Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pembacaan Bible Sumber Kekuatan Seumur Hidup Saya

Pembacaan Bible Sumber Kekuatan Seumur Hidup Saya

Pembacaan Bible Sumber Kekuatan Seumur Hidup Saya

Diceritakan oleh Marceau Leroy

‘PADA mulanya Tuhan menciptakan alam semesta.’ Saya bersembunyi di dalam bilik dan membaca kata-kata ini daripada Bible. Mengapakah saya curi-curi membacanya? Kerana ayah saya seorang ateis, dan dia pasti tidak suka saya membaca Bible.

Sebelum ini, saya tidak pernah membaca Bible. Jadi apabila saya membaca kata-kata pembukaan buku Kejadian, saya terpegun kehairanan. Saya berfikir, “Inilah penjelasan kepada keharmonian hukum-hukum fizikal yang mengagumkan saya selama ini!” Saya begitu terpesona dan membaca dari lapan malam hingga empat pagi. Sejak itu, saya membaca Firman Tuhan setiap hari. Biar saya jelaskan bagaimana tabiat ini menjadi sumber kekuatan sepanjang hidup saya.

“Kamu akan Membacanya Setiap Hari”

Saya dilahirkan pada tahun 1926 di Vermelles, sebuah kampung di utara negara Perancis yang terkenal dengan kegiatan melombong batu arang. Batu arang menjadi bahan dagangan yang sangat penting di negara kami semasa perang dunia kedua. Jadi sebagai pelombong, saya dikecualikan daripada menyertai khidmat tentera. Namun begitu, saya ingin menikmati kehidupan yang lebih baik. Maka saya mula belajar tentang radio dan elektrik, dan berasa kagum dengan keharmonian hukum-hukum fizikal. Pada usia 21 tahun, seorang rakan sekelas memberi saya Bible saya yang pertama. Dia memberitahu saya, “Buku ini memang patut dibaca.” Apabila saya selesai membacanya, saya yakin bahawa Bible memang merupakan Firman Tuhan yang disingkapkan kepada manusia.

Saya mendapatkan lapan buah Bible untuk jiran-jiran saya. Saya sangka mereka akan suka membacanya. Sebaliknya, saya dipersendakan dan ditentang. Saudara-mara yang berpegang pada kepercayaan karut memberikan amaran yang berikut: “Sebaik saja kamu mula membaca buku ini, kamu akan membacanya setiap hari!” Memang benar apa yang dikatakan mereka. Membaca Bible menjadi kebiasaan saya sepanjang hidup, dan saya tidak pernah menyesali perbuatan saya.

Beberapa orang jiran nampak bahawa saya berminat dalam Bible dan memberi saya bahan bacaan Saksi-Saksi Yehuwa yang telah diterima dahulu. Buku kecil seperti One World, One Government * (ditunjukkan dalam bahasa Perancis) menjelaskan mengapa Bible menyatakan bahawa Kerajaan Tuhan merupakan satu-satunya harapan bagi umat manusia. (Mat. 6:10) Hal ini memperkuat azam saya untuk berkongsi harapan ini dengan orang lain.

Salah satu orang yang mula-mula menerima Bible daripada saya ialah Noël, seorang sahabat yang dikenali sejak kecil lagi. Dia beragama Katolik dan membawa saya untuk bertemu dengan seorang lelaki yang sedang belajar menjadi paderi. Saya berasa takut, tetapi saya tahu bahawa di Mazmur 115:4-8 dan Matius 23:9, 10, Tuhan melarang penyembahan berhala dan penggunaan gelaran untuk pemimpin agama. Pengetahuan ini memberi saya keberanian untuk mempertahankan kepercayaan baru saya. Hasilnya, Noël pun memeluk kebenaran, dan dia seorang Saksi yang setia hingga ke hari ini.

Saya juga melawat kakak saya. Suaminya memiliki buku-buku tentang spiritisme dan dia diganggu oleh roh-roh jahat. Pada mulanya saya tidak tahu cara untuk membantunya, tetapi ayat Bible seperti Ibrani 1:14 meyakinkan saya bahawa saya mempunyai bantuan daripada malaikat Yehuwa. Apabila abang ipar saya menerapkan prinsip-prinsip Bible dan membuang segala-gala yang berkaitan dengan ilmu ghaib, dia berjaya membebaskan diri daripada pengaruh roh-roh jahat. Dia dan kakak saya kemudiannya menjadi Saksi-Saksi yang bersemangat.

Pada 1947 seorang Saksi berbangsa Amerika yang bernama Arthur Emiot mengunjungi rumah saya. Saya berasa sangat gembira dan bertanya di mana Saksi-Saksi berkumpul. Dia memberitahu saya bahawa terdapat sebuah kumpulan di Liévin yang terletak kira-kira 10 kilometer jauhnya. Pada masa itu, tidak mudah untuk memiliki sebuah basikal. Jadi selama beberapa bulan, saya berjalan berulang-alik ke perjumpaan. Kerja Saksi-Saksi Yehuwa di Perancis telah diharamkan selama lapan tahun. Di seluruh negara, terdapat 2,380 orang Saksi sahaja, dan ramai antara mereka merupakan pendatang asing dari negara Poland. Tetapi pada 1 September 1947, kerja kita di Perancis sekali lagi menjadi sah di sisi undang-undang. Sebuah pejabat cawangan didirikan semula di Villa Guibert, Paris. Oleh sebab tiada seorang perintis pun di negara Perancis, Informant (sekarang dipanggil Kerja Teokratik Kita) terbitan Disember 1947, meminta lebih ramai penyiar menghabiskan 150 jam sebulan dalam kerja penyebaran sebagai perintis biasa. (Pada 1949, jumlah masa ini dikurangkan kepada 100 jam.) Oleh sebab saya bersetuju dengan kata-kata Yesus bahawa “firman [Tuhan] adalah kebenaran,” saya dibaptiskan pada 1948. (Yoh. 17:17, nota kaki) Kemudian pada Disember 1949, saya menjadi seorang perintis.

Keluar Penjara dan Kembali ke Dunkerque

Saya mula menjalankan tugasan pertama saya di Agen, bahagian selatan Perancis. Saya berkhidmat di situ untuk masa yang singkat. Saya sudah meninggalkan kerja di lombong, dan kini saya terpaksa menyertai khidmat tentera. Oleh sebab saya enggan berbuat demikian, saya dibuang ke dalam penjara. Saya tidak dibenarkan memiliki Bible. Tetapi saya berjaya mendapatkan beberapa helai muka surat daripada buku Mazmur, dan saya mendapat galakan apabila membacanya. Apabila saya dibebaskan, saya terpaksa berdepan dengan suatu keputusan: Patutkah saya hentikan khidmat sepenuh masa dan mendirikan rumah tangga? Saya merenungkan kata-kata Paulus di Filipi 4:11-13. Dia berkata bahawa dia mempunyai kuasa yang diberikan oleh Tuhan, dan berdaya menghadapi segala macam keadaan. Jadi saya memutuskan untuk terus menjalankan kerja perintis. Pada 1950 saya menerima tugasan baru di kota Dunkerque yang pernah saya kunjungi dahulu.

Sewaktu saya tiba di situ, saya tidak memiliki apa-apa. Kota Dunkerque mengalami kerosakan yang teruk semasa Perang Dunia II, dan tempat penginapan sukar dicari. Saya pergi berjumpa dengan sebuah keluarga yang pernah saya kunjungi, dan puan rumah itu menyambut saya dengan tangan terbuka. “En. Leroy, kamu sudah dibebaskan! Suami saya kata perang tidak akan mula jika terdapat lebih banyak lelaki lain seperti kamu.” Mereka mempunyai sebuah rumah tumpangan dan membenarkan saya menginap di situ sehingga musim melancong tiba. Pada hari itu juga, abang kepada Arthur Emiot yang bernama Evans, menawarkan saya kerja. * Dia bekerja sebagai penterjemah di pelabuhan dan sedang mencari seorang pengawal untuk menjaga sebuah kapal pada waktu malam. Dia memperkenalkan saya kepada salah seorang pegawai kapal. Masa yang dihabiskan di penjara menyebabkan saya kurus kering. Evans menjelaskan sebabnya, lalu pegawai itu berkata bahawa saya boleh makan apa sahaja di dalam peti sejuk. Dalam satu hari, saya mendapat tempat tinggal, kerja, dan makanan! Keyakinan saya terhadap kata-kata Yesus di Matius 6:25-33 bertambah kukuh.

Apabila musim melancong tiba, saya dan teman perintis saya, Simon Apolinarski, terpaksa mencari tempat tinggal yang baru, tetapi kami bertekad untuk meneruskan khidmat kami. Kami dibenarkan menginap di dalam sebuah kandang kuda lama dan tempat tidur kami diperbuat daripada jerami. Setiap hari, kami menghabiskan masa dalam kerja penyebaran. Kami memberi kesaksian kepada pemilik kandang kuda dan dia serta banyak orang lain memeluk kebenaran. Tidak lama kemudian, sebuah rencana dipaparkan dalam akhbar tempatan yang memberikan amaran kepada penduduk Dunkerque tentang “kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa yang menular” di kawasan itu. Tetapi Saksi-Saksi di kawasan itu hanya terdiri daripada saya, Simon, dan beberapa orang penyiar yang lain! Kami menghadapi cabaran ini dengan merenungkan harapan Kristian kami dan cara Yehuwa menjaga kami. Apabila saya mendapat tugasan baru pada 1952, terdapat kira-kira 30 penyiar yang tetap di Dunkerque.

Dibantu untuk Memikul Tanggungjawab Baru

Selepas suatu jangka masa yang singkat di bandar Amiens, saya dilantik untuk berkhidmat sebagai perintis khas di Boulogne-Billancourt berhampiran Paris. Saya mempunyai banyak pelajar Bible, dan beberapa orang antara mereka kemudiannya menyertai khidmat sepenuh masa dan menjadi mubaligh. Seorang pemuda, Guy Mabilat, menerima kebenaran dan kemudiannya berkhidmat sebagai penyelia litar dan penyelia distrik. Dia kemudian menyelia kerja pembinaan tempat percetakan di Bethel yang wujud hari ini di Louviers, yang terletak agak jauh dari Paris. Perbincangan Bible yang sering diadakan dalam kerja penyebaran telah mengukir Firman Tuhan di minda saya, memenuhi saya dengan sukacita, serta membolehkan saya meningkatkan kemahiran mengajar.

Tanpa disangka, pada 1953 saya dilantik sebagai penyelia litar di Alsace-Lorraine, kawasan yang diambil alih dua kali oleh negara Jerman antara tahun 1871 hingga 1945. Maka, saya perlu belajar bahasa Jerman. Semasa saya mula menjalankan kerja litar, kawasan itu tidak ada banyak kereta, televisyen, dan mesin taip; radio transistor dan komputer peribadi pula tidak wujud. Tetapi kehidupan saya tidak sedih atau membosankan. Sebaliknya, saya begitu gembira kerana tidak ada banyak gangguan seperti hari ini. Saya dapat berfokus pada khidmat Yehuwa selaras dengan nasihat Bible untuk menumpukan mata pada satu perkara sahaja.​—Mat. 6:19-22.

Perhimpunan di Paris pada 1955 sungguh bermakna bagi saya. Di situ saya bertemu dengan isteri saya, Irène Kolanski, yang memulakan khidmat sepenuh masa setahun sebelum saya. Ibu bapanya dari Poland sudah lama menjadi Saksi-Saksi yang bersemangat. Di Perancis mereka dikunjungi oleh Adolf Weber. Dia merupakan pekebun Saudara Russell dan telah datang ke Eropah untuk menyebarkan berita baik. Saya dan Irène berkahwin pada 1956, dan dia menyertai saya dalam kerja litar. Dan selama ini dia memberi saya sokongan yang diperlukan!

Dua tahun kemudian, saya mendapat satu lagi kejutan—saya dilantik sebagai penyelia distrik. Namun, saya terus menjalankan kerja litar di beberapa sidang kerana kekurangan saudara yang layak. Saya sangat sibuk pada masa itu! Selain menginjil selama 100 jam sebulan, saya perlu memberikan ceramah setiap minggu, melawat tiga kumpulan pembelajaran buku, menyemak rekod, dan menyediakan laporan. Bagaimanakah saya dapat meluangkan masa untuk membaca Firman Tuhan? Saya hanya mempunyai satu jalan​—saya mengeluarkan halaman-halaman daripada sebuah Bible lama dan menyimpannya bersama saya. Setiap kali saya perlu menunggu orang lain untuk temu janji, saya membaca halaman-halaman itu. Saat-saat itu menyegarkan saya secara rohani dan memperkuat azam saya untuk terus berkhidmat.

Pada 1967, saya dan Irène dijemput untuk menjadi anggota keluarga Bethel di Boulogne-Billancourt. Saya mula bekerja di Bahagian Kerja Penyebaran, dan kini selepas lebih daripada 40 tahun, saya masih menikmati peluang istimewa ini. Salah satu aspek kerja yang saya suka ialah membalas surat yang mengemukakan soalan-soalan Bible. Saya memang suka menyelami Firman Tuhan dan “mempertahankan Berita Baik”! (Flp. 1:7) Saya juga bergembira mengendalikan perbincangan Bible semasa penyembahan pagi yang diadakan sebelum sarapan. Pada 1976, saya dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan di Perancis.

Haluan Hidup yang Terbaik

Meskipun saya pernah menghadapi cabaran dalam kehidupan, tetapi sekaranglah masa yang paling mencabar. Saya dan Irène sudah tua dan masalah kesihatan mengehadkan khidmat kami. Namun, harapan kami terus membara apabila kami membaca dan mempelajari Firman Tuhan bersama. Kami suka menaiki bas untuk menyampaikan harapan Bible di kawasan penyebaran sidang kami. Pengalaman kami berdua dalam khidmat sepenuh masa yang menjangkau lebih daripada 120 tahun mendorong kami untuk mengesyorkan haluan hidup ini kepada semua yang berhasrat untuk menikmati kehidupan yang menyeronokkan, bahagia, dan memuaskan. Semasa Raja Daud menulis Mazmur 37:25, dia “sudah tua,” tetapi seperti dia, saya juga “tidak pernah melihat orang baik ditinggalkan Tuhan.”

Seumur hidup saya, Yehuwa telah memperkuat saya menerusi Firman-Nya. Lebih daripada 60 tahun dahulu, sanak saudara saya menjangkakan bahawa pembacaan Bible akan menjadi tabiat saya sepanjang hidup. Memang betul kata mereka. Setiap hari saya mengamalkan tabiat ini dan saya tidak pernah menyesalinya!

[Nota kaki]

^ per. 8 Diterbitkan pada tahun 1944, tetapi tidak dicetak lagi.

^ per. 14 Untuk maklumat lanjut tentang Evans Emiot, sila lihat The Watchtower, 1 Januari 1999, muka surat 22 dan 23.

[Gambar pada muka surat 5]

Saya dan Simon

[Gambar pada muka surat 5]

Semasa berkhidmat sebagai penyelia distrik

[Gambar pada muka surat 5]

Bible yang serupa dengan Bible pertama saya

[Gambar pada muka surat 6]

Pada hari perkahwinan kami

[Gambar pada muka surat 6]

Saya dan Irène suka membaca dan mempelajari Firman Tuhan