan yang baik dengan anak-anak saya. Dulu, semasa menyembah berhala, saya rasa sangat dibebankan. Saya memberi segalanya untuk memuaskan patung-patung tetapi semua itu tidak memberi saya apa-apa kebaikan. Sekarang, saya menyembah Yehuwa, Tuhan yang memberi saya harapan yang pasti. (Wahyu 21:3, 4) Saya sangat gembira kerana saya tidak lagi menjadi hamba kepada berhala, tetapi menjadi hamba Tuhan Yehuwa! Dia telah memberi saya kedamaian dan perlindungan sejati.

“Sejak Kecil, Saya Ingin Mencari Tuhan yang Benar.”​—SHINJI SATO

TAHUN LAHIR: 1951

NEGARA ASAL: JEPUN

LATAR BELAKANG: PENDETA SHINTO

KISAH SILAM SAYA: Saya membesar di Fukuoka. Ibu bapa saya orang yang kuat agama. Jadi sejak kecil, saya diajar untuk memuja dewa dewi Shinto. Saya selalu berfikir tentang cara untuk mendapat penyelamatan. Selain itu, saya mahu membantu orang yang susah. Semasa saya masih kecil, cikgu pernah tanya kelas kami apa cita-cita kami. Ramai rakan kelas bercita-cita tinggi, contohnya ada yang mahu menjadi ahli sains. Tapi saya kata saya mahu menyembah Tuhan dan berkhidmat kepada-Nya. Semua orang mentertawakan saya.

Selepas tamat sekolah menengah, saya masuk sekolah agama untuk menerima latihan sebagai guru agama. Pada masa itu, saya jumpa seorang pendeta Shinto yang selalu membaca sebuah buku berwarna hitam. Pada suatu hari, dia tanya saya, “Sato, kamu tahukah ini buku apa?” Saya pandang kulit depannya dan jawab, “Ini Bible.” Dia pun kata, “Semua orang yang mahu jadi pendeta Shinto mesti baca buku ini.”

Selepas itu, saya terus beli sebuah Bible. Tetapi, oleh sebab saya sangat sibuk dengan kursus di sekolah, Bible itu dibiarkan di rak buku saya. Apabila saya tamat sekolah, saya mula bekerja di sebuah kuil sebagai pendeta Shinto. Akhirnya, cita-cita saya sudah tercapai.

Sedihnya, saya mula sedar bahawa impian saya bukanlah seindah yang saya fikirkan. Kebanyakan pendeta tidak kisah tentang orang lain dan tidak menunjukkan kasih. Ada ramai pula yang meragui kepercayaan mereka. Salah seorang ketua saya beritahu saya, “Kalau kamu mahu berjaya, kamu hanya patut bercakap tentang falsafah. Jangan cakap tentang hal ibadat.”

Kata-kata seperti itu buat saya sangat kecewa dengan agama Shinto. Walaupun begitu, saya terus bekerja di sana. Pada masa yang sama, saya mula menyelidiki agama lain. Tetapi, semakin saya kaji, saya semakin tawar hati. Tiada agama yang menawarkan apa yang saya cari. Saya rasa kebenaran tidak dapat dijumpai dalam mana-mana agama.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Pada 1988, saya jumpa seorang penganut Buddha yang menggalakkan saya untuk membaca Bible. Saya teringat kembali tentang pendeta Shinto yang pernah beritahu saya hal yang sama. Akhirnya, saya bertekad untuk membaca Bible. Saya begitu khusyuk membacanya, kadang-kadang dari malam sampai waktu subuh.

Hati saya tergerak untuk berdoa kepada Tuhan yang disebut dalam Bible. Jadi saya mula mengucapkan doa seperti yang tercatat di Matius 6:9-13. Setiap dua jam, saya akan mengucapkan doa ini, bahkan semasa bertugas di kuil Shinto.

Sebenarnya, saya ada banyak soalan tentang Bible. Saya terfikir tentang Saksi-Saksi Yehuwa yang pernah melawat isteri saya dulu. Maka, saya meminta bantuan daripada salah seorang Saksi itu dan menanya dia banyak soalan. Setiap soalan saya dijawab dengan Bible. Hal itu buat saya kagum sekali. Kemudiannya, dia mengaturkan agar saya dapat belajar Bible bersama Saksi lain.

Tidak lama selepas itu, saya mula menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Semua orang di sana menyambut saya dengan ramah, bahkan mereka yang pernah saya layan dengan kasar.

Semasa perjumpaan, saya belajar bahawa Tuhan mahu suami menunjukkan kasih dan hormat kepada ahli keluarga. Selama ini, saya hanya bertumpu kepada kerja sebagai pendeta. Akibatnya, isteri dan dua orang anak saya sering diabaikan. Semasa di kuil, saya selalu mendengar luahan orang lain. Tetapi saya langsung tidak pernah meluangkan masa untuk mendengar luahan isteri saya.

Daripada pembelajaran Bible, saya belajar banyak tentang Yehuwa dan saya ingin terus menghampiri-Nya. Salah satu ayat Bible yang saya suka ialah Roma 10:13 yang berbunyi, “Semua orang yang menyeru nama Yehuwa akan diselamatkan.” Sejak kecil, saya ingin mencari Tuhan yang benar. Kini, saya sudah menemui-Nya!

Seraya masa berlalu, saya makin rasa tidak selesa di kuil. Tapi saya juga risau tentang pandangan orang lain jika saya meninggalkan agama Shinto. Walaupun begitu, saya ingat tekad saya untuk menyembah Tuhan yang benar. Jadi pada 1989, saya meninggalkan kuil dan berazam untuk bergantung sepenuhnya pada Yehuwa.

Apabila ketua-ketua dalam kuil tahu tentang keputusan saya, mereka memarahi saya dan cuba mengubah fikiran saya. Tapi, yang lebih susah bagi saya adalah untuk beritahu ibu bapa saya. Sepanjang perjalanan ke rumah, saya sangat risau sehingga dada saya terasa begitu tegang dan kaki saya menjadi lemah. Saya perlu berhenti beberapa kali untuk meminta kekuatan daripada Yehuwa.

Setibanya di situ, saya tidak sanggup beritahu mereka tujuan saya melawat mereka. Saya perlu berdoa berulang kali untuk mendapat keberanian. Selepas berjam-jam, akhirnya saya memberitahu ayah bahawa saya sudah menemui Tuhan yang benar dan saya mahu menyembah-Nya. Saya kata saya akan meninggalkan agama Shinto. Ayah sangat terkejut dan kecewa. Saudara-mara saya juga datang ke rumah untuk memujuk saya. Walaupun saya tidak mahu menyakiti hati mereka, saya tahu saya sedang buat keputusan yang betul. Lama-kelamaan, keluarga saya pun menerima dan menghormati keputusan saya.

Biarpun saya sudah meninggalkan kuil, minda dan fikiran saya masih terikat kepada kehidupan lama saya. Kehidupan sebagai pendeta sudah sebati dalam diri saya. Walaupun saya cuba melupakannya, ada saja yang mengingatkan saya tentang masa lampau saya.

Ada dua hal yang membantu saya mengatasi cabaran ini. Pertama, saya mencari semua benda di rumah yang ada kaitan dengan agama saya dahulu. Selepas itu, saya membakar semuanya, termasuk buku, gambar, dan barang kenangan yang mahal. Kedua, saya berusaha untuk bergaul lebih banyak dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dengan adanya sokongan mereka, saya dapat maju ke hadapan dan melupakan kehidupan saya yang lama.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA: Dulu, saya sering mengabaikan isteri dan anak-anak. Tetapi, apabila saya mula belajar Bible dan menerapkan nasihat untuk para suami, hubungan kami menjadi lebih rapat. Saya meluangkan masa bersama mereka dan mereka tidak lagi rasa sunyi. Sekarang, saya menyembah Yehuwa bersama isteri, anak lelaki dan anak perempuan kami dan suaminya.

Mengenang kembali cita-cita saya masa kecil, saya boleh kata dengan yakin bahawa saya sudah mencapainya, dan berkatnya begitu melimpah. Tiada kata-kata yang dapat mengungkapkan rasa syukur saya kepada Yehuwa.

“Hidup Saya Rasa Kosong.”​—LYNETTE HOUGHTING

TAHUN LAHIR: 1958

NEGARA ASAL: AFRIKA SELATAN

LATAR BELAKANG: RASA DIABAIKAN DAN DITINGGALKAN

KISAH SILAM SAYA: Saya lahir di Germiston. Kehidupan di pekan perlombongan ini agak makmur dan damai. Oleh sebab ibu bapa saya tidak dapat membesarkan saya, sepasang suami isteri telah mengambil saya sebagai anak angkat. Masa itu saya hanya berumur 14 hari. Apabila saya dengar tentang hal itu, saya sangat sedih dan rasa terabai. Walaupun ibu bapa angkat sangat mengasihi saya, saya tidak lagi rasa rapat dengan mereka dan fikir bahawa mereka tidak memahami saya.

Semasa saya kira-kira 16 tahun, saya mula pergi ke bar. Saya dan kawan-kawan suka dengar muzik di sana dan menari. Semasa berumur 17 tahun, saya mula merokok sebab saya mahu jadi kurus seperti model-model dalam iklan rokok. Ketika saya berumur 19 tahun, saya kerja di Johannesburg dan bergaul dengan kawan-kawan yang tidak baik. Saya guna kata-kata kesat, banyak merokok, dan selalu minum alkohol pada hujung minggu.

Saya seorang yang aktif. Saya selalu main skuasy, bola sepak, dan aerobik. Saya juga berusaha keras dalam kerjaya saya di bidang komputer. Memang dari segi kewangan dan kerjaya, saya boleh dikira berjaya. Tapi sebenarnya, saya langsung tidak gembira. Hidup saya rasa kosong dan tiada arah tuju.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Saya belajar bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang penuh kasih. Dia menunjukkan kasih-Nya melalui Bible dan memberi kita nasihat untuk kehidupan. (Yesaya 48:17, 18) Saya tahu jika saya mahu mendapat manfaat daripada bimbingan Yehuwa, saya mesti buat perubahan dalam hidup saya.

Satu perkara yang perlu saya ubah ialah pergaulan saya. Amsal 13:20 kata, “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak, tetapi orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.” Saya cuba ikut nasihat ini dengan meninggalkan kawan yang tidak baik lalu berkawan dengan orang yang mengasihi Yehuwa.

Cabaran terbesar bagi saya adalah untuk berhenti merokok sebab saya sangat ketagih. Secara beransur-ansur saya berhenti merokok, tetapi berat badan saya meningkat hampir 14 kilogram! Itu buat saya hilang keyakinan diri. Saya mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk kembali ke berat badan yang normal. Walaupun susah, saya tahu pilihan saya untuk berhenti merokok memang betul! Jadi saya terus berdoa kepada Yehuwa dan Dia memberi saya kekuatan untuk berjaya.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA: Sekarang, saya rasa puas dengan hidup saya dan kesihatan saya pun lebih baik. Saya tidak lagi mengejar perkara yang tidak berkekalan, seperti kerjaya, kedudukan, dan kekayaan. Sebaliknya, saya suka berkongsi kebenaran Bible dengan orang lain. Saya gembira kerana tiga orang bekas rakan sekerja saya kini menyembah Yehuwa bersama saya dan suami saya. Saya juga dapat beritahu ibu bapa angkat saya tentang harapan pembangkitan dalam Bible sebelum mereka meninggal.

Setelah memupuk hubungan yang erat dengan Yehuwa, saya dapat melawan perasaan negatif. Saya tidak lagi rasa terabai. Yehuwa telah memberi saya keluarga rohani di seluruh bumi. Merekalah ibu, bapa, abang, kakak, dan adik saya.—Markus 10:29, 30.

[Gambar pada muka surat 12]

Saya merasai kasih Kristian apabila saya bersama Saksi-Saksi Yehuwa

[Gambar pada muka surat 13]

Saya pernah beribadat di kuil Shinto ini